Usah terpengaruh taktik Pas (PRK Kuala Terengganu)

Pengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu diingat agar tidak mudah terpengaruh dengan taktik Pas yang menggunakan agama untuk kepentingan politik mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini dapat diperhatikan melalui pelbagai kenyataan, fatwa dan perutusan berunsur keagamaan yang dijadikan modal pimpinan parti itu untuk menarik sokongan kepada mereka setiap kali adanya pilihan raya.

''Dari dulu lagi mereka menjadikan agama sebagai alat. UMNO menggunakan politik untuk agama, tetapi mereka guna agama untuk politik. UMNO sama sekali tak akan gunakan agama sebagai pentas (politik),'' katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika mengulas pengedaran risalah yang dinamakan 'Perutusan Khas' Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada pengundi untuk Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, yang akan berlangsung pada 17 Januari ini, sejak beberapa hari lepas.

Risalah bertarikh 6 Januari yang mempunyai tanda tangan Nik Aziz, dan juga gambar Menteri Besar Kelantan itu, antara lain menyebut, mengundi sebuah parti yang mahu menegakkan Islam adalah wajib.

Ahmad Zahid berkata, kenyataan seperti 'undi Pas dapat pahala' dan mengedarkan perutusan seolah-olah hukum mengundi Pas adalah wajib, adalah tidak adil dan sangat berbaur politik.

''UMNO juga mendahulukan Islam, kita juga banyakkan program keagamaan. Kita tidak mempolitikkannya dan juga tak halang agama lain untuk diamalkan.

''Bagi saya, perutusan seperti yang dikeluarkan Mursyidul Am Pas ini bertujuan mengelirukan pengundi, supaya pengundi terdorong menyokong mereka,'' katanya.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail 28 November lalu.

Ia bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh; calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut dan calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam.

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url