Awasi Penyakit Kaki & Mulut Awasi (HFMD)

Musim hujan dan banjir memerlukan perhatian diberikan kepada penyakit berjangkit khususnya penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD). Ini kerana HFMD adalah penyakit yang sering berlaku di kalangan kanak-kanak berusia bawah 10 tahun dan mudah sekali dijangkiti terutama sekiranya kebersihan terabai.

HFMD wajar diberikan perhatian jika diteliti dari segi jumlah serangan dan kesannya terhadap kehidupan kanak-kanak. Tahun lalu saja, 14 kanak-kanak disahkan menghidap HFMD di Sarawak sejak awal 2008 yang menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di Kuching. Kira-kira 13 kematian pula berlaku dua tahun sebelum itu akibat HFMD. Ancaman HFMD juga menyebabkan beberapa sekolah dan taska terpaksa di tutup di sekitar Lembah Klang pada tahun lalu selepas beberapa pelajar disyaki mengalami penyakit ini.

Perunding Pediatrik, Dr Azam Mohd Nor, berkata sungguhpun HMFD adalah penyakit dengan gejala biasa seperti demam dan selsema, ia tidak boleh dipandang remeh kerana ia boleh membunuh dan wajar dicegah daripada awal sebelum merebak dan dirawat secepat mungkin.

Katanya, HFMD berpunca daripada beberapa jenis virus dikenali seperti entrovirus iaitu sejenis virus lama, virus polio yang menyerang secara berkumpulan, coxsackie dan yang paling bahaya, entrovirus 71 atau juga lebih dikenali sebagai EV 71.

"Virus ini boleh menyebabkan penyakit biasa seperti demam dan selsema, tetapi apa yang amat membimbangkan, serangan EV 71 boleh menjadi punca radang otak dan kegagalan jantung, sekali gus juga boleh menyebabkan sawan sehingga membawa maut. Walaupun peratus serangan EV 71 agak kecil berbanding virus kurang bahaya lain, ibu bapa dinasihatkan segera membawa anak mendapatkan rawatan sekiranya mengalami tanda seperti demam, selsema atau lepuhan (ulser) pada mulut, bintik-bintik yang gatal pada tangan dan kaki. Ulser mulut boleh menyebabkan kanak-kanak enggan makan dan minum kerana kurang selesa serta sakit. Ini menyebabkan mereka mengalami dehidrasi dan kadangkala dijangkiti bakteria sekali lagi," katanya.

Katanya, virus HFMD amat mudah merebak menerusi air liur, pencemaran makanan dan akibat tersentuh tanah mahupun pasir tercemar.

Begitu pun, katanya, setengah kanak-kanak tidak menunjukkan sebarang gejala walaupun selepas diserang virus ini dan hanya disedari selepas mengalami serangan serius sehingga koma.

"Tempoh inkubasi virus ini adalah antara tiga hingga tujuh hari. Lazimnya, kanak-kanak mengalami demam pada hari pertama. Ibu bapa perlu memerhatikan sekiranya berlaku gejala seperti demam sehingga mencecah suhu 39 darjah selsius, menangis berpanjangan, muntah-muntah, dehidrasi, lesu dan tidak selera makan. Sekiranya ada manifestasi seperti pecah mulut, ia akan dihantar untuk ujian bagi mengesan sebarang virus," katanya.

Katanya risiko jangkitan lebih tinggi berlaku di nurseri, pusat jagaan harian kanak-kanak dan taman permainan. Sebaiknya kanak-kanak yang disyaki mengalami HFMD perlu diasingkan daripada kanak-kanak lain dan pakaikan mereka dengan topeng yang boleh menutupi mulut dan hidung mereka. Seandainya terdapat sekurang-kurangnya dua pertiga kanak-kanak di nurseri atau pusat jagaan harian yang mengalaminya, pusat ini perlu ditutup bagi mencegah jangkitan kepada kanak-kanak lain.

"HFMD juga boleh menjangkiti orang dewasa jika pencegahan tidak dilakukan. Wanita hamil pada trimester pertama perlu berhati-hati agar tidak dijangkiti. Bagaimanapun, setakat ini tidak ada kajian yang menunjukkan ia boleh memberikan kesan kepada bayi di dalam kandungan kerana virus ini tidak sama dengan rubela atau demam campak," katanya.

Sehingga kini, tidak ada vaksin untuk mencegah HFMD. Rawatan yang diberikan adalah berdasarkan kepada gejala dialami, misalnya jika ada jangkitan, antibiotik akan diberikan tetapi ia bukan untuk membunuh virus HFMD. Kanak-kanak yang mengalami serangan jantung mahupun otak, perlu dipastikan tidak mengalami sawan dengan antibiotik.

Cara terbaik adalah untuk mencegah HFMD dengan menjaga kebersihan diri dan kawasan sekitar, membasuh tangan serta memastikan kanak-kanak tidak terlalu ramai di nurseri mahupun pusat penjagaan seharian kanak-kanak.

Dr Azam menekankan tabiat membasuh tangan amat penting diamalkan terutama apabila menyentuh bayi atau ketika menyediakan makanan.

"Kita terdedah kepada jangkitan kuman melalui sentuhan sama ada menerusi sentuhan pada mata, mulut, hidung atau makanan yang mampu menyerang sistem pertahanan badan. Kuman tersebar apabila seseorang itu bersin ke atas tangannya sendiri dan seterusnya menyebarkan kuman berkenaan sama ada menerusi sentuhan seperti memegang tombol pintu ataupun melalui aktiviti bersalam. Di tadika atau nurseri, kanak-kanak berkongsi permainan. Kuman boleh dijangkiti melalui sentuhan dan air liur kesan gigitan pada permainan berkenaan," katanya.

Kajian juga menunjukkan bahawa mencuci tangan dengan cara yang betul adalah cara terbaik daripada jangkitan penyakit iaitu sekitar 45 peratus jangkitan mampu dihindar dengan amalan mencuci tangan yang kerap.

INFO: Cara membasuh tangan dengan betul

Bersih dengan sabun



Gunakan sabun cecair sekurang-kurangnya sebesar syiling 50 sen ke bahagian tapak tangan. Anda boleh juga menggunakan sabun buku, tetapi perlu melebihkan aktiviti menggosok.


Mulakan menggosok tangan anda dengan mengikut arah jam,

perlahan-lahan pada mulanya dan seterusnya semakin pantas. Apabila buih mula terbentuk, berhenti seketika sebelum menyambung menggosok semula.


Celahan jari adalah tempat kegemaran kuman bersembunyi. Bahagian tangan yang lembap serta sempit ini menjadi tempat persembunyian ideal kuman.


Selepas membersihkan celah jari, kuku wajar dibersihkan sekali. Jika anda menggunakan sabun cecair, gosok setiap hujung kuku dengan bancuhan

sabun berkenaan sehingga bersih.


Mencuci atau membasuh tangan tidak semestinya hanya pada jari, tapak tangan dan kuku saja, pergelangan tangan juga perlu dibersihkan.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url