Cerpen - Antara Rumah Putih & Kota Darah

Oleh Ilham Hamdani

“Selamat datang!”

“Ahlan! Datanglah ke daerah berkat! Hampirilah tanahnya Ibrahim!”

Jerit gegar melata di mana-mana - Masjidil Aqsa, Tempat Wuduk, Dome of The Rock, Bangku Cawan, Bangku Pancuran Wuduk, Kubah Ahli Nahu, Kubah Nabi Yusuf, mahupun di celah-celah Bangku Pancuran Wuduk. Kawasan di sekitaran pentas utama; Mimbar Burhanuddin yang diberkati namanya daripada Qadi Baitul Maqdis itu, apatah lagi, sendat sungguh tanpa seinci pun ada ruang, meskipun untuk sebelah kaki cuma.

Dia melambai. Gagah. Megah. Bersamanya angin berhembusan. Damai metah.

Kami di bawah, teruja, mengharap, sedang doa di atma berantai-rantai - Oh Tuhan, inikah jelmaan Malaikat-Mu yang akan menitipkan keadilan untuk sarwajagat? Oh Tuhan, inikah bayangan wali-Mu yang akan mengembalikan kebenaran yang terpadam? Tuhan, dengarlah, makbullah!

Di sebelahnya, di atas Mimbar Burhanuddin yang duduknya pertengahan antara Masjidil Aqsa dan Dome of The Rock; batu berpijaknya Nabi SAW pada malam agung Mikraj, bersemayam beberapa tubuh dibalut pakaian rasmi serba anggun.

“Satu perempuan. Dua lelaki,” saya berbisik.

“Jubah tu membuatkan Hillary kelihatan lebih muda, bukan? Kalaulah dia bertudung, aduhai! Hey, kau tahu, yang kanan tu Robert Gates, Setiausaha Pertahanannya dan yang kiri sekali … err … kalau tak salah, James L Jones, Penasihat Keselamatan Negara. Aku pernah sekali tengok mukanya dalam The Palestine Herald Press.” Rafik di rusuk kiri saya berceritera tanpa dipelawa.

21 Januari - mentari Jerusalem berkelip ceria, seperti membawa cahaya keamanan dari syurga. Pawana damai, entahkan dari Mediterranean, mungkin sahaja dari Laut Mati atau tak mustahil angin Laut Galilee di utara sedang mengirimkan wangi kebahagiaan. Sedang, hudhud yang terbang jauh dari Mount Carmel di Haifa bersorak-sorak sambil bertari-tari.

Pagi ini, kawasan ini yang selalunya bermerah darah, menjadi pentas selebriti, berkarpet warna hati dan lensa-lensa sang paparazzi memercikkan kerlipan cahaya bak bintang kejora di langit Ramallah pada malam bukat. Beberapa pemuda dengan bendera berwarna hitam, putih, hijau dan berbucu merah berteriak garang - Bebas Gaza! Bebas Gaza! Bebas Gaza!

“Tuan-puan .…”

“Hidup Amerika! Hidup Amerika! Hidup Amerika!”

Yang kiri saya, saya tahu, itu ketompokan Yahudi bersipongan, teruja. Lelaki itu terhenti bicara, menarik nafas, seraya tersenyum.

“Muslimin muslimat .…”

“Hidup Palestin! Hidup Palestin! Hidup Palestin!”

Yang kanan saya, saya pasti, itu kumpulan Islam, menjerit - terpesona. Lelaki itu, yang rafik di sebelah saya sempat berbisik tadi - dialah Presiden Amerika yang ke-44 - tersangkak lagi perkataannya. Meski tampangnya dibaham mentari terik, dia tega menguntumkan senyum.

“Semalam, saya dimasyhurkan sebagai orang nombor satu Amerika. Lantas pagi ini, saya mahu memberitahu dunia - keamanan akan dikembalikan, keadilan akan ditegakkan dan tanah Palestin balik buat orang Palestin….”

“Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!”

Pekikan itu tumbuh di mana-mana.

