Masalah psikologi jejas kesihatan

Mengubah cara berfikir dan mengawal emosi adalah ubat paling berkesan bagi mengatasi pelbagai masalah kesihatan dan gejala sosial yang dihadapi masyarakat hari ini. Pakar psikologi berpendapat, gangguan emosi dan personaliti negatif menyebabkan ramai dihinggapi penyakit kronik yang tidak boleh disembuhkan dengan ubat mahupun sikap negatif lain seperti memandu laju di jalan raya sehingga mengancam nyawa orang lain, meragut, membunuh diri, kadar perceraian yang tinggi dan sebagainya.

Semua gejala ini adalah petunjuk ketidakstabilan emosi mahupun personaliti yang melahirkan sikap buruk seperti yang ditunjukkan masyarakat hari ini. Seandainya tidak ‘dirawat’, ia boleh meletup bila-bila masa dan menjatuhkan moral masyarakat yang bebas melakukan apa saja diinginkan hati tanpa memikirkan kesannya.

Profesor Psikologi Fisiologi dan Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Yahaya Mahamood, berkata gejala penyakit hari ini, sama ada penyakit kronik mahupun sosial memperlihatkan keperluan elemen psikologi bagi menanganinya.

“Dalam hubungan ini, psikologi iaitu sikap, tabiat, tingkah laku, persepsi dan sebagainya yang cenderung kepada sifat negatif perlu diubah kepada positif. Personaliti yang kurang baik atau negatif biasanya boleh meningkatkan risiko penghidapan. Misalnya, mengelakkan gemar makan manis boleh mengurangkan risiko diabetes.

“Perbuatan yang tidak disusuli dengan minda positif mampu menyerlahkan tingkah laku kurang baik seperti memandu laju tanpa memikirkan keselamatan orang lain, cubaan membunuh diri yang semakin menjadi-jadi hari ini dan sebagainya,” katanya.

Dr Yahaya berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada Seminar Psikologi dan Pembangunan Manusia baru-baru ini. Seminar anjuran bersama UKM dan Persatuan Psikologi Malaysia (Psima) itu dihadiri 150 peserta dan pembentang dari pelbagai Universiti dalam dan luar negara iaitu Indonesia.

Bertemakan Optimum Sumber Manusia Ke Arah Peningkatan Kualiti Hidup, seminar itu diharapkan membuka peluang kepada penyelidik daripada pelbagai bidang selain disiplin psikologi untuk bertukar fikiran dan mengenalpasti kualiti hidup masing-masing.

Beliau berpendapat, sekiranya personaliti dapat dibaiki, kebarangkalian untuk hidup lebih sejahtera adalah tinggi. Ini boleh dilakukan melalui latihan serta penghayatan. Misalnya, mengapa kes bunuh diri semakin tinggi di kalangan masyarakat Islam hari ini? Walaupun ia mungkin agak sukar kerana sekian lama tabiat itu diamalkan, ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk melaksanakannya jika diamalkan dengan penghayatan.

“Didikan agama sudah diberikan, tetapi sayangnya ia tidak dilakukan dengan konsisten dan tiada penekanan. Nilai bahawa bunuh diri itu adalah satu dosa besar sudah ditanam sejak kecil tetapi ia tidak serius menyebabkan ramai yang lupa mengenainya. Begitu juga dengan amalan agama lain yang kurang penghayatan, menyebabkan ramai yang lalai dan melakukan perbuatan dilarang agama,” katanya.

Beliau berkata, minda, emosi dan motivasi juga berperanan besar dalam penjagaan kesihatan. Faktor emosi juga boleh melemah atau meningkatkan daya tahan terhadap serangan penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis. Emosi juga berkait rapat dengan sistem imuniti dan mempengaruhi minda seseorang dalam membuat keputusan.

“Keluarga dan rumah adalah guru utama dalam pendidikan kesihatan dan kawalan emosi. Sokongan keluarga dan masyarakat dapat mengutuhkan atau sebaliknya sebarang perubahan tingkah laku. Begitu juga dengan sokongan sosial yang diakui menjadi penampan utama dalam kecelaruan kesejahteraan psikologi. Interaksi antara faktor biologi dan fisiologikal adalah perlu dalam pemuliharaan kesejahteraan bagi mengoptimumkan kualiti hidup,” katanya.

Katanya, dalam kegawatan hidup di dunia yang serba mencabar, masyarakat sering terlupa untuk menjenguk keperluan jasad dan minda kepada kesejahteraan dan menilai sejauh mana tahap kualiti hidup. Bagi mencapai hidup berkualiti, emosi juga perlu sejahtera. Ini boleh dilakukan dengan mengubah sikap kerana ia memainkan peranan penting dalam kebanyakan teori pemuliharaan penyakit kronik dan gejala sosial hari ini.

Sikap bertanggung jawab dalam banyak insiden penyakit seperti jantung, obesiti dan sebagainya. Sikap negatif dalam pengambilan bahan dan amalan seksual yang tidak selamat, meningkatkan lagi risiko penyakit ini dan penyakit kelamin termasuk HIV danAids. Beliau turut menyimpulkan, interaksi faktor biologi dan psikologi amat perlu dalam pemuliharaan kesejahteraan dalam usaha mengoptimumkan kualiti hidup.

- Berita Harian
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url