Cerpen - Narasi Cinta di Pulau Seribu Kubah
Tanam pinang rapat-rapat,
Biar senang puyuh berlari;
Kalau dipinang, pinang tak dapat,
Pujuk-pujuk kubawa lari.
ADUHAI. Saya senyum sendiri setiap kali mengenang pantun itu. Saat melihat mata suami yang teduh tapi jauh memandang masa hadapan, saat yang sama saya mencari-cari wajah emak nun di tanah semenanjung. Dahulu, kadangkala saya jadi resah tapi kemudian cepat pula deru angin laut Pulau Seribu Kubah datang memujuk seperti saya dengar suaranya, segala yang kau lakukan adalah atas nama cinta yang satu, Kartini. Atas nama Dia. Dan sekarang angin laut masih bersama saya di hadapan resort kami yang berusia hampir satu dekad ini. Resort Rumah Chinta.
"Kita harus beri kembali apa yang sudah terlalu banyak kita terima selama ini, Kartini." Itu jawapan yang paling mudah namun mengesankan apabila saya bertanya mengapa kami harus membina resort ini. Begitulah saya mengenali suami, Hanafi, ketika dia menyambung pengajian ijazah kedoktorannya di bawah penyeliaan Maya sahabat baik saya di Jabatan Ekonomi. Penyelidikannya tentang pengurusan antarabangsa, menarik perhatian saya. Dan pertama kali kami diperkenalkan Maya, dapat dirasakan isyarat cinta yang menyapa jiwa wanita Melayu saya. Ah, inikah yang dikatakan cinta lelaki pulau Lombok yang penuh misteri. Hanafi, lelaki asli perairan Senggigi dosen Universitas Mataram yang membuat jiwa saya kacau selama tiga tahun dia di sini. Selama itulah saya mengenali dia sebagai lelaki yang tahu apa yang dia mahukan dalam hidup. Dan saya yakin apa yang selalu kami perkatakan lewat meja makan siang, saat minum petang atau ketika-ketikanya di antara kelam lampu meja makan malam. Dari diskusi disertai dan penyelidikan hingga kami berbicara dalam bahasa cinta yang begitu mempesona. Sehingga Maya kadangkala rasa aneh dan gusar dengan hubungan jiwa antara saya dengan Hanafi.
"Jangan sampai keluargamu menyalahkan saya, Kartini, kerana memperkenalkan Hanafi."
"Mengapa kau harus dipersalahkan hanya kerana cinta saya dengan lelaki Mataram, lelaki Lombok? Ah, malang sekali, Maya!"
Kupu-kupu terbang merayap,
hinggap di bunga menghisap madu;
hendak terbang tiada bersayap,
meranalah dinda menanggung rindu.
Masih ingat saya membuat Maya ketawa terbahak-bahak ketika membaca kad yang saya sisipkan setelah Hanafi kembali ke Mataram. Kad ucapan hari lahir yang saya selitkan pantun. Kata Maya, saya sudah kena jampi hipnosis lelaki Sasak itu. Ya, saya tahu saya begitu mencintai dia bila bayangnya tidak dapat lari daripada ingatan saya. Ke mana-mana sahaja, Hanafi ada. Saya tahu dia juga begitu. Lewat e-mel, surat atau telefon Hanafi tak lepas menyatakan rindu dan cintanya untuk hidup bersama saya. Oh, cinta! Ia membuat kita boleh berenang merentas lautan yang luas. Cinta juga mengupayakan kita memanjat gunung dan banjaran yang mencecah awan. Narasi cinta saya dengan lelaki Lombok ternyata luar biasa sekali maraknya! Tetapi dalam plot cinta itu, Hanafi sering mengingatkan matlamat cinta kami seperti katanya, "Kartini kekasihku, hanya Dia yang tahu betapa besar cinta kita ini. Mohon petunjuk-Nya agar dapat melaksanakan kebajikan yang mahu kita berbahagi dengan mereka yang memerlukan." Oh, Hanafi!
Begitu kuatnya saya menghidupkan unggun api cinta bersama lelaki Mataram ini. Sehinggalah Hanafi datang bersama kedua orang tuanya saat dia menerima ijazah. Emak yang selama ini tidak jelas dengan hubungan kami, hanya mengurut dada bila tahu asal daerah Hanafi sekeluarga. Lombok. Ah, malang sekali nama itu. Namun di sisi lain, saya melihat Abah tenang dan cuba menerima. Bukankah Abah selalu memahami kehendak hati saya. Namun antara tenang dan reda, kedengaran kecewa Abah bila menerima keputusan saya untuk berpindah tugas ke Universitas Mataram.
