AKIM tak tarik diri tapi tak berminat - SPR

Wakil parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Harun Mohamad ( gambar) tidak boleh dianggap menarik diri kerana beliau langsung tidak menyerahkan kertas pencalonan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, dalam kes tersebut, Harun hanya hadir ke dewan pusat penamaan calon tetapi kemudiannya didapati tidak berhasrat untuk menyerahkan kertas penamaan.

''Sesiapa sahaja yang rasa layak nak jadi calon memang dibenar masuk ke dalam dewan. Macam juga Harun, dia datang tetapi kemudian didapati tidak serius nak serah borang lalu kita minta beliau keluar dari dewan.

''Jadi kes Harun ini kita tak panggil tarik diri kerana dia tak serah pun borang. Tarik diri ni kalau dia dah serah borang tapi kalau belum serah, itu bukan tarik diri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu di Stadium Negeri di sini hari ini.

Terdahulu Harun yang diumumkan sebelum ini bakal bertanding mewakili AKIM dalam pilihan raya berkenaan tiba di pusat penamaan kira-kira pukul 9.30 pagi sambil ditemani dua orang yang lain.

Beliau bagaimanapun kemudiannya keluar kira-kira 10 minit selepas itu dan terus mengadakan sidang akhbar bagi memaklumkan penukaran hasratnya di saat-saat akhir.

Alasan yang diberikannya ialah kerana beliau merasakan perjuangan Pas dan AKIM mempunyai persamaan. Harun juga menyeru penyokong AKIM memberi sokongan mereka kepada calon Pas.

Sementara itu, Wan Ahmad turut merasa lega dan bersyukur apabila perjalanan proses penamaan calon pada pilihan raya kecil ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Katanya, ini dicapai dengan proses penambahbaikan beberapa kelemahan yang dihadapi sewaktu Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh lalu.

''Saya harap trend yang baik ini dapat diteruskan para penyokong kedua-dua pihak sehingga hari pembuangan undi 17 Januari ini.

Sementara itu, Wakil parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Harun Mohamad yang menarik diri pada saat akhir sebelum mengemukakan kertas pencalonan hari ini bagi bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu bakal berdepan tindakan disiplin.

Presiden AKIM, Hanafi Hamat berkata, Harun juga telah mengkhianati parti kerana menyatakan sokongan terbuka kepada calon Pas pada pilihan raya kecil itu.

"Harun telah menghampakan harapan AKIM apabila menarik diri tetapi lebih mengecewakan apabila menyokong pula Pas," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Di pusat penamaan di Stadium Negeri di Kuala Terengganu hari ini, Harun yang juga dikenali sebagai Abdul Rahman, membuat kejutan apabila mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya kecil itu tanpa memberi alasan yang spesifik.

Hanafi berkata, walaupun Harun bukan merupakan calon yang direstui pihaknya kerana ia diumumkan oleh kumpulan lain dalam AKIM, itu tidak bermakna dia boleh bertindak sedemikian.

"Kerana kita tidak mahu perpecahan berlaku dalam parti, kita membuat keputusan supaya Harun diberi peluang bertanding tetapi tindakannya (menyokong calon Pas) tidak diterima oleh parti," katanya.

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url