Pesta demokrasi di Kuala Terengganu (PRK Kuala Terengganu)

MULAI 6 Januari lalu, Terengganu yang terkenal dengan keindahan pulaunya menjadi tumpuan arena politik negara. Ia berikutan akan berlangsung Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini.

Sudah pastilah buat seketika Kuala Terengganu menjadi hiruk-pikuk kerana jentera pilihan raya parti-parti yang bertanding dari seluruh negara memenuhi bandar raya tersebut.

Pilihan raya kecil itu yang diadakan berikutan kematian Datuk Razali Ibrahim pada 28 November lalu bakal menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon Pas Mohd. Abdul Wahid Endut dan calon bebas, Azharudin Mamat.

Ekoran pesta demokrasi itu 'wajah' Kuala Terengganu berubah pada waktu siang dan malam. Jika di waktu siang, poster dan bendera dapat dilihat di setiap penjuru bandar raya, di malam hari pula suasana begitu meriah dengan dihiasi lampu-lampu yang memungkinkan bandar raya tersebut terang-benderang.

Bagi peniaga pula, pilihan raya itu bagaikan membawa seribu rezeki. Gerai-gerai makanan beroperasi sehingga ke awal pagi manakala hotel-hotel pula tidak kira sama ada berbintang atau tidak berbintang penuh ditempah sehingga 18 Januari.

Permintaan yang tinggi juga membolehkan sesetengah pengusaha hotel mengambil kesempatan menaikkan kadar sewa bilik antara antaranya naik sehingga 150 peratus.

Sementara pihak di luar parti membuat pelbagai analisis berhubung siapa yang akan 'ditabalkan' sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu, parti yang bertanding giat membuat persiapan bagi mempromosikan calon-calon masing-masing.

Ia termasuklah perang poster yang sememangnya sinonim dengan pilihan raya. Beberapa jalan di bandar raya itu mula dihiasi bendera dan poster parti-parti yang terlibat.

Mereka berhak memasang poster dan bendera di mana-mana sahaja kecuali di atas jambatan atau bulatan jalan yang boleh menganggu penglihatan pemandu.

Pekerja-pekerja parti bertugas sehingga ke Subuh sebaik sahaja matahari terbenam untuk melaksanakan tugas berkenaan. Pelbagai bentuk poster dipasang dalam usaha untuk menarik perhatian pengundi.

Ini termasuklah gambar pemimpin-pemimpin dengan gaya tersendiri. Jika BN memilih gambar pemimpin mereka dalam keadaan berdiri, Pas pula 'mengimport' gambar Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedang berdoa.

Apa yang menarik, biarpun pemasangan poster dan bendera dilakukan secara berselang-seli antara kedua-dua parti namun tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

Malah ada ketikanya kita akan terserempak dengan pekerja parti yang memperbetulkan bendera parti lawan yang terjatuh akibat ditiup angin.

Bagi calon-calon yang bertanding pula, sebaik sahaja proses penamaan calon selesai maka bermulalah perjuangan bagi meraih undi.

Ketiga-tiga calon yang bertanding terutamanya Wan Ahmad Farid dan Mohd. Abdul Wahid memberitahu penulis bahawa sejak hari penamaan calon mereka hanya tidur dua jam sahaja kerana terpaksa berkempen.

"Kadang kala saya tidur tidak sampai dua jam, tetapi tak apalah inilah pengorbanan yang saya lakukan,'' kata Wan Ahmad Farid yang kehilangan berat badan sebanyak dua kilogram sejak dipilih sebagai calon BN.

Berbanding Mohd. Abdul Wahid yang sememangnya sudah dikenali oleh penduduk Kuala Terengganu kerana beliau adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam - salah satu DUN dalam Parlimen Terengganu - Wan Ahmad Farid harus bergerak lebih banyak bagi memperkenalkan diri.

Bermula pukul 6 pagi sehingga dinihari keesokkan harinya, Wan Ahmad Farid akan menghabiskan masa berkempen dan bersalaman dengan sebanyak mungkin pengundi. Sasaran beliau bersalam dengan 3,000 pengundi sehari sehingga hari pengundian.

Mohd. Abdul Wahid pula, selain terpaksa menghadiri ceramah anjuran parti bagi menyampaikan misinya, beliau yang sudah lima penggal menjadi wakil rakyat turut mengadakan kempen rumah ke rumah.

Tugas beliau tidak sukar kerana sebagai seorang yang pernah menjadi exco kerajaan negeri ketika Pas memerintah selama sepenggal mulai tahun 1999, beliau sememangnya sering bertemu orang ramai di sekitar Kuala Terengganu.

Walaupun persaingan hebat dikatakan berlaku antara BN dan Pas, calon Bebas, Azharudin Mamat pula tidak mahu sekadar berpeluk tubuh. Beliau turut mengadakan kempen dengan menemui orang ramai bagi memperkenalkan diri.

Kehadiran Azharudin yang dikatakan secara tiba-tiba menjadi calon telah menjadi bualan ramai di Kuala Terengganu. Namun Azharudin yang merupakan pengamal perubatan tradisional tidak berasa janggal malah menghadiri diri dalam pilihan raya itu dengan hasrat untuk membantu orang miskin.

Apa pun buat seketika Kuala Terengganu akan menjadi tumpuan dan apabila hari pengundi berakhir serta ahli Parlimen baru disahkan, maka bandar raya berkenaan akan kembali ke 'wajah' asalkan dan mereka yang akan pulang dengan membawa seribu satu kenangan.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url