1,302 kertas undi pos diedar (PRK Kuala Terengganu)

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengedarkan 1,302 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini.

Pengarah Pilihan Raya negeri, Mohd. Noor Daud berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,001 kertas undi dikeluarkan kepada polis, 27 anggota tentera, tujuh pelajar yang menuntut di luar negara dan 267 kepada petugas pilihan raya.

Beliau berkata, anggota polis akan mengundi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri manakala anggota tentera pula mengundi di 23 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) di Jalan Pusara di sini, pada 12 Januari.

"Polis dan tentera telah mengambil kertas undi pos tersebut di Pejabat Pengurus Pilihan Raya hari ini dan proses pengundian pada Isnin ini.

"Sebahagian kertas undi pos telah diserahkan kepada Pejabat Pos untuk dihantar kepada petugas-petugas pilihan raya dan pelajar di luar negara mengikut alamat yang diberikan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua kertas undi pos berkenaan perlu dikembalikan semula kepada SPR sebelum pukul 5 petang 17 Januari ini.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Razali Ismail pada 28 November lepas.

Pilihan raya itu melibatkan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut dan calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam.

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url