Fokus - Terengganu Darul Iman

Terengganu, sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai tarikan pelancongan, bermula daripada destinasi popular dan menarik, produk kraf unik dan inovatif yang diadunkan dengan ciri warisan, penduduk yang ramah serta makanan tradisi yang enak menjadikan negeri ini sebagai pilihan utama untuk dikunjungi pelancong luar dan dalam negara.

Sekali pun jika tempoh percutian singkat anda di Terengganu tidak mengizinkan untuk membawa keluarga pusing satu negeri, menghabiskan masa meronda dan melancong di sekitar bandar raya Kuala Terengganu saja sudah memadai untuk anda menikmati keindahan percutian yang sukar dilupakan. Malah, di Kuala Terengganu saja, pengunjung dapat merasai 'jiwa dan semangat' yang ingin dizahirkan kepada tamu di seluruh negeri.

Selain dirahmati dengan keindahan pantai, pulau dan taman laut serta flora dan fauna, Kuala Terengganu turut mengetengahkan keunikan budaya dan kemahiran pertukangan warisan zaman berzaman. Kuala Terengganu juga menjadi destinasi pelancongan tersohor lantaran kegiatan ekonomi dan pengeluaran barangan berasaskan tekstil, makanan, pertanian, kraf tangan, industri dan perkhidmatan.

Menyedari wujudnya peluang besar untuk dimanfaatkan dalam bidang pelancongan, maka kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengambil langkah proaktif untuk memajukan bidang pelancongan. Lantaran itu, boleh dikatakan hampir semua daripada 300,000 penduduk Kuala Terengganu mendapat manfaat secara langsung atau tidak daripada bidang pelancongan.

Antara langkah agresif yang diambil kerajaan negeri untuk memajukan bidang pelancongan termasuk menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) hingga membolehkannya mengendalikan sembilan penerbangan sehari. Usaha juga sedang diatur untuk menarik lebih banyak syarikat penerbangan asing membuat penerbangan terus ke Terengganu.

"Kerajaan negeri membuat pelaburan besar untuk menarik lebih ramai kemasukan pelancong dengan membayar yuran pendaratan, tempat letak kenderaan dan penggunaan aerobridge di lapangan terbang.

“Semua ini kita buat bagi menyemarakkan lagi sektor pelancongan supaya kedai dan perusahaan mendapat pelanggan dan rakyat dapat mencari makan dan menambah pendapatan," katanya.

Kesediaan kerajaan negeri membuat pelaburan besar dalam bidang pelancongan bukan saja disandarkan kepada kemampuan kewangan kerajaan untuk berbelanja tetapi ia dibuat kerana sememangnya Terengganu, khususnya ibu negeri - Kuala Terengganu mempunyai tarikan unik dan sangat istimewa untuk dipersembahkan kepada pelancong.

Bandar raya Kuala Terengganu juga menerima kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara yang tertarik dengan seni bina unik beberapa ikon utama Islam seperti masjid terapung dan Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam (TTI). TTI yang dibuka pada 2007 melonjakkan imej bandar raya ini menerusi 21 replika monumen keagungan Islam dari Asia Barat dan Asia Tengah.

Selain tarikan fizikal, Kuala Terengganu juga menjadi pusat menjamu selera pelbagai jenis hidangan tradisional yang sukar diperoleh di tempat lain. Hidangan makanan laut seperti ikan, udang dan sotong celup tepung, keropok lekor, budu, akok serta nasi dagang menjadi igauan pengunjung. Batik, sutera dan songket pula antara produk tekstil yang sering menjadi pilihan pelancong untuk dibawa pulang sebagai kraftangan.

Selain itu, kraf tangan seperti produk tembaga dan perkayuan serta ukiran yang mengekalkan konsep Melayu tempatan tulen harus menjadi pilihan pelancong untuk dijadikan cenderahati istimewa buat teman, keluarga dan orang tersayang sebagai kenangan kunjungan anda ke bandar raya Kuala Terengganu.

Tidak sukar mendapatkan semua barangan itu kerana ia boleh diperoleh dengan mudah dan pada harga berpatutan dengan berkunjung ke beberapa lokasi beli-belah seperti Pasar Payang, Bazar Warisan, Kompleks Kraf Noor Arfa atau butik tekstil dan kraf persendirian yang banyak terdapat di sekitar bandar raya ini.

Di Kuala Terengganu juga ada pelbagai lokasi tarikan pelancongan yang tidak harus dilepaskan. Selain TTI, tempat kunjungan lain yang tidak boleh dikecualikan ialah Muzium Negeri Losong, Pantai Batu Burok, Masjid Tengku Tengah Zaharah atau lebih dikenali Masjid Terapung dan Masjid Kristal yang menjadi bualan ramai tidak kira pelancong tempatan mahupun antarabangsa.

