Keputusan kini di tangan pengundi

Selama 11 hari, Kuala Terengganu menjadi tumpuan. Sepanjang tempoh itu hampir semua pemimpin politik bermula daripada Perdana Menteri hinggalah ketua cawangan parti datang ke bandar raya ini.

Kehadiran mereka hanyalah dengan satu tujuan iaitu bagi memastikan calon parti masing-masing mencatatkan kejayaan dalam pilihan raya kecil Parlimen kawasan itu.

Setelah bertungkus-lumus dan mengatur pelbagai strategi siang dan malam, esok pengundi-pengundi Kuala Terengganu yang menjadi sasaran untuk meraih sokongan akan membuat keputusan mereka.

Dalam pilihan raya kecil tersebut yang dikatakan pembuka diari arena politik negara, tiga calon hadir menawarkan diri, mereka ialah Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang mewakili Barisan Nasional (BN), Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam, Mohd. Abdul Wahid Endut dan seorang pengamal perubatan tradisional, Azharudin Mamat yang bertanding atas tiket Bebas.

Ketika kempen berlangsung BN berusaha menyakinkan rakyat kenapa perlu parti itu dibenarkan meneruskan agenda yang tidak sempat disempurnakan manakala Pas pula dengan disokong oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) lebih gemar melakukan serangan bagi menyeru rakyat supaya menolak BN yang didakwa mengamalkan rasuah dan pembaziran.

Tidak cukup dengan itu, pembangkang juga 'mengimport' individu bukan politik terutamanya bloggers bagi membantu kempen mereka dan antara bloggers ini ada yang selama ini cukup menentang keras pelaksanaan hukum hudud dan penegakkan negara Islam.

Tetapi inilah politik, demi meraih kemenangan semua itu ditolak ke tepi, apa yang lebih penting matlamat untuk meruntuhkan 'kubu' BN tercapai.

Namun begitu, apa juga strategi dan siapa juga yang datang membantu kempen, mereka hanya sekadar boleh menyeru sahaja tetapi yang akan membuat keputusan ialah tangan-tangan yang akan memasukkan kertas undi ke dalam kotak undi.

Justeru selepas 11 hari, terserahlah kepada pengundi-pengundi Kuala Terengganu untuk membuat pertimbangan sewajarnya siapa yang mereka fikirkan paling layak untuk dipilih menguasai Parlimen Kuala Terengganu.

Sememangnya, apa juga keputusan yang dibuat oleh rakyat melalui pilihan raya harus dihormati kerana itulah demokrasi tetapi apa yang diharapkan tangan yang memangkah kertas undi itu haruslah digerakkan berpandukan kepada pemikiran yang tenang.

Keputusan yang dibuat haruslah bukan berasaskan kepada emosi atau terpengaruh dengan apa-apa dakyah, apatah lagi berdasarkan kepada persepsi. Ini kerana sebarang kesilapan yang dilakukan ketika memilih ia tidak akan mampu diperbetulkan lagi.

BN sudah membentangkan segala fakta dan menawarkan khidmat secara ikhlas. Parti itu ingin memastikan kesejahteraan rakyat mampu diteruskan dan bukan hanya sekadar menambah suara di Parlimen. BN mempunyai agenda lebih besar kepada rakyat Kuala Terengganu.

Pembangkang pula, mereka bukan sahaja hanya tahu menabur janji malah melakukan pelbagai serangan ke atas kerajaan BN. Bagi mereka, kononnya kalau rakyat memilih BN maka akan sengsaralah hidup mereka.

Atas sebab itulah sepanjang kempen tiada apa-apa isu besar yang dibangkitkan selain cuba meracuni fikiran rakyat di Kuala Terengganu supaya memastikan BN tidak lagi menguasai kawasan Parlimen tersebut.

Justeru terserahlah kepada pengundi untuk menilai siapa yang benar-benar mampu mengubah hidup mereka. Segala dakwaan pembangkang mungkin sedap didengar tetapi bagaimana dengan kesudahannya?

Semua pemimpin pembangkang yang datang memburukkan BN akan kembali ke tempat masing-masing selepas pilihan raya, tetapi pengundi Kuala Terengganu akan kekal di sini. Merekalah yang akan meneruskan kehidupan dan merasai apa juga yang berlaku di sini.

Oleh itu, mereka perlu bijak membuat keputusan kerana pilihan raya bukanlah medan ujian apatah lagi untuk menghukum sesiapa yang hanya berasaskan persepsi.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url