Pendekatan 3M Wan Farid

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengambil pendekatan 3M iaitu mendengar, memahami dan menyelesaikan masalah rakyat dalam usaha mendekatkan diri dengan para pengundi.

Selain itu, katanya beliau juga akan lebih kerap memberikan senyuman dalam menangkis persepsi negatif seperti sombong dan tidak mesra rakyat yang dilemparkan terhadapnya .

‘‘Saya juga ingin menjadi wakil rakyat yang mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan bukan sekadar mendengar sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Menjana Modal Insan Terbilang Sekolah Kebangsaan Gong Kapas di sini hari ini.


Mengenai tindakan pihak tertentu yang terus menyebarkan dakyah bahawa beliau seorang yang tidak mesra rakyat, Wan Ahmad Farid berharap pengundi tidak mudah terpengaruh dengan persepsi negatif berkenaan.

‘‘Apa yang mereka lakukan bertujuan untuk memburukkan imej dan integriti saya sejak saya menjadi calon BN.

‘‘Berilah saya peluang untuk menemui semua peringkat masyarakat dan menunjukkan saya boleh menjadi wakil rakyat yang baik,” ujarnya.

Beliau menambah, tohmahan seperti itu tidak lain hanyalah muslihat pihak lawan untuk memberikan gambaran negatif terhadap peribadinya.

Sedangkan kata beliau, pada realitinya sesiapa yang mengenalinya akan menyanggah tohmahan seperti itu.

‘‘Kalau tanya mereka yang pernah saya bantu sama ada golongan nelayan, orang miskin, pesakit kanser dan sebagainya, mereka ini pasti menyanggah sama sekali tanggapan tersebut.

‘‘Sebenarnya cerita ini kita tahu hanya timbul dua minggu lepas sahaja, sebelum ini 14 tahun saya dalam politik tak timbul pun,” jelasnya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url