Ada manusia di kanan saya yang kelihatannya langsung sujud. Sebahagiannya meraup muka, setelah berdoa bertangis bersengguk.

“Abi, ummi, suamiku dan anak manjaku, hari ini Tuhan sudah menjawab ratap doa kita. Palestin akan bebas. Alangkah bahagianya jika kalian ada bersama pada pagi ini, alangkah!”

Sungguh. Bicara wanita separuh baya yang menjulang patung perempuan dipalit warna darah itu, sungguh-sungguh mengusik jiwa. Air dari tasik hati, meski diempang semahu daya tetap terpecah, menyungai pada pipi.

Peluh sampai ke keting sudah tak terendahkan lagi. Dengan bandana BEBASKAN PALESTIN bertulisan merah, reneh peluh pada batang hidung saya elus kasar. Hudhud sekawan yang bertenggek pada Kubah Rangkaian tetap riuh berdendang.

“Mana Ehud Olmert?” tukas saya, separuh berbisik. Indera lihat saya melingas atas mimbar raja. Ada orang mengasak dari belakang. Kalau tak ditegaskan, boleh sahaja saya tersembam, terpelanting, bahkan.

“Kau memang ketinggalan zaman, Yousuf!”

Seketika, lensa kami bertembung. Tampang kami tegang.

“Kenapa?”

“Skandal rasuah telah melingkupkan manusia jahanam tu! Dan sekarang, Tzipi Livni yang dulunya Menteri Luar baru sahaja bentuk Kabinet.”

“Oh!” Saya akur kejahilan diri. Saya kaget oleh kilatan yang tiba-tiba singgah tepat. Seorang jurugambar dengan label CNN lantas beredar.

“Ah, siapapun … Livnikah, Olmertkah, asalkan bangsa Yahudi, mereka tetap sama! Keadilan telah lama dikuburkan mereka hidup-hidup. Sudah tu, mana Livni?” tukas saya lagi.

Sambil menyebak rambutnya yang disiram peluh, dia berceritera, “dia hanya menyambut di Ben Gurion Airport, kemudian terus berpisah. Mereka mungkin di The Knesset sekarang. Dengarnya, awal-awal lagi puak Yahudi sudah tahu lelaki itu ke sini seperti kemasukan Salahuddin al-Ayubbi ke kota Baitulmaqdis.”

“Seperti kedatangan Salahuddin al-Ayubbi?!” Bulat mata saya menerjah lensanya, istifham saya membuak-buak, “masakan!”

“Kenapa?” soalnya. Wajahnya menyala.

“Kau bukan tak tahu siapa di belakang sang Presiden! Ahli Kongres Demokratnya sahaja, tak kurang 38 orang berbangsa Yahudi. Joe Biden, Naibnya yang diam lama di bahagian Hubungan Luar tu, ah, satu rahsia umum … dia memang menganak-emaskan Israel. Oh ya! Jangan dilupakan, yang mengaturkan makan minum, pakai tidur lelaki tu di rumah putih adalah Yahudi jahanam, Rahm Emanuel dan pula ayahandanya, Benjamin M Emanuel yang lahir di sini adalah anggota Irgun … militan Zionis!”

“Hey …” Tampang merahnya bersaga benar.

“Lelaki tu datang ke sini sepertinya nabi Muhammad yang membuka Makkah pada sepuluh Hijrah, sepertinya Sultan Muhammad Fatih membuka Konstantinople pada 857 Hijrah dan sepertinya Salahuddin membuka kota Palestin! Lelaki itulah jelmaan Malaikat Allah yang kita tunggu selama enam dekad!”

“Diamlah!”

Wanita yang mengendong anak kecil mendengus bengis. Kami segera diam menekur, menelan kesal, lantas merenung lantai berkilat demi meminjam cahaya bola jingga yang mengawas pada langit alam!

