Bukan Wan Farid sahaja, Najib juga pilihan yang buruk
"Dr Mahathir kata, Wan Ahmad Farid akan dipergunakan nanti jika Najib menjadi Perdana Menteri. Maknanya, jika beliau menang, calon Barisan Nasional (BN) Kuala Terengganu itu akan dipergunakan untuk mempergunakan Najib apabila suami (Datin Seri) Rosmah (Mansor) itu jadi Perdana Menteri.
"Maknanya, kenyataan Dr Mahathir meletakkan begitu banyak pihak sebagai pilihan yang benar-benar sangat buruk. Dia sendiri membuat pilihan yang benar-benar sangat buruk apabila memilih (Datuk Seri) Abdullah (Ahmad Badawi) sebagai penggantinya.
"Najib juga adalah pilihan yang benar-benar sangat buruk kerana kenyataan Dr Mahathir itu menunjukkan dengan jelas dan tak berselindung lagi bahawa suami Rosmah itu boleh dipergunakan," kata beliau.
Ketika diminta mengulas lanjut mengenai Wan Ahmad Farid, Mohamad Sabu berkata: "Cukup terang dah apa yang Dr Mahathir kata itu. Tak perlu tambah dah".
Diminta mengulas dakwaan Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya PAS "ketandusan isu untuk dicanang pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu," Mohamad Sabu menyifatkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu mengidap penyakit tidak nampak yang sangat kronik.
"Tak baiklah kata Muhyiddin buta. Tetapi, beliau nampaknya mengidap penyakit tidak nampak yang sangat kronik. Isu terlalu banyak, masalahnya ruang untuk kita mendedahkannya terlalu terhad.
"Saya nak tanya Muhyiddin, boleh tolong usahakan untuk kita 'airtime' di TV3, RTM dan lain-lain saluran? Tak perlu banyak, satu hari satu jam pun cukup, katakan dari pukul 9.00 hingga pukul 10.00 malam. Kita boleh bagi dia nampak sama ada PAS ketandusan isu atau tidak," katanya.
Dr Mahathir menyifatkan pemilihan Wan Ahmad Farid sebagai calon BN di dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu 17 Januari akan datang sebagai "benar-benar pilihan yang sangat buruk".
"Pemilihan calon ini oleh Barisan Nasional benar-benar sangat buruk. Semua orang melihat beliau hanya sebagai proksi. Seseorang yang akan dipergunakan nanti jika Najib menjadi Perdana Menteri. Inilah orang-orang yang akan mengelilinginya," kata beliau menurut rakaman video Malaysiakini (http://www.malaysiakini.tv/video/16548.html).
Sebelum ini, dari pendedahan Dr Mahathir juga, Malaysiakini melaporkan Najib dibayangi "budak-budak Tingkat Empat (Jabatan Perdana Menteri)".
Dr Mahathir juga pernah menyifatkan Najib tidak cekap, lemah dan pengecut, tidak menunjukkan sebarang kekuatan dalam bidang politik dan lebih bersifat seorang pengikut dari seorang pemimpin.
Beliau juga tidak yakin Najib mampu menghadapi cabaran berikutan kemelesetan ekonomi global.
Bekas Presiden Umno itu juga pernah menyatakan beliau tidak yakin peralihan kuasa di dalam Umno akan memulihkan parti itu.
Beliau tidak yakin gejala rasuah dan politik wang dalam Umno dapat dibendung meskipun Najib bakal menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno.
"Apakah dengan peralihan kuasa itu dapat memulihkan parti? Saya tidak boleh yakin lagi kerana saya belum lagi nampak Najib mampu menyelesaikan masalah rasuah dan politik wang.
"Kita tidak akan dapat semula Umno yang bersih untuk mewakili kita selagi ia tidak dibendung," katanya.
Bekas Presiden Umno itu berkata, gejala itu agak sukar dikawal kerana rasuah telah menjadi satu budaya di kalangan ahli-ahli Umno yang mahukan sesuatu jawatan terutamanya menjelang perhimpunan Agung Umno pada Mac depan.
Sebelum itu, Dr Mahathir menganggap peralihan kuasa adalah sia-sia apabila Najib menyatakan beliau mahu meneruskan polisi-polisi yang dilaksanakan oleh Abdullah.
"Najib menyatakan bahawa beliau akan meneruskan Islam Hadhari. Ini bukan petanda yang baik kerana ia menunjukkan peralihan yang berlaku hanya peralihan bentuk tubuh badan sahaja, bukan polisi-polisi.
"Para pengundi tidak suka polisi-polisi yang dibawa oleh Abdullah, oleh itu mereka akan terus menolak Umno. Oleh itu, peralihan itu sia-sia sahaja," The Star memetik beliau berkata.
- Harakah Daily