Apa Yang Penunggang Motosikal Perlu Tahu?
Topi keledar adalah perlindungan terbaik anda. Pakailah sepanjang masa tidak kira berapa dekat perjalanan anda - ia mungkin menyelamatkan nyawa anda. Ikatlah topi keledar anda betul-betul. Anda tidak dilindungi sepenuhnya jika tidak mengikatnya dengan ketat. Pasikan topi keledar anda memenuhi piawaian keselamatan SIRIM. Gantikannye jika rosak atau telah mengalami kemalangan kerana ianya tidak lagi selamat digunakan. Belilah Topi keledar yang benar-benar muat untuk memastikan keselesaandan perlindungan maksimum anak-anak anda. Kanak-kanak perlu memakai topi keledar kanak-kanak - bukannya topi orang dewasa.
Merah Tanda Berhenti
Melanggar lampu merah membahayakan semua pengguna jalan raya termasuk diri anda. Sama ada terlambat, tergesa-gesa atau merasakan "selamat" bukanlah sebab untuk melakukannya. Penantian selama beberapa saat boleh menyelamatkan nyawa anda. Berhentilah di lampu isyarat merah. Hargailah nyawa anda.
Ikut Satu Laluan
Menunggang sambil mencelah-celah kenderaan meningkatkan risiko maut setiap kali anda memotong kenderaan. Anda mungkin merasakab mencelah kenderaan cara yang paling cepat untuk sampai ke destinasi anda. Sedarlah bahawa sebenarnya cara ini amat bahaya. Pengguna jalan raya yang lain mungkin terkejut jika anda muncul secara tiba-tiba dihadapan mereka. Mereka mungkin tidak dapat menjangkakan pergerakan anda dan mungkin mempercepatkan kenderaan atau bertukar laluan tanpa dijangka. Ini bukan sahaja membahayakan anda malah para penunggang lain yang tergesa-gesa perlu bertukar arah untuk mengelakkan anda. Gunakan laluan motosikal jika ada. Jika anda perlu menukar laluan, berilah isyarat yang jelas kepada pengguna jalan raya yang lain. Pasang lampu isyarat dan lambaikan tangan anda ke arah laluan yang anda ingin tukar. Isyarat yang awal memberi masa kepada pengguna lain melihat dan bertindak balas terhadap tujuan anda.
Berpakaian Cerah Boleh Menyelamatkan Anda
Pakaian memainkan peranan penting bagi penunggang motosikal. Pakaian yang mudah dilihat oleh pengguna jalan raya yang lain meningkatkan tahap keselamatan anda. Anda perlu memakai warna yang terang seperti jaket dengan pemantul cahaya pada waktu siang dan malam. Jangan memakai pakaian yang gelap. Anda juga disyorkan memakai jaket, seluar panjang, dan sarung tangan dapat membantu melindungi anda jika terjatuh. Elakkan daripada memakai seluar pendek, skirt dan selipar ketika menunggang.
Kelajuan Boleh Membunuh
Memandu laju adalah pembunuh terbesar di jalan raya. Memecut menjemput bahaya. Sentiasa patuhi had laju. Tungganglah pada kelajuan yang membolehkan anda memperlahankan atau menghentikan motosikal anda sekiranya sesuatu yang tidak dijangka berlaku. Berhati-hatilah dalam cuaca atau keadaan jalan raya yang buruk seperti hujan atau kabus.