E-dagang bantu usahawan

Syarikat telko WiMAX pertama negara ini Packet One (P1) dan eBay bekerjasama menerusi pelbagai inisiatif bagi membantu usahawan tempatan menjalankan e-dagang menggunakan sambungan Internet berkelajuan tinggi.

Inisiatif kerjasama pertama adalah di Wireless@KL e-Commerce Month yang mana Pakar Pendidikan eBay bertauliah menawarkan bengkel latihan percuma bagaimana memasarkan produk mereka di eBay bagi 85.7 juta pengguna seluruh dunia dengan hanya menggunakan komputer riba dan sambungan Internet.

Lapan bengkel sedang diadakan di lokasi Wireless@KL di ibu negara selama empat minggu dengan sesi pertama telah berlangsung pada 12 November lalu di Chinoz on the Park, Suria KLCC Shopping Mall.

Ketua Pegawai Eksekutif P1, Micheal Lai berkata, eBay dan P1 berkongsi misi bagi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat negara ini.

"Kaedah terbaik adalah mendidik usahawan ini mengenai peluang perniagaan yang ada di Internet dan menyediakan peluang berkenaan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata, impian mereka adalah memberikan semua rakyat kuasa menggunakan Internet dan faedah yang mereka dapat daripadanya.

Pengarah eBay, Allis Ghim berkata, lebih daripada 100,000 ahli baru telah mendaftar di eBay.com sejak November tahun lalu dan ini menunjukkan lebih ramai rakyat negara ini selesa dengan perniagaan dalam talian dan peluang tanpa sempadan yang ditawarkan oleh eBay.

"Kami gembira bekerjasama dengan P1 bagi mempromosikan dan memudahkan e-dagang bagi pengguna negara ini.

"Kami juga yakin mereka akan dapat manfaat daripada kelajuan dan kemudahan jalur lebar WiMAX bagi melancarkan perniagaan eBay," katanya.

Seorang pelajar dari universiti tempatan, Nurul Shaza Nazmin, 21, menghadiri bengkel berkenaan kerana ingin tahu mengenai perniagaan dalam talian.

"Saya akan menyarankan bengkel ini kepada kawan-kawan di universiti yang mempunyai minat yang sama," katanya.

Seorang wartawan, James Chong, 41, berpendapat bengkel berkenaan merupakan pengalaman yang amat berharga.

"Sebelum ini saya tidak tahu kita boleh menjual pelbagai barangan dalam eBay dan gabungan P1 dan eBay merupakan satu inisiatif bagi membina e-dagang dan saya berharap ia akan bertambah di masa akan datang," katanya.

Pengarah sebuah syarikat pembuatan, Tan Chee Peng, 59, bersetuju dengan kata-kata James Chong.

"Sungguh menarik dan saya ingin melihat interaksi besar antara P1 dan eBay di masa akan datang terutama inisiatif Wireless@KL," jelas beliau.

Sesiapa yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Wireless@KL dan pendaftaran bagi bengkel latihan e-dagang, boleh melayari www.wirelesskl.com atau dail 03-23001521/31.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url