Kongres Ekonomi Islam perkukuh ekonomi ummah

Kongres Ekonomi Islam Ketiga yang berlangsung sejak 12 Januari lalu, sampai ke penghujung. Sebelum ini dua Kongres Ekonomi Islam pernah dianjurkan. Kali terakhir ialah Kongres Ekonomi Islam Kedua pada 7 hingga 9 April 1972. Di antara 1965 hingga 1999, empat Kongres Ekonomi Bumiputera dianjurkan. Kongres pertama diadakan pada 1965, kedua pada 1968, ketiga pada 1992 dan kongres keempat pada 1999.

Kongres Ekonomi Islam Kedua berlangsung dalam suasana umat Islam baru digegarkan dengan kejutan. Pilihan Raya Umum 1969 diikuti dengan peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, menyuntik satu rasa keinsafan di kalangan umat Islam di bumi ini.

Kejutan itu mempengaruhi minda pemimpin dan minda umat Islam ketika itu; mereka sedar akan rasional untuk bersatu, menghargai akan semangat bersatu teguh – bercerai roboh; lalu mengetepikan perbezaan dan memilih untuk merapatkan barisan sesama ummah, lalu terjalin hubungan kerja, terbina jambatan penyatuan antara ulama dan umara, antara pemimpin di bandar dan luar bandar, antara pegawai awam dan individu, antara ummah yang sebelumnya bertelagah disebabkan mewakili organisasi politik yang berlainan.

Dalam sejarah tanah air pasca Perang Dunia Kedua, ummah memperlihatkan puncak penyatuan berkata sepakat ketika menghadapi tiga peristiwa yang amat signifikan kepada 'survival' ummah, sebagai pewaris tanah air pusaka bangsa iaitu pertama, menentang rancangan Malayan Union; kedua, menuntut kemerdekaan negara dan ketiga, menggubal Dasar Ekonomi Baru (DEB) pasca peristiwa 13 Mei 1969.

DEB dapat ditafsirkan sebagai manifestasi yang lahir daripada himpunan tuntutan ummah bermula daripada suara yang digemakan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama. Antara resolusi utama dihasilkan merangkumi tuntutan agar ditingkatkan taraf Sekolah Kebangsaan, terutama sekolah di luar bandar, meningkatkan skop peranan Dewan Latihan Rida, mengambil pengajaran semangat kejayaan bangsa dan negara Jepun, peranan lebih berkesan Pertubuhan Peladang, memperuntukkan kuota untuk orang Melayu dalam pembangunan kawasan baru terutama di bandar, penubuhan Bank Bumiputera dan dianjurkan mesyuarat ulama-ulama Malaysia untuk membincangkan isu pembangunan dan ekonomi.

Kongres Ekonomi Bumiputera Kedua yang berlangsung pada 1968 menyenaraikan secara terperinci maklum balas tindakan susulan terhadap resolusi yang dicapai dalam Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama.

Antara perkara yang dilaporkan bahawa 500 ulama daripada seluruh Malaysia mengadakan perjumpaan pada Februari 1968, Bank Bumiputera ditubuhkan pada 1 Februari 1966, Pertubuhan Peladang disuntik dengan dinamisme baru, Maktab Mara ditingkatkan menjadi Institut Teknologi Mara (ITM) dengan bilangan penuntut bertambah daripada 200 orang pada 1965 kepada 600 pada Julai 1966 dan meningkat kepada 900 pada 1968.

Kongres Ekonomi Islam Kedua berlangsung ketika DEB baru digubal, Rukun Negara baru diperkenalkan, Rancangan Malaysia Kedua baru dilancarkan dan 'Revolusi Mental' rancak diperkatakan.

Antara perkara utama yang mendapat perhatian Kongres Ekonomi Islam Kedua dapat dirumuskan seperti berikut:

Atas hasrat mahu menyamakan kedudukan ekonomi umat Islam dengan bukan Islam, Majlis Raja-Raja dan Majlis Agama Islam dimohon membuat kajian mengenai segala hukum Islam dan menolak fahaman salah yang boleh menghalang kemajuan;


Membina Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian;


Meningkatkan usaha dalam sektor pertanian;


Kebimbangan ulama akan akibat buruk daripada kemajuan kebendaan dan gesaan untuk diimbangkan kemajuan sains dan teknologi dengan pembangunan rohani;


Pentingnya bagi ulama membawa perubahan, memahami tugas badan-badan berkanun seperti MIDF, UDA dan Bank Bumiputera hingga berupaya mengupas dan memahami masalah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian.


Kongres Ekonomi Bumiputera Ketiga diadakan pada 1992, apabila tempoh DEB sudah pun tamat dan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) diperkenalkan. Bengkel pada kongres itu merumuskan bahawa kerajaan dalam melaksanakan DEB sudah memberi peluang kepada usahawan Bumiputera untuk menyertai dalam semua kegiatan ekonomi dan jumlah Bumiputera yang mendapat pendidikan berkembang dengan pesatnya. Elemen amalan negatif turut diberikan perhatian oleh kongres.

