Perkataan ALLAH - Herald Catholic cabar undang-undang

Walaupun Kabinet memutuskan perkataan Allah tidak boleh digunakan dalam Herald Catholic, namun perkataan tersebut masih disiarkan akhbar mingguan itu dalam edisi terbaru minggu ini.

Ditanya perkembangan tersebut, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata: ''Tindakan Herald Catholic seolah-olah mencabar kedaulatan undang-undang negara.

''Perbuatan ini juga boleh menimbulkan konflik serta mencetuskan kemarahan umat Islam''.

Katanya, Herald Catholic selalu agresif dan bertindak seolah-olah apa yang mereka buat adalah betul.

''Kita ada banyak persatuan di negara ini dan jangan ingat kita sahaja ada hak dan orang lain tidak ada hak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung, pemangku Ketua Setiausaha KDN, Datuk Raja Azhar Raja Abdul Manap dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Sehubungan itu, Syed Hamid berkata, KDN akan menyiasat perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut.

Katanya, akhbar tersebut perlu menghormati kesucian agama lain tanpa mencetuskan ketegangan dan konflik dalam masyarakat.

Menurut beliau, pihaknya cukup berlembut dalam hal itu dan menghormati agama lain.

Tambahnya, pihak berkenaan perlu menunggu keputusan mahkamah terlebih dahulu berhubung dengan penggunaan perkataan tersebut.

Pada Mei lalu, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Ketua Paderi Kuala Lumpur untuk memohon semakan penghakiman terhadap keputusan KDN yang melarang penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan akhbar itu.

Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan terhadap permohonan Ketua Paderi itu Februari ini.

Syed Hamid berkata, adalah lebih baik perkara seperti itu tidak dilayan dan mereka yang terlibat juga perlu bertanggungjawab dengan perbuatan mereka.

''Kalau kita haramkan, dia kata kita tidak bagi kebebasan jadi kita benarkan mereka, kita harap dia ikut arahan dan undang-undang," katanya.

Sementara itu katanya, polis sudah menyerahkan kertas siasatan kes blog menghina Nabi Muhammad SAW kepada pejabat Peguam Negara.

Katanya, sekarang terpulang kepada Peguam Negara untuk menyemak dan membuat pendakwaan.

Tambahnya, dalam kepesatan alam siber hari ini amat sukar bagi pihak berkuasa membendung penyebaran maklumat daripada Internet kerana ia disalurkan oleh pembekal perkhidmatan dari luar.

- Utusan
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Ahad, 1 Februari 2009 pada 8:09:00 PG SGT

    Usah dilayan persoalan sebegini. Bagaimana kalau rakyat persoalkan juga cuti umum Krismas di negara ini. Bagaimana kalau rakyat persoal kenapa masih membenarkan bahasa Inggeris di stesen-stesen televisyen. Sedangkan negara ini telah ada bahasanya sendiri, bahasa Melayu.

Add Comment
comment url