Bursa Malaysia: Tahun 2009 amat mencabar

Bursa Malaysia Bhd. (Bursa Malaysia) menyifatkan 2009 merupakan tahun yang amat mencabar memandangkan pasaran mudah meruap.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Yusli Mohamed Yusoff berkata, buat masa sekarang para pelabur masih menunggu 'isyarat' kukuh sebelum memasuki pasaran untuk melabur.

''Bagaimanapun, setakat ini, kekal tidak menggalakkan,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ditanya tentang pasaran saham tempatan, Yusli berkata, pasaran kini berada dalam keadaan mendatar, lebih baik berbanding pasaran di negara-negara lain yang mengalami kejatuhan antara lima hingga 10 peratus.

Beliau berkata, prestasi semasa turut memberikan kesan kepada pendapatan Bursa Malaysia pada tahun ini.

Katanya, Bursa Malaysia telah mengambil langkah mengenalkan beberapa inisiatif termasuk memperkenalkan penanda aras baru FTSE Bursa Malaysia KLCI untuk memacu pasaran.

''Kita juga merancang memperkenalkan Indek Perladangan bagi memperkukuhkan pasaran kerana jika pasaran pulih nanti, Bursa Malaysia akan berada dalam keadaan baik untuk mendapat keuntungan,'' katanya.

Ditanya berapa lama pasaran akan mengambil masa untuk pulih semula, Yusli berkata: ''Buat masa sekarang ia sukar dijangkakan''.

Yusli berkata, sejak tahun lalu, banyak syarikat telah menangguhkan penyenaraian tawaran awal permulaan (IPO) mereka berikutan ketidaktentuan pasaran.

Bagaimanapun, beliau tetap berkeyakinan bahawa masih terdapat syarikat yang akan menawarkan IPO pada tahun ini.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url