Batu Permata


Batu permata telah berjaya menambat hati setiap manusia sejak dari zaman dahulu kala lagi. Kilauan, sinaran serta bentuknya yang unik dan cantik menjadikan ia idaman setiap manusia di muka bumi ini. Batu permata merupakan khazanah bumi yang cantik dan berharga.

Mengikut sejarah, batu permata terhasil dalam formasi batu yang telah wujud sejak lebih dari 200 juta tahun lamanya. Kebanyakannya terhasil daripada batu metaforik yang terdapat di kawasan pergunungan. Selepas berjuta tahun terpendam di dalam kerak bumi maka terjadilah proses hakisan sehingga menyebabkan ia bergerak ke permukaan.

Lebih dari 2,000 batu mineral yang telah dijumpai dan hanya 100 tergolong dalam kategori batu permata. Dari jumlah tersebut, hanya 16 batu sahaja yang mendapat tempat di pasaran iaitu beryl, chrysoberyl, corundum, berlian, feldspar, delima, jed, lazurite, olivine, baiduri, kuartz, spinel, topaz, turmalin, firus dan zirkon.

Disebabkan sifat semula jadinya maka, batu permata dikatakan mempunyai khasiatnya tersendiri dalam memberi tenaga juga penyembuh untuk penyakit-penyakit tertentu.

Selain untuk penyembuhan, batu permata juga dipotong bersesuaian untuk menghasilkan aksesori yang menarik untuk dipakai. Namun tidak semua mampu memiliki aksesori yang dibuat daripada batu permata asli. Justeru teknologi telah menghasilkan batu permata separa berharga atau dalam bahasa Inggerisnya, semi precious stone untuk menghasilkan aksesori hiasan.

Selain lebih murah, ia juga lebih pelbagai dan tahan lasak. Kualitinya juga tidak terlalu rendah berbanding batu permata asli, malah si pemakai mungkin berasa lebih selamat kerana batu separa berharga tidak mungkin menjadi buruan perompak kerana nilainya.

Pemilik The Gem Kingdom, Bhupinder Rai berkata, minatnya dalam bidang aksesori batu separa berharga ini timbul setelah melancong ke beberapa negara yang menjual batu-batu hiasan ini.

"Sebenarnya saya memang gemar menghasilkan aksesori buatan sendiri, apabila berpeluang melihat batu separa berharga yang cantik dijual di negara yang dilawati, justeru itu saya katakan inilah masanya untuk saya membuat perniagaan daripada hobi ini," jelas beliau yang berasal dari New Delhi, India.

The Gem Kingdom yang baru beroperasi di Jalan Telawi 5, Bangsar ini adalah cawangan pertama yang dibuka sejak awal November tahun lalu. Walaupun baru dua bulan beroperasi, The Gem Kingdom menjadi tumpuan penggemar aksesori batu separa berharga kerana lokasinya yang strategik.

Rai berkata, untuk membezakan batu permata asli dengan yang separa berharga adalah dengan cara merasai permukaannya.

"Pengalaman dan minat akan mengajar kita perbezaan antara batu permata asli dengan yang bukan. Batu permata asli permukaannya lebih berkilau dan licin, manakala yang separa berharga sebaliknya.

"Bagaimanapun ada panduan tertentu yang lebih mendalam untuk mengetahui tentang perbezaan batu ini yang perlu didalami," jelasnya yang telah berkecimpung dalam dunia batu permata sejak sembilan tahun lalu.

Katanya, antara yang menjadi pilihan penggemar aksesori ialah batu lahir atau birthstone yang dipakai mengikut bulan kelahiran.

"Batu yang berbeza untuk setiap bulan dan masing-masing memberikan aura untuk si pemakai yang lahir pada bulan tertentu," katanya yang turut mengambil tempahan aksesori.

Rai berkata, kebanyakan batu separa berharga di premisnya diperoleh dari India, Sri Lanka dan Brazil. Selain aksesori batu permata, The Gem Kingdom turut menjual aksesori yang diperbuat daripada perak istimewa untuk wanita dari semua peringkat umur.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url