Berhenti fitnah polis - Ketua Polis Terengganu

Pemimpin Pakatan Rakyat diminta berhenti menyebarkan fitnah kononnya polis menyamar sebagai penyokong Pas untuk melakukan provokasi pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan menegaskan pihaknya tidak pernah menghantar anggota Cawangan Khas untuk menyusup masuk ke dalam markas parti pembangkang.

"Bagaimana pegawai polis hendak masuk ke dalam markas Pas. Ahli Pas kenal antara satu sama lain manakala orang luar pula perlu memakai kad pengenalan diri.

"Jangan memfitnah polis dengan membuat kenyataan rambang. Pihak polis tidak pernah membuat perancangan untuk menyusup masuk ke dalam markas Pas," katanya pada sidang akhbar harian di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan Pas bahawa polis Cawangan Khas menyamar sebagai penyokong parti itu untuk mendapatkan maklumat.

Mohd. Shukri berkata, sekiranya dakwaan itu benar, parti pembangkang boleh menangkap atau menghalau 'anggota polis' berkenaan dari markas mereka.

"Mengapa tidak menangkap atau menghalau dia kalau sudah tahu dia pegawai Cawangan Khas. Kemudian maklumkan kepada saya," ujarnya.

Beliau menambah, kehadiran anggota polis hanya bertanggungjawab menjaga keselamatan serta ketenteraman awam, lalu lintas dan kegiatan jenayah.

Mohd. Shukri seterusnya meminta semua pihak tidak mempolitikkan kehadiran kira-kira 6,000 anggota dan pegawai polis di Kuala Terengganu sempena pilihan raya kecil kawasan itu.

"Polis adalah pasukan yang matang dan tahu tanggungjawabnya iaitu mengawal keselamatan. Jika peranannya dipolitikkan, ia tidak bagus untuk keselamatan semua pihak," ujarnya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, polis telah menghentikan dua ceramah kerana tidak mempunyai permit semalam.

Menurutnya, ceramah berkenaan diadakan di markas Barisan Nasional (BN) di Kampung Pulau Musang dan markas Pas di Kampung Kubang Jambu.

"Sehingga hari ini sebanyak 27 permit telah dikeluarkan iaitu 18 permit kepada Pas dan sembilan kepada BN," katanya.

Jelasnya, polis juga telah menerima dua laporan kes menurunkan bendera milik DAP yang dipasang di tiang lampu di Jalan Sultan Abidin dan tempat letak kereta Kampung Cina di sini oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

"Semalam, saya menerima laporan lapan kes penurunan bendera yang dilakukan oleh SPR," ujarnya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url