BN perlu bingkas bangun – Najib

Seluruh pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) mesti bangkit dan bingkas kembali menyusun strategi perubahan kepada parti dan negara bagi mengelak dihukum pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Mereka juga diingatkan supaya tidak lagi duduk dalam zon selesa sebaliknya mengubah paradigma dan pendekatan berpolitik supaya ia lebih berorientasikan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika memberi peringatan itu berkata, jika pemimpin BN gagal menangani cabaran ‘pembaharuan dan perubahan’ dengan cemerlang, parti yang memerintah selama lebih 50 tahun akan menerima hukuman dalam pilihan raya umum kelak.

“Saya ingin menggesa semua pemimpin di bawah payung BN untuk sama-sama bangkit dan bingkas kembali menyusun strategi melakukan perubahan, baik kepada diri mahupun kepada parti demi kesejahteraan bangsa dan tanah air.

“Kerajaan BN perlu memastikan program-program kerajaan berteraskan keperluan rakyat supaya kita sentiasa dekat di hati dan sanubari rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran buku Politik Baru, Mematangkan Demokrasi Malaysia yang ditulis oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Buku keempat tulisan Saifuddin itu diterbitkan dalam dwibahasa oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).

Menurut Najib, BN tidak boleh sekali-kali membiarkan wujudnya jurang antara aspirasi rakyat dan hala tuju kerajaan.

Justeru beliau berkata, demi melaksanakan agenda perubahan dan pembaharuan, kerajaan BN memerlukan pemimpin yang berkebolehan dalam bidang yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Pemimpin itu katanya, mesti membawa pemikiran glokal dengan ideanya merentasi sempadan negara dan pada masa sama jiwa dan akarnya berteraskan kepada tanah air.

“Rakyat Malaysia sudah cukup matang dalam menilai pemimpin mereka dan mereka tidak mahu lagi didendangkan dengan lagu-lagu sumbang tentang retorik perubahan tetapi hampas isi di dalamnya.

”Mereka mahukan hasilnya, mereka mahu melihat perubahan itu berlaku,” katanya.

Malah beliau menjelaskan, perubahan dan pembaharuan sudah menjadi tema dominan dalam arus politik dunia.

Misalnya jelas beliau, Barack Obama berjaya meniti arus perubahan apabila mengalahkan calon establisment bagi memperoleh pencalonan dari Parti Demokrat dan seterusnya memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS).

“Semasa berkempen, tema ucapannya (Obama) sentiasa berkisar kepada harapan, perubahan dan pembaharuan.

“Sesungguhnya formula itu telah berjaya mencetuskan gelombang perubahan dan pembaharuan yang amat signifikan dalam susur galur sejarah politik AS,” katanya.

Dalam hal ini, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan BN sentiasa peka kepada gelombang pembaharuan kerana insaf bahawa dalam sistem demokrasi, rakyat adalah penentu mutlak kepada parti mana yang akan membentuk kerajaan.

Sebagai sebuah negara majmuk iaitu dengan kepelbagaian etnik, agama dan bahasa, parti pemerintah perlu mempunyai keanjalan dalam merangka strategi yang relevan untuk mendepani cabaran perubahan, kata beliau.

“Kita harus menginsafi bahawa kejayaan dasar sosioekonomi yang telah digubal oleh kerajaan bersama dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi dan pengangkutan global telah mengubah landskap politik negara secara komprehensif,” katanya.

Najib menjelaskan, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional dan Dasar Pembangunan Wawasan serta tumpuan luar biasa kerajaan sejak merdeka terhadap pembangunan modal insan telah berjaya mewujudkan kelas menengah yang besar saiznya.

“Kelas menengah ini mempunyai aspirasi yang berbeza berbanding generasi sebelumnya.

“Tuntutan pembangunan asas yang bersifat dari atas ke bawah telah berubah menjadi tuntutan kualiti hidup dan penyertaan bermakna dalam merealisasikannya,” kata beliau.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url