Bagaimana pertama kali saya mencuba ayam bakar taliwang dan pelicing kangkung ibu mertua, saya jadi begitu sebak mengenang emak dan abah jauh di tanah semenanjung. Saat yang sama saya mengenang asam pedas ikan tenggiri kegemaran masakan emak. Saya dapat menghirup wangi daun kesum dan bunga kantan. Oh, saya sering mengharapkan doa dan restu mereka. Sesungguhnya saya melakukan segala ini atas nama cinta. Ya, cinta yang satu itu. Bukankah dengan mengenali Hanafi, saya jadi kenal diri sendiri. Betapa saya lupa dalam mendapat segala yang saya mahu, saya hampir tidak mengerti tentang kehidupan mereka yang sangat memerlukan. Betapa sebelum berjumpa Hanafi, saya hampir tidak tahu erti berbahagi sesama manusia. Hidup saya sebelum ini hanyalah tentang diri. Segala-galanya memenuhi apa yang saya mahukan; sebaliknya tidak pernah tahu tentang apa yang harus saya berikan. Saya sedar emak kecewa walau terpaksa mengizinkan. Saya tahu emak dan abah menerima Hanafi atas dasar pendiriannya dan bukan atas nama cinta kami.
Di perkampungan pantai Senggigi ini di tapak rumah keluarga mertua, akhirnya saya dan Hanafi dirikan Resort Rumah Chinta. Ya, ia memang lambang cinta kami untuk semua. Hampir tenaga pekerja resort yang ada, merupakan anak lokal - dari yang menjaga ruang sambut, membersih taman dan membuat sarapan. Ada ruang kreativiti, anak-anak gadis membuat manik gelang, anyaman bakul, lukisan dan kerajinan tangan lain. Sering juga anak-anak ini membuat persembahan untuk para pelancong yang menginap di Resort Rumah Chinta. Apa yang Hanafi mahukan nanti mereka punya dana sendiri yang dapat dihimpun untuk tujuan ibadah umrah mahupun melengkapkan rukun Islam kelima. Inilah lambang keperwiraan Hanafi, si lelaki Lombok yang saya cinta. Saya selalu bercerita dengan Maya, Hanafi keras menolak adat lelaki daerahnya yang melarikan anak gadis luar. "Lambang cinta saya ialah perempuan bakal isteri itu, saya hargai dengan memohon izin dari kedua-dua ibu bapanya. Saya menghargai kasih sayang emak dan anak. Sebagaimana saya mahu Timour nanti meletakkan bakal isterinya sebagai wanita yang paling mulia. Saya tidak mahu Timour membawa lari anak gadis orang tanpa rela dan restu orang tua."
Tiba-tiba saya teringat ketika melahirkan Timour. Tiket pesawat yang Hanafi sediakan buat emak dan abah, akhirnya terbiar saja. "Emak dan Abah harus menghadiri perkahwinan Umar." Suara emak pendek di telefon. Saya terkedu. Umar. Anak saudara abah itu hampir menjadi suami saya. Tuhan, begitu kecewakah emak dan abah atas tindakan saya. Saat saya melahirkan cucu sulung mereka, perkahwinan Umar ternyata lebih menjadi pertimbangan mereka. Kenangan kembali kepada hari saya dan Hanafi disatukan. Ah, hari yang seperti tidak mahu saya ingat. Saya seperti dipaksa-paksa duduk di pelamin seusai diijabkabul. Sedangkan beberapa minit sebelum itu emak dan abah masih ragu-ragu. Saya masih ditanya adakah Hanafi benar-benar merupakan pilihan saya sedangkan saya sudah sedia menyarung sut nikah. Dan bagaimana beberapa hari selepas itu kami, si pengantin baru dirai bagai raja dengan meriah sekali di desa Hanafi.
Lebih sepuluh tahun lalu juga, abah menggenggam tangan Hanafi seperti menuntut seribu janji dan ikrar untuk menjaga kebajikan saya. Lebih sepuluh tahun itu dakapan emak seperti tidak mahu melepaskan saya, anak perempuan satu-satunya menyeberang batuan segara dan pulau-pulau untuk sampai di sini. Saya tahu emak dan abah tidaklah harus begitu risau dengan pilihan saya. Hanafi lelaki berilmu dan yang paling penting seperti yang selalu saya yakini, dia tahu apa yang dia mahu dalam hidup. Risaunya emak dan abah ialah kerana daerah asal usul Hanafi. Mataram. Lombok. Senggigi. Ah, buruk benarkah bunyinya nama desa kelahiran Dr Hanafi, pakar ekonomi Universitas Mataram ini? Atau emak masih risau, walau anak perempuannya ini tidak dibawa lari seperti mitos heroisme lelaki Lombok, tapi masih gusar jika saya hidup dalam poligami nanti - satu lagi petaka di Lombok. Atau emak risau kerjaya anaknya sebagai pensyarah universiti tidak menjamin setelah saya mengambil keputusan memberi kuliah di kampus yang sama dengan Hanafi. Oh, emak. Rezeki, Tuhan serakkan di mana-mana.
Malam pertama saya tiba di pantai Senggigi, berselang antara suara tokek dan gerimis, Hanafi membekalkan saya keyakinan yang sehingga sekarang masih saya pegang. "Cinta akan membuat kita tumbuh dan bersayap, isteriku. Cinta akan membuat kita mampu terbang dan kenal daerah hidup baru yang lebih bermakna. Cinta itu akan mendukung kita melakukan yang terbaik bukan hanya untuk diri kita tetapi untuk orang banyak. Ayuh kita berdoa, agar diberikan kekuatan untuk itu."