“Bahawa, pada 2 Oktober 1187 Islam di bawah lelaki Kurdish, Salahuddin al-Ayubbi telah menawan kota ini. Anehnya, kata Michaud, sejarawan Perancis - keadilan telah dibebaskan daripada pasungannya. Orang Nasrani dibiarkan tinggal aman di dalam kota. Paderi-paderi gereja dilindungi, biarpun sebenarnya lidah-lidah mereka itulah bara yang memercikkan bunga api yang kemudiannya marak membakar kedamaian kota Nabi Daud ini. Hanya para perajurit berperang sahaja yang dihalau keluar. Itupun hulubalang Yahudi, Guy de Lusignan hanya diberi kata dua - berambus dari sini!

Hari itu, tiada nyawa tak berdosa yang hilang dan tiada darah tak bersebab yang tumpah. Adakah gereja-gereja seperti Moriah, Chotel Maarbi atau Mekom Hamikdash diganggu? Jawabnya, tidak!

Hari ini, sebaliknya sekolah-sekolah dan masjid dibakar. Rumah-rumah pula disodok tanpa ada sedikit pun ihsan dan ibaratnya, sungai-sungai Kidron dan Siloa, Kishon di lembah Jezreel, Cane di Wadi al-Kazab, mahupun Cherith, tempatnya Nabi Elijah, telah merah oleh lebih 1,000 nyawa yang rata-rata kanak-kanak, wanita dan orang tua. Ia mengingatkan kita - kezaliman itu sudah keterlaluan.”

“Anakku sayang, Zionis itu kejam, bukan?” Wanita yang memegang patung tadi membelai mesra patung itu seperti anaknya sendiri, sedang air matanya mengalir deras.

“Bahawa, kemuflisan sedang melanda dunia sekarang dan di antara sekian banyak kemuflisan, yang paling menakutkan adalah muflisnya rasa kemanusiaan!”

Lelaki itu, ah, bicaranya mencairkan, karismanya mempesona sungguh. Alam Jerusalem bagaikan terkunci kata, angin mati arah, mentari bersinar dengan suam-suam, sedang hudhud sekawan terdiam, menekuni hikayat kezaliman.

“Dan pagi ini, pagi kedua saya sebagai polis dunia, saya akan menjadi Salahuddin kedua, memulangkan hak kepada tuannya.”

“Takbir! Allahuakbar!”

Takbir di sana. Tasbih di sini. Tahmid meniti antara bibir, berantai-rantai, tanpa ada wakafnya. Manusia sujud di kiri dan kanan saya. Lantai bumi tanah suci ini telah menjadi saksi - oh keadilan yang siap dikafankan itu masih hidup, rupanya. Seketika nanti ia akan kembali diberi nadi, oleh lelaki hitam itu, ya sepertinya kata Abdul Aziz - lelaki jelmaan Malaikat!

“Saya tahu, keputusan ini akan dibangkang Kongres. Saya pasti keputusan ini ditentang puak-puak politikal Yahudi saya. Tetapi, saya adalah saya. Saya bukannya Bush, bukan juga Clinton, apa lagi Bush tua. Saya adalah saya, hanya akan sujud kepada kebenaran!”

“Jahanam Yahudi! Jahanam Yahudi!”

Seorang pemudi, saya kenal, dia dari Ramallah, berjubah hijau tua menjerit nyaring. Sepanduk bergambar pemimpin Amerika di tangannya dijulang setinggi langit. Dia menjerit lagi, dan kemudian ramai orang ikut meneriak sama.

Indera lihat saya tumpah pada Hillary. Wajah bergulanya kelihatan masam mencuka. Dua lelaki bersamanya hanya menatap bumi, terlihat bermuram durja. Tompokan Yahudi pada sisi kiri saya terdiam. Pun dengus-dengus bernada dendam berbaur amarah tak tersembunyi lagi pada tampang mereka yang lantas sahaja berwajah Zabaniah itu. Beberapa kerat mereka melangkah gontai meninggalkan medan. Medan keramat!

“Hak Palestin yang hilang pada 1948 akan saya kembalikan pada pagi ini.”

Oh Tuhan!

“Kau lelaki hitam berhati putih!”

Saya lihat sepanduk dinaikkan di mana-mana, semberi suara gegak bak nafiri perang yang membakar semangat disemboyankan di sana sini. Bendera Palestin ikut berkibar tatkala diseru pawana - ah, bendera ini akan megahkah nanti, pada saat lelaki itu menawan Rumah Putih?

