Amerika tidak setuju boikot - Duta Amerika

Amerika Syarikat (AS) berpendapat tindakan dan kempen memboikot barangan keluaran negara itu bertentangan dengan konsep perdagangan dua halanya dengan Malaysia.

Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, James R. Keith berkata, hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dengan AS selama ini menghasilkan nilai perdagangan yang memberangsangkan.

"Kejayaan ini pastinya mahu diteruskan oleh syarikat-syarikat AS yang membuat banyak pelaburan di negara ini.

"Saya tidak setuju sama sekali dengan cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya rakyat negara ini memboikot produk AS kerana tiada satu pun produk yang benar-benar berasal dari sesebuah negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas berucap dalam majlis meraikan upacara angkat sumpah Barack Obama sebagai Presiden AS ke-44 di sini hari ini.

Beliau mengulas saranan Dr. Mahathir supaya memboikot produk AS berikutan serangan rejim Israel ke atas penduduk Palestin.

Menurut Keith, dalam konflik antara rejim Israel dan penduduk Palestin di Gaza, tanggungjawab tidak boleh diletakkan kepada AS semata-mata kerana banyak pihak berkepentingan terlibat dan perlu disatukan untuk menanganinya.

Tambahnya, pihak berkepentingan itu perlu merealisasikan proses perdamaian dan mewujudkan keamanan berkekalan di Gaza serta Asia Barat manakala peranan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon dan komuniti antarabangsa mengiktiraf pelan damai itu amat diperlukan.

Bagaimanapun, jelasnya, isu pemboikotan barangan AS di Malaysia dan negara lain akan ditangani kerajaan baru AS di bawah pentadbiran Obama.

Beliau turut menegaskan tentang kesukaran tindakan memboikot produk itu dilakukan.

Menurut Keith, ekonomi berasaskan globalisasi hari ini tidak akan mampu bertahan jika dilaksanakan mengikut fahaman politik atau sistem perlindungan daripada pihak-pihak tertentu.

Katanya, kemakmuran dan sistem ekonomi yang berkekalan tidak berjaya dibentuk jika sesebuah negara membelakangkan negara lain.

Mengenai pandangan bahawa dasar luar negara AS tidak akan berubah walau sesiapa pun menjadi Presiden, Keith berkata, beliau tidak mempunyai hak bercakap mengenainya.

Bagaimanapun, katanya, beliau yakin Obama akan membawa perubahan kepada dasar luar AS.

Jelasnya, Obama pernah memberitahu Senat bahawa AS perlu menyesuaikan diri dengan perubahan dan inilah tuntutan dunia terhadap mereka hari ini.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url