Malaysia ada pembunuh upahan?

BENARKAH ada pembunuh upahan di Malaysia? Itu merupakan antara persoalan yang sering ditimbulkan setiap kali berlaku kejadian bunuh terutama yang membabitkan tokoh politik dan ahli perniagaan.

Apabila kejadian bunuh berprofil tinggi berlaku, orang ramai akan mengaitkannya dengan pembunuh upahan.

Ada yang mendakwa upah untuk bunuh orang hanya serendah RM1,000. Jika ia membabitkan tokoh politik dan ahli perniagaan pula RM30,000.

Tetapi sejauh mana dakwaan ini benar atau sekadar cerita rekaan dan tambahan bagi mewarnakan lagi sesuatu kejadian bunuh itu.

Polis mengakui wujudnya pembunuh upahan di kalangan penjenayah dan pembunuh di negara ini.

Kelompok pembunuh ini sanggup membunuh seseorang itu tanpa motif tertentu tetapi asalkan dia dibayar upah, ‘kerja’ membunuh pasti beres.

Berdasarkan maklumat risikan polis, seseorang pembunuh upahan menerima bayaran lumayan untuk melakukan satu pembunuhan.

Modus operandinya pula, mengikut penjelasan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Bakri Mohd. Zinin berkata, lazimnya pembunuh upahan ini bertindak dalam kumpulan dan membunuh tanpa perbincangan.

‘‘Saya tidak menafikan wujudnya pembunuh upahan tetapi ia adalah kes yang terpencil di negara kita,’’ katanya kepada Unit Khas Utusan Malaysia ketika ditemui di Bukit Aman di sini, baru-baru ini.

Beliau yang agak keberatan untuk membincangkan dengan terperinci mengenai kewujudan pembunuh upahan di Malaysia bagaimanapun berkata, adanya pembunuh upahan disebabkan ada orang yang sanggup membayar upah kerana dendam di antara dua individu.

‘‘Nyawa orang bukannya murah. Ada yang diupah RM5,000 ke RM30,000 untuk membunuh tetapi selalunya sesuatu pembunuhan itu perlu ada motif,’’ katanya.

Beliau berkata, pembunuh upahan perlu menentukan terlebih dahulu sama ada orang yang disasarkan itu adalah individu yang betul sebelum dibunuh.

Ini kerana, kata Bakri, tidak mungkin seorang pembunuh upahan itu menembak mati salah orang.

Oleh yang demikian, katanya, perlu ada orang lain yang membawa atau menunjukkan kepada pembunuh upahan ini, siapakah mangsa yang akan dibunuhnya.

Beliau berkata, dalam menilai kategori penjenayah dan pembunuh yang berjaya ditangkap polis dan telah pun dijatuhi hukuman oleh Mahkamah, pihaknya agak sukar untuk menentukan siapakah sebenarnya pembunuh upahan kerana tidak pernah sekali pun seseorang pembunuh itu mengakui dirinya adalah pembunuh upahan.

‘‘Tiada asas untuk menentukan siapakah pembunuh upahan dan memang kita tidak boleh menafikan adanya kes bunuh yang membabitkan ‘kerja’ yang dilakukan oleh pembunuh upahan kerana apabila bercakap soal jenayah, semuanya ada,’’ ujarnya.

Bakri menyimpulkan, agak sukar bagi pihaknya untuk memberikan jumlah atau bilangan pembunuh upahan yang ada dalam negara ini.

‘‘Atas dasar apa untuk kita katakan yang pembunuh itu adalah pembunuh upahan? Samalah seperti jika dikatakan kurang dari 1 peratus pembunuh upahan ada dalam negara kita.

‘‘Itu tidak tepat sama sekali tetapi yang nyata motif pembunuh upahan adalah duit,’’ katanya berulang-ulang kali.

Beliau berkata, tidak perlulah membuat persepsi terhadap kewujudan pembunuh upahan berdasarkan kejadian bunuh yang kerap berlaku di negara ini.

Ini kerana, beliau mendakwa, daripada 588 kes pembunuhan yang berlaku di seluruh negara sepanjang tahun lepas tiada satu pun yang dilakukan oleh pembunuh upahan.

Bertugas sebagai warden yang mengawasi banduan hukuman mati di blok akhir dalam penjara bukanlah satu tugas mudah.

Ini kerana di kalangan banduan akhir yang menjalani hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 serta lain-lain kesalahan, tiada siapa pun yang mengenali siapakah di kalangan mereka adalah pembunuh upahan.

Menurut Timbalan Penguasa Penjara Kajang, Abd. Zaini Ibrahim , 43, berpengalaman selama hampir 20 tahun berkhidmat sebagai pegawai penjara, tidak pernah bertembung dengan banduan akhir yang merupakan pembunuh upahan.

‘‘Tidak mungkin kita boleh tahu kerana dalam penjara ini, kalau gangster kecil-kecilan, merekalah kumpulan yang akan menunjuk-nunjuk tetapi kalau banduan yang ganas di luar, dalam sini mereka seperti low profile,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Beliau yang pernah menjadi warden blok akhir di Penjara Pulau Pinang sebelum dipindahkan bertugas di bahagian pengurusan Penjara Kajang berkata, di kalangan banduan yang disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302, pada zahirnya kelihatan sama.

Menceritakan sedikit sebanyak pengalamannya sebagai warden, Abd. Zaini berkata, mereka terdedah kepada pelbagai risiko terutamanya risiko keselamatan ditimpa kecederaan.

‘‘Saya bernasib baik kerana tidak pernah diserang oleh banduan akhir ketika bertugas di Penjara Pulau Pinang dahulu, cuma pengalaman berhadapan dengan banduan degil dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap saya,” akuinya.

Sementara itu, seorang lagi kakitangan Penjara Kajang yang bertugas sebagai warden banduan akhir, Inspektor Rizal Anak Sanjo, 29, berkata, beliau tidak dapat membayangkan situasi berhadapan dengan pembunuh upahan yang tidak diketahui kewujudannya di blok akhir.

Katanya, jika sekalipun ada pembunuh upahan yang menjalani hukuman di blok tersebut, tiada siapa yang mengetahuinya.

‘‘Banyak cerita negatif yang saya dengar sebelum ditugaskan mengawal banduan akhir tetapi hal pembunuh upahan ini, langsung tidak pernah saya dengar.

‘‘Bukan semua mereka berkelakuan liar mahupun ganas sebaliknya ramai yang berubah sikap dengan menjadi insan yang lebih baik dan bertakwa,’’ katanya.



- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url