Calon pemimpin mesti mampu bawa kesejahteraan kepada rakyat

ISLAM meletakkan kaedah khusus bagi memilih seseorang calon pada pilihan raya untuk membawa kesejahteraan rakyat dan negara serta hala tuju matlamat hari ini hingga masa akan datang.

Kaedah pertama ialah memperkuatkan niat untuk membuat pemilihan dengan ikhlas kerana sesuatu amalan itu dilihat kepada niat seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya segala amalan itu bergantung pada niatnya."

Kedua ialah memilih orang yang cekap dan amanah kerana jika orang yang tidak cekap dipilih, akan menyebabkan kacau bilau kerana kegagalan melaksanakan kerja yang diamanahkan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila diserahkan sesuatu urusan (amanah) kepada yang bukan ahlinya, tunggulah saat kegagalan atau kerosakannya." (Hadis riwayat Bukhari dari Abu Hurairah)

Sesungguhnya Allah sudah meletakkan amanah dan kepercayaan ke atas pemimpin dan pemerintah untuk menguruskan hamba-Nya. Maka apabila mereka itu tidak memilih dengan teliti orang yang cekap dan beramanah bererti mereka sudah menghilangkan amanah yang Allah beri kepada mereka.

Pemilihan juga berdasarkan kepada kebenaran, memiliki pengetahuan serta tahu selok belok pengurusan bagi memudahkan proses kepemimpinan apabila dipilih nanti untuk memimpin mereka yang memilihnya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya yang terbaik kamu ambil untuk bekerja atau berkhidmat (pada kita) ialah orang yang kuat lagi beramanah (dapat dipercayai)." (Surah al-Qasas, ayat 26)

Kita sangat memerlukan tokoh yang pandai menjaga segala kepentingannya, memiliki ketrampilan ilmu serta mampu memelihara segala apa yang sedia ada dan memeliharanya. Selain itu, tokoh berkenaan mestilah mempunyai daya usaha mengendalikan segala urusannya.

Tokoh yang dipilih perlu mempunyai kedudukan tinggi dengan kepercayaan orang ramai kepadanya serta pengaruh yang cukup. Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya kamu (wahai Yusuf), mulai hari ini, menjadi seorang pemimpin yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai." (Surah Yusuf, ayat 54)

Saling bantu membantu juga adalah ciri perlu ada pada calon pemimpin untuk bersama pihak yang dipimpin berjuang meninggikan martabat serta bersama mencari keredaan Allah.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menunjukkan ke arah kebaikan untuk dilakukan oleh orang lain, dia akan turut mendapat kebaikannya apabila kebaikan itu dilaksanakan."

Umar Ibnu Khattab berjaya menamatkan kes berkenaan jawatan pemilihan Khalifah apabila beliau mengatakan kepada Abu Bakar di Dewan Persidangan Bani Saidah: "Hulurkanlah tangan kananmu wahai Abu Bakar, untuk aku mulakan mubayah (sumpah setia) kau."

Seterusnya Umar berucap: "Wahai orang ramai sekalian, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah memilihnya untuk agama kita, kenapakah kita tidak wajar memilihnya untuk dunia kita pula?"

- Berita Harian
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url