Kongres Ekonomi Bumiputera Keempat diadakan pada 10 dan 11 September 1999. Antara resolusinya ialah:
Bahawa agama Islam dan budaya Melayu harus menjadi tunggak bangsa dan perlu dijadikan landasan serta pedoman dalam segala dasar dan perancangan.


Perjuangan memartabatkan bangsa Melayu berlandaskan kebudayaan dan keagamaan yang berteraskan ilmu pengetahuan sains dan teknologi bagi menentukan kecemerlangan Melayu dan kelangsungan bangsa.


Sistem pendidikan Islam pada semua peringkat pengajian perlu disemak supaya bersesuaian dengan tujuan memahami pandangan global.


Ummah sewajarnya bersyukur akan rekod kemajuan dicapai institusi kewangan negara menguruskan kewangan Islam hingga meletakkan negara berada di barisan hadapan pada peringkat global. Malaysia diiktiraf sebagai pusat yang melaksanakan langkah awal, dalam aspek pengedaran dan pasaran bon Islam yang dikenali 'sukuk'. Negara juga melangkah maju melaksanakan takaful atau insurans berlandaskan Islam.

Kali ini, Kongres Ekonomi Islam Ketiga sudah sampai ke hari penutupnya. Sudah tujuh kali umat Islam berkongres membincangkan soal ekonomi. Dalam tempoh 51 tahun negara mencapai kemerdekaan, adalah satu realiti bahawa berlakunya peningkatan pencapaian sosioekonomi di kalangan sebahagian umat Islam. Bilangan umat Islam yang mendapat peluang pengajian tinggi meningkat berlipat ganda, lalu menghasilkan pertambahan bilangan profesional dan teknokrat Islam di negara ini.

Pada hakikatnya, bilangan umat Islam yang mencapai paras sosioekonomi yang lebih baik pada 2009 nyata jauh bertambah berbanding 1957. Namun, umat Islam tidak sepi daripada berasa bimbang dan terancam apabila angka pencapaian itu dilihat secara relatif dengan angka pencapaian orang bukan Islam.

Pencapaian secara relatif memperlihatkan berlakunya jurang yang semakin luas, membuktikan kadar pencapaian umat Islam lebih kecil daripada kelajuan pencapaian yang bukan Islam. Malah, jurang pencapaian lebih lebar mungkin ditemui apabila dilakukan perkiraan kejadian ketirisan ekonomi dan kes pegangan ekuiti secara proksi.

Jika ketirisan ekonomi berlaku dan jika pegangan ekuiti secara proksi menjadi norma, apalah ertinya dasar yang digubal untuk membela ummah bila berlaku kegelinciran pada peringkat pelaksanaan. Keadaan demikian pastinya merugikan ummah, ibarat memagar kelapa condong; pohonnya tumbuh di kebun kita, buahnya jatuh ke kebun orang.

Ummah pula tidak harus terlalu dibelenggu dengan minda rendah diri dan rasa hilang keyakinan, di sebaliknya ummah wajib memberi fokus dan mengambil iktibar contoh kejayaan yang membantu mengubah nasib dan pencapaian ekonomi ummah. Lembaga Urusan Tabung Haji, Felda, DEB, Permodalan Nasional Berhad dan Petronas adalah antara contoh kejayaan dasar dan kejayaan institusi nasional yang diilhamkan, dibangunkan, diuruskan dan dimajukan oleh umat Islam di negara ini.

Lembaga Urusan Tabung Haji yang ditubuhkan oleh kerajaan melalui Akta Parlimen pada 1962, hari ini diiktiraf pada peringkat antarabangsa sebagai satu badan urus niaga yang bukan saja berjaya mengendalikan urusan jemaah haji secara tersusun, malah turut berjaya menguruskan dana kewangan Islam secara cekap, bijak lagi produktif.

Felda ditubuhkan melalui Akta Pembangunan Tanah 1956. Bermula dari 1961, Felda secara sendiri membangunkan ladang. Kini kawasan yang dibangunkan Felda mencecah keluasan lebih 853,000 hektar, membabitkan penyertaan lebih 112,000 keluarga.

Dasar yang dirangka dengan teliti, digubal dengan baik, bertujuan murni dan dilaksanakan secara adil akan terus mendapat sokongan untuk dikekalkan. DEB dicetuskan dengan niat ikhlas – dengan matlamat murni untuk menyusun semula masyarakat supaya berlaku perimbangan ekonomi antara kaum dan untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.

