Beri peluang BN realisasikan visi Razali
Ketika menyampaikan ucapan di majlis ceramah mega pakatan pembangkang di Kampung Tanjung Kapur, Kuala Terengganu, pada Selasa lalu, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali menggesa golongan pendidik termasuk pesara yang sebelum ini menyokong Allahyarham Datuk Razali Ismail dalam pilihan raya umum lalu supaya memberikan undi mereka kepada calon Pas dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari ini.
Hujah Mustafa ialah ia sebagai pengajaran kepada UMNO kerana Razali dianggap menjadi mangsa politik wang dalam pemilihan parti itu.
Sebelum ini pembangkang juga mendakwa bahawa lebih 2,000 warga pendidik propembangkang semasa pilihan raya umum lalu memberi sokongan dan bekerja untuk kemenangan Razali kerana karisma dan menghormati jasa-jasa Allahyarham.
Persoalannya, wajarkah warga pendidik dan pesara melontarkan undi mereka kepada pembangkang semata-mata untuk memberi pengajaran berasaskan kepada satu dakwaan yang belum tentu kebenarannya?
Allahyarham Razali ketika hayatnya bertungkus-lumus setiap masa untuk meningkatkan tahap pendidikan di Terengganu, malah Allahyarham juga pernah menyatakan bahawa bidang pendidikan dekat di hatinya dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan perkembangan pendidikan di Kuala Terengganu tidak terbantut.
Hakikatnya, terlalu banyak yang dirancang oleh Allahyarham dalam bidang berkenaan tetapi Allah menentukan segala-galanya, impian Allahyarham tidak sempat direalisasikan dan visi belum sempat dilaksanakan. Tetapi ini bukan bermakna semua itu hanya tinggal mimpi indah seperti mana impian pembangkang hendak menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang pada 16 September 2008.
Sebaliknya, golongan pendidik termasuk pesara yang menyayangi Allahyarham masih mampu meneruskan impian dan visi Allahyarham dengan memastikan BN terus bertapak di Kuala Terengganu. Hanya melalui cara itu sahaja apa yang dicita-citakan oleh Allahyarham akan tercapai.
Dalam soal ini, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sendiri sudah memberi jaminan akan merealisasikan segala visi, impian dan perancangan Allahyarham Razali khususnya dalam bidang pendidikan di Kuala Terengganu. Malah beliau sendiri telah memberi jaminan kepada calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bahawa segala apa yang dirancang oleh Razali akan diteruskan.
Jaminan tersebut sudah pasti seribu kali lebih baik daripada seruan Mustafa agar warga pendidik dan pesara melontarkan undi kepada Pas semata-mata untuk memberi pengajaran sedangkan tiada apa-apa kebaikan yang bakal mereka peroleh.
Oleh itu warga pendidik dan pesara yang berjumlah lebih 5,000 orang di Kuala Terengganu seharusnya tidak terpengaruh dengan seruan Mustafa itu yang ternyata sekali hanya bertujuan politik. Tindakan memberikan undi semata-mata kerana protes atau tidak berpuas hati tidak akan menguntungkan mereka.
Jika mereka benar-benar sayangkan Razali mereka perlu memastikan impian, visi dan perancangan Razali diteruskan dan bukannya membiarkan ia terhapus begitu sahaja semata-mata kerana terpedaya dengan hujah pemimpin Pas yang lebih mengutamakan undi daripada kepentingan meningkatkan taraf pendidikan di Kuala Terengganu seperti mana yang dicita-citakan oleh Razali.
Adalah sesuatu yang malang apabila Pas cuba mempengaruhi warga pendidik dan pesara untuk menyokong mereka semata-mata kerana sentimen bencikan UMNO sehingga sanggup mengorbankan usaha meneruskan apa yang ditinggalkan oleh Allahyarham.
Kita memahami Pas bertindak memainkan sentimen Razali demi untuk meraih undi, mereka tidak ada niat lain. Mereka memuji Razali seolah-olah ketika berkempen dalam pilihan raya umum lalu Allahyarham tidak pernah menjadi mangsa kecaman Pas.
Justeru adalah wajar dalam soal ini, warga pendidik dan pesara memikirkan dengan semasak-masaknya sebelum membuat keputusan. Ini bukanlah soal untuk membalas dendam sebaliknya untuk memastikan visi yang ditetapkan oleh seorang pemimpin yang sepanjang hayatnya masih belum sempat dilaksanakan mampu direalisasikan.
Bidang pendidikan di Kuala Terengganu tidak akan mendapat apa-apa faedah kalau warga pendidik terpengaruh dengan dakyah Pas. Oleh itu, mereka perlu memberi peluang kepada BN untuk membuktikan komitmennya meneruskan visi Razali.
Ingatlah pesanan Hishammuddin yang menegaskan, ''Hujah-hujah Pas bila sekali dengar memang nampak munasabah tetapi bila kita fikir semuanya untuk kepentingan mereka dan merugikan rakyat Terengganu dan Kuala Terengganu."
- Utusan