Cahaya lensa giat terus. Ditalanya di sana dan di sini - wajah lelaki itu, tak tertinggal Hillary dan orangnya. Kemudian melilau lagi, pada orang yang sujud, pemudi Palestin dengan sepanduk yang rencam dan wajah-wajah tua yang tersenyum bahagia.

Indera dengar saya sempat menangkap daripada seorang lelaki tua yang datang bertongkat, “akan aku ceritakan perihal pagi ini kepada cucuku. Dulu, Datukku pernah bercerita - hak Palestin telah dirampas pada pagi 14 Mei dan pagi 21 Januari ini, Palestin telah mendapat haknya semula. Pasti aku kuceritakan!”

Hawa berpupuk lembut. Damai metah. Mentari bercahaya sedang-sedang, awan-gemawan beropol-ropol pada dada langit Jerusalem. Tak pernah saya rasai ria seperti pagi ini, sungguh! Hanya yang dicicip selama dua dekad usia saya adalah rasa kepahitan yang pekat, sedang kedamaian itu kelat sungguh.

“Yousuf, kautengok! Tuhan di atas langit itu telah berkata: Kun, jadi! Fayakun, maka jadilah!”

Rafik berhati waja bersuara senang. Air matanya berkali pada pipi mulusnya. Seorang anak kecil, saya agak tiga tahun usianya, berambut bulu jagung dijulang tinggi oleh ayahanda yang bertakbir kuat. Seorang ibu tua berjubah lusuh yang bernaung di bawah Pancuran Qasim Basya saya lihat langsung sujud, lama, tak panggung-panggung.

Saya diam, tak terkata, hanya indera fikir mengatur bilah bicara, “teruslah kita ucapkan Hamdalah, Abdul Aziz!”

Kami berbalas renungan. Ah, senyumannya manis bak bidadari kayangan. Dia angguk, dua kali, “ya, ya. Alhamdulillah! Pagi ini kita berhimpun di taman syurga, bukan?”

Beberapa detik bersambung, tanah berkat itu terus digirangkan oleh syair riang lelaki Amerika itu. Mentari tetap tergantung molek bagai sebuah obor keamanan. Pawana masih bersepoi damai, sedang hudhud leka menyanyikan lagu kebahagiaan.

Alam gelap tiba-tiba pada seminit berselang.

“Allahuakbar!”

Ada suara bingit yang bisa memecahkan gegendang.

“Kenapa, Abdul Aziz? Mana suara keramat lelaki tu?”

Diam, tiada jawab daripada rafik karib itu.

“Allahuakbar! Tuhan!”

Ada merah di mana-mana.

Ada bingit di mana-mana.

Ada hanyir di mana-mana.

“Aduh Tuhan!”

“Abdul Aziz? Abdul Aziz?”

Saya tergagau mencari teman yang baik sungguh itu.

Senyumnya masih berdelima, memegang perut sambil mengaduh kuat. Ada merah meleleh lebat. Pun dia sempat menitipkan saya kata, “aku sedang berlarian ke taman syurga!”

“Allahuakbar! Tuhan!”

Merah.

Merah.

Merah.

Esoknya dada akhbar di seluruh dunia - DAJAL ISRAEL MESTI DIHAPUSKAN. OBAMA DAN HILLARY ANTARA KORBAN TERBARU.
Next Post Previous Post
2 Comments
  • ILHAM HAMDANI
    ILHAM HAMDANI Rabu, 8 April 2009 pada 2:00:00 PTG SGT

    Salam,

    Terima kasih kerna menyiarkan cerpen saya di blog Tuan.

    IlhamHamdani,
    Canberra, Australia

  • MOHD ADHA MOHD ZAIN (ADHA ZAIN)
    MOHD ADHA MOHD ZAIN (ADHA ZAIN) Rabu, 8 April 2009 pada 2:08:00 PTG SGT

    w'salam
    sama-sama :)

Add Comment
comment url