Mengunjungi Pasar Payang yang terletak di tepi Sungai Terengganu, ia adalah satu destinasi pelancongan terkenal di bandar raya ini. Walaupun usia bangunan pasar ini sudah mencecah puluhan tahun, ia tetap berdiri megah dan menjadi lokasi utama pilihan pelancong yang datang ke Kuala Terengganu.

Pelbagai jenis hasil kraftangan tradisional seperti batik, kain sutera, songket, kain brocade, barangan logam, tembaga dan ukiran kayu, malah barangan mentah seperti sayur-sayuran segar, ikan dan ayam turut dijual di sini untuk kemudahan penduduk setempat.

Memiliki reka bentuk menarik dan lokasi yang berhampiran Pasar Besar Kedai Payang dan Bukit Puteri ialah Bazar Warisan. Kompleks perniagaan yang dibina dengan kos RM18.4 juta ini tidak harus tercicir dari kunjungan anda. Tambah menarik, reka bentuk kompleks tiga tingkat ini mempamerkan seni bina tradisional Terengganu.

Sehingga kini, ia menempatkan pelbagai gerai pengusaha seni warisan tradisional termasuk sutera, batik, songket, tembaga dan cenderamata. Bersebelahan bazar ini, pengunjung dapat melihat pemandangan indah Bukit Puteri yang menyimpan peristiwa penting dalam sejarah negeri ini.

Penat berjalan, berhenti rehat sebentar untuk menjamu selera di Restoran Puteri berhampiran Pasar Payang yang jarak perjalanan sesingkat lima minit berjalan kaki. Pelbagai juadah tersedia di sini. Pilih saja jika anda mahu makanan tradisional, Barat mahupun kudapan ringkas tentunya keropok lekor.

Hilang lelah, teruskan kunjungan ke mercu tanda baru di Kuala Terengganu iaitu TTI. Berkeluasan 23 hektar di Pulau Wan Man, TTI terbahagi kepada dua zon iaitu Kompleks Taman Tamadun Islam dan Zon Awam. Di sini terdapat taman tema pertama yang mengiktiraf seni bina Islam dengan menempatkan 21 monumen berkaitan sejarah Islam dunia seperti Masjid Negara, Malaysia; Dome of the Rock (Palestin); Masjidil Haram (Arab Saudi), Al-Hambra Citadel (Spain) dan Taj Mahal (India).

Di TTI juga terletaknya Masjid Kristal yang menjadi kebanggaan dan ikon masyarakat Islam di bandar raya ini. Masjid yang diperbuat daripada seni bina berasas kaca ini sangat menyerlah ketika waktu malam, terutama apabila disinar limpahan cahaya.

Untuk pulang ke hotel penginapan, anda pasti akan melalui Muzium Negeri Terengganu atau juga dikenali Muzium Negeri Losong, iaitu muzium terbesar di Asia Tenggara dengan menempatkan empat blok utama selain muzium maritim dan lima rumah tradisional.

Berteraskan seni bina istana tradisi Terengganu, muzium yang dibina di atas tapak seluas 27 hektar tanah di Bukit Losong ini merangkumi muzium utama, muzium maritim, muzium perikanan, empat rumah tradisional dan taman botani serta taman ulam. Muzium utama mempunyai galeri mempamerkan tekstil, teknik anyaman, senjata tradisional, perkembangan petroleum, seni Islam dan banyak lagi.

Masjid Tengku Tengah Zaharah atau Masjid Terapung pula mengabadikan nama bonda Al-Marhum Sultan Terengganu, Al-Marhum Sultan Mahmud. Terletak kira-kira tujuh kilometer dari pusat bandar, masjid ini dibina di atas air di muara Sungai Ibai menjadikannya masjid terapung terulung.

Usah bimbang jika anda malas memandu untuk ronda-ronda di Kuala Terengganu kerana di bandar raya ini tidak kurang gahnya dengan tarikan bas bandar yang mempunyai ciri-ciri Melayu tradisional. Menariknya, penumpang bas itu berpeluang menyusuri beberapa lokasi menarik di sekitar bandar raya dengan menaiki bas berkenaan secara percuma.

Antara lokasi yang dapat dihubungkan menerusi bas bandar berdinding kayu dan atap ukiran tradisi itu adalah Jeti Shah Bandar, Muzium Negeri Terengganu dan TTI.

Sejajar dengan konsep Zoom! Malaysia atau pelancongan domestik, kunjungan ke Kuala Terengganu juga seharusnya menjadi kegiatan pelancongan sekeluarga pada kos yang termampu dengan bajet. Walaupun berstatus bandar raya, Kuala Terengganu mempunyai hotel yang sepadan dengan bajet pengunjung.

- Berita Harian
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url