Bagaimana masyarakat Cina mengundi? (PRK Kuala Terengganu)

Bagaimana masyarakat Cina akan mengundi pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini?

Ini merupakan soalan yang membingungkan kepala pemerhati politik, penganalisis dan parti-parti politik dalam pilihan raya kecil ini dan begitu juga dengan pasukan pemikir dari kedua-dua parti terutama apabila undi majoriti Melayu dijangka terbahagi sama rata.

Pengundi Melayu berjumlah 70,834 daripada 80,229 pengundi. Pengundi Cina pula berjumlah 8,735 iaitu kira-kira 11 peratus daripada jumlah pemilih dengan kebanyakan daripada mereka bertumpu di bandar Kuala Terengganu atau Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Bandar.

Kebanyakan pengundi Cina berada di dalam kawasan DUN Bandar yang diwakili satu-satu calon Cina mewakili MCA iaitu Toh Chin Yaw.

Walaupun Barisan Nasional (BN) dapat mengekalkan kawasan Parlimen dan DUN Bandar pada pilihan raya umum 8 Mac, dengan majoriti yang diperolehi, ia mengejutkan jentera BN berikutan mood dan sentimen pengundi berbeza dari semasa ke semasa.

Statistik menunjukkan bahawa majoriti undi yang diperoleh BN berkurangan menjadi 628 berbanding 1,933 undi pada 2004, manakala bagi kerusi DUN Bandar, undi majoriti Chin Yaw berkurangan kepada 1,142 berbanding 1,612 undi pada 2004.

Chin Yaw telah membuktikan bahawa dengan menjadi satu-satunya calon yang mewakili kaum Cina di negeri itu telah memberikan kelebihan kepada BN untuk memperoleh 80 peratus undi masyarakat Cina di DUN Bandar.

Dengan populariti Allahyarham Datuk Razali Ismail di kalangan pengundi masyarakat Cina yang telah membantu beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis. Allahyarham Razali terkenal di kalangan masyarakat Cina kerana tidak jemu-jemu membantu terutama dalam perkara berhubung pendidikan.

''Masyarakat Cina di sini mengundi Cikgu Razali sebagai satu daripada cara mereka melahirkan penghargaan mereka kerana beliau banyak membantu mereka walaupun penduduk Cina di negara ini telah menunjukkan sentimen mereka semasa pilihan raya umum, kata seorang pemimpin masyarakat tempatan.

Bagaimanapun, sentimen itu mungkin berbeza semasa pilihan raya kecil, memandangkan dalam mana-mana pilihan raya kecil, trend di kalangan pengundi Cina akan memihak kepada pembangkang di Parlimen sementara menyokong BN di peringkat negeri.

Mengetahui fakta-fakta tersebut dengan betul, perancang parti dari kedua belah pihak telah merangka strategi untuk meraih sokongan daripada 8,735 pengundi Cina di kawasan itu.

Pas telahpun mendakwa bahawa pengundi Cina menyambut baik calon mereka, Mohd. Abdul Wahid Endut, dengan berkata, semakin ramai orang bertumpu kepada ceramah-ceramah mereka.

''Semasa pilihan raya umum, hanya sebilangan kecil orang yang hadir, tetapi kali ini, kami dapati ramai orang bertumpu kepada ceramah kami dan majlis-majlis lain,'' kata Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua.

Ini menyebabkan mereka percaya 'pengundi Cina tempatan telah berubah hati' seperti yang dikatakan Tian Chua bahawa: ''Sesetengah pengundi Cina telah membuat keputusan. Kami sudah tahu siapa yang akan mereka undi,'' katanya.

Sementara itu, BN tidak tawar hati dan telah merangka strategi untuk mengingatkan pengundi Cina tentang apa yang telah dilakukan Pas semasa memegang tampuk pemerintahan negeri itu dari 1999 hingga 2004.

''Tak ada isu dengan masyarakat Cina tempatan. Kami bimbang dengan isu nasional yang diputar belit oleh pembangkang. Kami perlu membuat banyak penjelasan,'' kata Ketua Pemuda MCA Terengganu, Toh Seng Cheng.

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url