Public Bank untung RM3.3 bilion

Public Bank Bhd. terus kukuh apabila mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 13 peratus kepada RM3.38 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008, prestasi kewangan tertinggi dalam sejarah penubuhannya.

Pengarah Urusannya, Tan Sri Tay Ah Lek berkata, bank terbesar Malaysia dari segi permodalan itu telah mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM2.58 bilion.

Menurutnya, peningkatan kewangan itu disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam pendapatan faedah dan pembiayaan bersih serta pendapatan kendalian lain.

Malah, beliau optimis bank itu mampu mengekalkan prestasi lebih baik pada tahun ini meskipun mengakui berhadapan dengan cabaran besar ekoran ketidaktentuan ekonomi global.

''Kami yakin Public Bank mampu mencatatkan prestasi lebih baik pada tahun ini berdasarkan strategi yang akan dilaksanakan secara agresif,'' katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan prestasi kewangan 2008 di sini hari ini.

Beliau menjangkakan segmen pembiayaan akan terus tumbuh sebanyak 15 peratus dan menyumbang sebanyak RM18 bilion pada tahun ini.

''Segmen pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pinjaman perumahan serta sewa beli kenderaan akan terus menjana pertumbuhan pembiayaan Public Bank,'' ujarnya.

Ah Lek berkata, meskipun unjuran pembelian kereta pada tahun ini susut kepada 480,000 unit tetapi Public Bank yakin masih mempunyai peluang untuk menguasai pasaran bagi segmen tersebut.

Sementara itu, bagi PKS pula, Public Bank akan terus memenuhi keperluan pembiayaan untuk menyokong peranan sektor itu sebagai pemacu ekonomi negara.

Beliau menambah, walaupun bank itu menyasarkan pertumbuhan dalam segmen pembiayaan namun Public Bank yakin masih mampu mencatatkan penurunan dalam nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) pada tahun ini.

Pada akhir 2008, NPL bersih berkurangan kepada 0.86 peratus daripada 0.93 peratus pada Jun tahun yang sama.

''Public Bank memiliki amalan penyelesaian hutang yang berhati-hati dan sentiasa bersikap terbuka dalam menstruktur semula pinjaman pelanggan berdasarkan kemampuan mereka,'' ujarnya.

Ah Lek berkata, dalam usaha untuk mengekalkan prestasi modal, Public Bank juga merancang untuk menjana modal kira-kira RM1 bilion tahun ini melalui sekuriti modal bukan inovatif Peringkat 1 dan sekuriti hutan subordinat.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url