Kemudian setiap minggu, setiap bulan, setiap tahun saya menghubungi emak. Begitulah. Jika ada kesempatan kami terbang ke semenanjung. Saya sering juga ke seminar atau menjalankan penyelidikan di Kuala Lumpur semata mahu ambil peluang mencium tangan emak dan abah. Emak hanya mendengar cerita saya. Sedangkan saya cuba dengan riang memberitahu apa yang saya lakukan setiap hari. Saya mahu seperti dulu. Emak dan abah tahu apa sahaja yang dilakukan anaknya ini. Saya bercerita tentang dunia kampus. Anak-anak lokal yang rajin mendalami ilmu dan menghargai guru. Negara baru saya yang bangga dengan bahasanya sendiri, sebaliknya tidak seperti negara kami yang malu menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa ilmu. Bangsa saya yang tidak punyai kepustakaan milik peribadi. Dari saat dijajah hingga separuh abad memerintah sendiri, ternyata negara asal saya masih tidak percaya pada apa yang mereka punya.
Saya bercerita tentang upaya Hanafi membantu membangunkan desanya. Mengamalkan kehidupan yang sihat dan bersih persekitaran. Hanafi juga membantu mengadakan kempen rumah terbersih di perkampungan mereka dan akhirnya semua bertanggungjawab untuk menjaga rumah masing-masing. Masjid yang kami bina dengan dana bersama antara pemerintah dan upaya penduduk, merupakan pusat interaksi masyarakat. Saya begitu terharu melihat masjid yang bercambah di mana-mana sehingga saya namakan pulau kelahiran suami ini sebagai Pulau Seribu Kubah. Bermula dengan pembinaan masjid di desa kami oleh Hanafi bersama penduduk dan teman-temannya. Ternyata masjid digunakan sepenuhnya. Masjid sebagai pusat ibadah, jual beli, ilmu dan silaturahmi seperti yang berlaku pada zaman Rasulullah. Wahai, Tuhan, bermula di sini, di pulau ini saya semakin mengerti kasih sayang antara saudara. Betapa semenjak mengahwini Hanafi saya begitu menyayangi saudara seagama dan begitu mengasihani sesama manusia. Saya menemukan puncak nikmat itu di sini, emak, abah. Di sinilah narasi cinta Kartini, di Pulau Seribu Kubah. Kartini tidak temukan ini semua di daerah, bandar kita. Bukankah selama ini kita sering mementingkan keperluan peribadi. Kita hidup sendiri sendiri. Kita terlalu mengejar materi dan bukan tuntutan dari dalam diri.
Nasi lemak buah bidara,
daun selasih saya lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Kerana kekasih saya turutkan.
Kepada Hanafi saya kata, berdoalah agar hati emak dan abah lembut menerima kita. Saya tidak pernah melihat diri saya terbuang atau dibuang. Jauh sekali melihat diri saya dan Hanafi membuang emak dan abah. Saya masih kenal syurga dan hukum derhaka. Oh, Tuhan, bukankah selama ini seusai solat dan dalam hati sering saya berkata, inilah jihad saya. Inilah perjuangan saya. Inilah kembara iman saya untuk lebih mengenal-Mu. Setiap kali itu juga saya melihat mata bulat Timour. Anak saya yang bijak itu persis abahnya. Timour. Anak yang selalu cuba mengerti apa yang ada dalam jiwa ibunya. Setiap kali saya bercerita tentang nenek dan datuknya di tanah semenanjung, mata Timour menjadi seperti bintang yang sering menjadi penunjuk arah kepada sang pengembara di lautan asing. Dan sayalah sang pengembara itu. Saya selalu berdoa agar Timour suatu hari nanti dapat mendakap nenek dan datuknya. Saya selalu berdoa agar emak dan abah benar-benar reda dengan apa yang berlaku dalam jurus hidup saya di Pulau Seribu Kubah ini.
Mereka itu adalah orang-orang yang Allah Mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka. Saya mengulang-ulang surah Nisa, ayat 63 yang begitu memujuk. Betapa Dia Maha Besar. Suara emak di telefon seminggu sebelum lebaran lalu, meminta Hanafi mencari dua ekor kambing untuk korban. Alangkah bahagia Aidiladha kali ini mengenang permintaan itu. "Kita bertemu tahun baru nanti di resort Rumah Chinta. Kami datang sekeluarga. Kami rindukan Kartini dan Hanafi. Kami mahu memeluk Timour." Oh, Tuhan saya tidak dapat menahan air mata dan sebak dada. Bukankah pengorbanan saya selama ini keluar dari tanah kelahiran dan mahu menabur bakti kemanusiaan di daerah asing ini, di daerah kelahiran suami, dan bukankah ia sekarang menjadi daerah saya juga. Tuhan, inilah hijrah saya! Sepuluh tahun saya menunggu dan inilah ketikanya di Muharam kali ini. Dan saya seperti melihat Rahmat-Nya mengiringi narasi cinta kami di Pulau Seribu Kubah!