Ia adalah formula perancangan pembangunan ekonomi yang dilahirkan secara kolektif oleh masyarakat Malaysia pelbagai kaum selepas peristiwa 13 Mei 1969. Jika semangat DEB itu diamalkan seperti yang disebut di dalam rancangan terbabit – tiada kumpulan tertentu yang akan mengalami sebarang kerugian atau berasa diambil sesuatu daripada diri mereka, sudah pasti tiada orang yang akan menentangnya. Hari ini DEB dipertikaikan, dasar yang pada asasnya baik dan murni ini, dipersalahkan dan dituntut untuk dikuburkan kerana digelincirkan pada peringkat pelaksanaan.

Dua puluh lima tahun pertama negara mencapai kemerdekaan meliputi tempoh masa 1957 hingga 1982. Era 1957 ke 1982 melihatkan ladang yang membuahkan hasil dari pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dalam tempoh 25 tahun pertama kemerdekaan. Bilangan umat Islam yang memiliki kepakaran dalam era ini boleh disamakan dengan kain singkat, ditutup paha terdedah dada, ditutup dada terdedah paha. Namun kain singkat itu ditenun dari benang belati, teguh kukuh tak mudah reput.

Fasa 25 tahun kedua mencapai kemerdekaan bermula dari 1982 hingga 2007. Kejayaan yang dicapai dalam fasa pertama sudah menambahkan angka kejayaan di fasa kedua. Namun, era ini memperlihatkan bermulanya pelbagai kepincangan; era ini memperlihatkan berlakunya trend baru dan budaya baru dalam urusan perebutan kuasa.

Budaya 'kuasa' untuk 'kuasa' kerana 'kuasa' mula menerap di kalangan ummah. Amalan yang bercanggah dengan etika dan kesusilaan semakin merebak; kepentingan diri mula mengatasi kepentingan kumpulan, kepentingan kumpulan mula mengatasi kepentingan nasional. Perebutan, perebutan dan perebutan terus berlaku, terus berlaku dan terus berlaku.

Kaedah mencapai kemenangan dan reaksi akibat ketewasan menambah lemahkan ummah. Kalimah-kalimah pengorbanan, kesetiaan kepada perjuangan, ketulusan dan keikhlasan bagaikan tidak berharga lagi. Kejayaan awal yang dicapai pada fasa pertama yang sepatutnya membina kejayaan lebih besar di fasa kedua mula tergugat; ummah mula berpecah dan semakin terpisah. Era ini bagaikan mempunyai unsur persamaan dengan peristiwa sedih yang berlaku dalam suasana Peperangan Uhud, sifat tamak berebut harta rampasan, menjadi punca kepada kekalahan tentera Islam.

Umat Islam perlu menilai secara jujur cabaran yang melanda dunia yang begitu membimbangkan disebabkan sistem ekonomi dan sistem kewangan yang disifatkan sudah terbakar hangus. Bagaimana struktur ekonomi dan kewangan memerlukan jurubina yang dapat memulihkan dunia daripada debu-debu kemusnahan yang berlaku itu. Betapa pentingnya di saat ini untuk ummah bersatu dalam pemikiran, bersatu dalam pendekatan, bersatu dalam tindakan; betapa perlunya ummah berkata sepakat dalam niat dan hasrat membina ummah yang lebih kuat, membangunkan ummah yang lebih berjaya.

Akhir-akhir ini dalam interaksi pertemuan beta dengan pelbagai lapisan rakyat, persoalan 'survival' ummah adalah kebimbangan utama. Sifat ummah yang lebih taksub dan lebih setia kepada kafilah masing-masing mengalihkan ummah daripada menuju kiblat perjuangan yang sama. Perlakuan ummah ketika ini tentunya amat tidak menepati dengan semangat kesedaran yang disuarakan dalam Kongres Ekonomi Islam Kedua 37 tahun dulu.

Semoga Jawatankuasa Penganjur dan peserta Kongres Ekonomi Islam Ketiga ini memberi tumpuan menghidupkan semula dan memberikan peringatan akan semangat dan kesedaran itu; apa juga diperbincangkan dan apa juga rumusan yang dicapai tidak mungkin dapat dilaksanakan dan jauh sekali daripada dapat dipenuhi jika umat Islam tidak kembali bersatu dalam satu ukhuwah perjuangan untuk mempertahankan maruah bangsa dan kehormatan negara.

Berpeganglah kepada tali persaudaraan sebangsa – seagama dan amalkan semangat biduk berlalu kiambang bertaut. Umat Islam di negara ini jangan sampai mengalami nasib menang sorak kampung tergadai, berdagang di bumi sendiri kerana dagang lalu ditanak, akhirnya itik kehausan di air dan ayam kebuluran di kepuk.

Atas kesedaran bahawa Islam dan umat Islam itu adalah perkara dan subjek yang begitu dekat di hati Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, beta menyarankan agar Jawatankuasa Kongres turut mempersembahkan resolusi yang dihasilkan untuk dijadikan kertas makluman dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu.

- Berita Harian
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url