BN tidak perlu watak Casper (hantu) untuk menang (PRK Kuala Terengganu)

Kalau kita mengikut dakwaan pembangkang, sudah pasti Malaysia adalah sebuah negara paling istimewa setiap kali pilihan raya sama ada kecil atau umum.

Ia kerana pada musim tersebutlah akan muncul pengundi hantu. Tetapi apa yang anehnya, isu ini hanya timbul jika keputusan memihak kepada Barisan Nasional (BN) manakala kalau sebaliknya, ia akan senyap begitu sahaja.

Ini jelas apabila dalam pilihan raya umum lalu pembangkang berjaya menawan Kedah, Perak dan Selangor serta mempertahankan Kelantan. Selepas kemenangan berkenaan termasuklah kejayaan menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen, parti pembangkang sama sekali tidak bercakap soal pengundi hantu.

Begitu juga apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Ogos tahun lalu. Isu pengundi hantu langsung tidak kedengaran.

Kini soal pengundi hantu ditimbulkan kembali, Pas cuba memberi gambar awal- awal lagi kepada rakyat bahawa seandainya parti itu kalah di Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada Sabtu ini, faktor pengundi hantu ada peranannya.

Tindakan Pas yang terus membangkitkan soal pengundi hantu ini, bukan sahaja menunjukkan mereka tidak mempunyai keyakinan untuk menang malah cuba mencari alasan lain terhadap kelemahan yang ada pada diri mereka.

Bagi Pas, kalau kalah ia bukan kerana jentera parti lemah atau rakyat tidak menyokong mereka tetapi disebabkan oleh taktik kotor yang digunakan oleh BN.

Sebenarnya, di Kuala Terengganu, tiada gunanya BN berbuat demikian kerana apa juga keputusan ia tidak menggugat kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Tetapi BN bertanding kerana ingin terus menawarkan khidmat bagi meneruskan agenda membangun dan memberi kesejahteraan kepada rakyat, tidak seperti Pas yang hanya mahu 'menghantar' satu lagi suara ke Parlimen.

Oleh itu, BN menyerahkan kepada kebijaksanaan pengundi untuk membuat keputusan. BN tidak perlu bersusah payah sehingga terpaksa mencari watak-watak dalam filem hantu seperti Marshmellow man atau Casper untuk membantu mereka.

Pengundi sekarang sudah bijak, mereka tahu menilai, menganalisis dan memilih parti yang boleh membela nasib mereka. Justeru kenyataan bahawa pengundi hantu telah dan akan wujud hanya merendah-rendahkan kebijaksanaan pengundi untuk membuat keputusan.

Pilihan raya adalah berkaitan dengan hak rakyat untuk memilih. Sepanjang kempen mereka telah diberi peluang mendengar hujah mana-mana juga parti yang bertanding, tiada sesiapapun yang disekat daripada berkempen.

Oleh itu adalah tidak wajar apabila mereka sudah membuat keputusan, kita tidak mahu menghormati pendirian mereka. Tidak kiralah mereka mengundi BN, Pas atau Bebas yang penting mereka sudah menggunakan hak mereka sebagai pengundi kerana itulah demokrasi.

Apa yang malangnya, kita sering melihat apabila rakyat sudah membuat keputusan dan BN mencapai kemenangan maka isu pengundi hantu akan bergema dan dakwaan BN menggunakan taktik kotor berkumandang.

Justeru sudah sampai masanya, parti-parti pembangkang belajar untuk menerima hakikat kekalahan dan kemenangan dalam pilihan raya. Kalau BN boleh menghormati keputusan rakyat menyerahkan empat negeri kepada pembangkang dan menafikan majoriti dua pertiga parti itu di Parlimen, kenapa susah sangat pembangkang hendak menerima hakikat apabila mereka kalah?

Biarlah keamanan yang wujud sepanjang kempen pilihan raya kecil ini diteruskan tanpa kontroversi atau provokasi, serahlah kepada pengundi Kuala Terengganu untuk membuat keputusan.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url