Jangan jadikan pilihan raya macam tukar baju - Najib (PRK Kuala Terengganu)

Datuk Seri Najib Tun Razak meminta pengundi di Parlimen Kuala Terengganu tidak menjadikan pilihan raya kecil 17 Januari ini sebagai peluang untuk beralih rasa seperti menukar baju atau hidangan makanan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebaliknya mereka perlu sedar pilihan raya adalah medan untuk mempertahankan agenda kerajaan Barisan Nasional (BN) yang selama ini terbukti berjaya membawa pembangunan dan kemajuan kepada negeri ini.

''Terengganu di bawah BN dari hari ke hari semakin maju dan berjaya. Kita tahu hampir lima tahun di bawah Pas dari 1999 hingga 2004, masa itu kita lihat Terengganu dalam keadaan gerhana, bukan bulan yang terang.

''Apabila BN kembali memerintah negeri Terengganu, ia bercahaya, bersinar semula," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan masyarakat India Muslim di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said; Pengerusi Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim; Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Syed Ibrahim Kader dan Pengerusi Kimma Terengganu, Mohammad Sallahuddin Mohammad Shahabuddin.

Sementara itu, Najib memberi jaminan kepada masyarakat India Muslim di negeri ini bahawa mereka akan turut menerima bantuan seperti yang dinikmati oleh kaum lain di negeri ini.

Kata beliau, bantuan itu termasuk wang ihsan dan daripada segi program pembangunan yang dilakukan kerajaan negeri pula, ia akan turut dipastikan meliputi masyarakat India Muslim.

''Saya cukup yakin pengundi India Muslim di kawasan ini akan mengundi BN. Insya-Allah, kita percaya calon yang dipilih adalah yang terbaik.

''Selain itu, saya juga selalu sebut antara Kerajaan Pusat dan negeri, ia memerlukan kerjasama yang erat kerana ia akan dapat menyelesaikan banyak perkara.

''Menteri Besar pun cukup setakat kenyit mata pada saya, terus lulus. Dia kerut dahi minta balik duit royalti, saya pun kata tak apa, dapat terus cek RM408 juta," jelasnya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url