Chong Wei Juara Terbuka Malaysia 2009


Jaguh nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mengisytiharkan dirinya sudah pulih daripada kejutan selepas merangkul kejuaraan badminton Terbuka Malaysia buat kali kelima dalam tempoh enam tahun di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, semalam.

Chong Wei yang mempamerkan prestasi tidak menentu selepas tamat Sukan Olimpik Beijing, Ogos lalu, sudah menemui kembali sentuhan terbaiknya selepas menundukkan jaguh Korea, Park Sung Hwan 21-14, 21-13 dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki.

Ini merupakan gelaran Terbuka Malaysia kelima buat pemain no. 1 dunia itu selepas menang pada 2004, 2005, 2006 dan 2008, malah kejuaraan kedua berturut-turut selepas turut menjuarai Siri Super Masters Akhir di Kota Kinabalu, dua minggu lalu.

Kemenangan ini juga membolehkan Chong Wei membawa pulang AS$15,000 (RM54,300), sekali gus mengukuhkan ranking no. 1 dunia, apatah lagi pesaing terdekatnya, Lin Dan dari China tidak beraksi di Malaysia dan Terbuka Korea, minggu depan.

Rekod pemenang terbanyak Terbuka Malaysia bagaimanapun masih dipegang bekas bintang badminton negara, Wong Peng Soon - juara lapan kali di antara 1940 hingga 1953.

Selepas merangkul dua kejuaraan antarabangsa dalam tempoh dua minggu, Chong Wei melaungkan amaran untuk memburu kemenangan ketiga berturut-turut apabila beraksi di Korea minggu depan, selain bersedia memburu kejuaraan Seluruh England (Mac) dan gelaran dunia, Ogos ini.

"Gembira dapat mempertahankan kejuaraan dan menang kali kelima pada Terbuka Malaysia. Saya memang mahu memenangi setiap kejohanan yang diadakan di negara ini, tidak kiralah ia kejohanan besar atau kecil.

"Selepas menang di Masters Akhir dan Terbuka Malaysia, saya harap momentum baik itu dapat diteruskan pada Terbuka Korea minggu depan, saya mahu kejuaraan ketiga berturut-turut. Lagi pun, tahun lepas saya demam dan tidak bermain dengan baik, jadi saya mahu menebusnya tahun ini," ujar Chong Wei.

Pemenang pingat perak Olimpik itu mengakui, kemenangan terbaru ini meleraikan sedikit beban yang berada di bahunya selama ini, terutama selepas bergelar nombor satu dunia tanpa sebarang kejuaraan, Ogos lalu.

Biarpun mengakui jaguh China, Lin Dan akan sentiasa menjadi pencabar terbesarnya untuk memburu gelaran Seluruh England dan dunia, namun dia bersedia untuk memberikan cabaran terbesar buat juara Olimpik itu dan percaya persediaan fizikalnya berada dalam keadaan terbaik.

"Saya fikir saya memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk pulih (daripada kejutan) selepas tamat Sukan Olimpik. Tiba-tiba saya dapat gelaran Datuk, kemudian jadi nombor satu, sedangkan ketika itu saya tidak pulang bersama sebarang kejuaraan.

"Saya bernasib baik kerana saya pulih lebih awal, tidak perlu tunggu sampai enam bulan. Kemenangan di Masters Akhir amat melegakan, hari ini menang lagi di Terbuka Malaysia... ia memang sangat membantu saya untuk membuang sebahagian besar tekanan.

"Sekarang saya bersedia untuk memasang sasaran lebih tinggi, mencari gelaran dunia dan Seluruh England. Saya tahu Lin Dan akan sentiasa menjadi pencabar terbesar saya tetapi saya kena bersedia dan memastikan saya dapat memberi cabaran terbaik kepadanya," akui Chong Wei.

Semalam, Chong Wei tidak menghadapi banyak masalah untuk menjinakkan pemain muda Korea, Sung Hwang apabila menguasai permainan sejak awal sebelum menamatkan saingan hanya dalam masa 39 minit.

Aksi pemain nombor satu dunia itu jauh berbeza dengan permainannya di awal kejohanan, di mana dia bergelut dalam pertarungan tiga set dari pusingan kedua hingga ke separuh akhir.

Namun, Sung Hwang melaungkan amaran tidak akan memberi laluan mudah kepada Chong Wei apabila dijangka melayani jaguh Malaysia itu sekali lagi pada suku akhir Terbuka Korea nanti.

"Chong Wei menunjukkan permainan yang amat baik hari ini, pantas dan kemas terutama ketika di jaring. Saya memang tidak terkejar dengan corak permainannya yang pantas, terutama pada set pembukaan.

"Bagaimanapun kami mungkin akan bertemu lagi pada suku akhir Terbuka Korea nanti, bermain di gelanggang sendiri saya tidak mahu kalah seperti ini. Saya tidak akan bermain seperti hari ini dan akan cuba memenangi perlawanan," ujar Sung Hwan.

Biarpun Sung Hwang gagal membawa gelaran perseorangan lelaki, namun Korea Korea merangkul dua kejuaraan pada kejohanan pembuka tirai 2009 bernilai AS$200,000 (RM700,000) ini apabila menjuarai saingan beregu lelaki dan wanita.

Juara Seluruh England, Lee Yong Dae- Jung Jae Sung menumpaskan kombinasi baru Indonesia, Alvent Yulianto-Hendra Gunawan 18-21, 21-14, 21-14 untuk membawa pulang kejuaraan beregu lelaki.

Lee Hyo Jung-Lee Kyung Won menghadiahkan kejuaraan kedua buat negaranya dengan menumpaskan bekas juara Olimpik dan dunia, Yang Wei-Zhang Jiewen 15-21, 12-21 dalam beregu wanita.

Denmark pula membawa pulang kejuaraan tunggal menerusi bintang perseorangan wanitanya, Tine Rasmussen, yang berjaya mempertahankan gelaran selepas menumpaskan bekas juara dunia dan Olimpik, Zhou Mi dari Hong Kong 21-17, 15-21, 21-16.

Sementara itu, pasangan Indonesia, Nova Widianto-Liliyana Natsir menepati status sebagvai nombor satu dunia dan juara dunia selepas menumpaskan juara Olimpik, Lee Yong Dae-Lee Hyo Jung 21-14, 21-19 dalam saingan beregu campuran untuk membawa pulang hadiah kemenangan AS$13,800 (RM49,960).

Turut hadir menyaksikan kejohanan semalam adalah penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datin Seri Rosmah Mansur dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url