Saya tidak kisah diserang secara peribadi - Wan Farid (PRK Kuala Terengganu)

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tidak kisah parti pembangkang terus menggunakan serangan peribadi terhadapnya dalam tempoh 48 jam terakhir berkempen sebelum hari pengundian, Sabtu ini.

Katanya, beliau percaya serangan peribadi yang digunakan oleh parti pembangkang akan memberi kelebihan kepadanya kerana pengundi mampu berfikir kebenaran sesuatu perkara tanpa dipengaruhi pihak lain.

''Pengundi terutama mereka yang berada di atas pagar akan melihat dan berfikir mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan kempen sesebuah parti apabila mereka menggunakan serangan peribadi.

''Sebab itu dari awal saya memilih untuk berkempen secara positif supaya BN tidak dipandang tidak elok oleh pengundi,'' katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, jentera BN telah menemui lebih 65,000 pengundi sepanjang tempoh berkempen.

Beliau berkata, jentera parti akan terus berkempen sehingga BN dapat berjumpa dengan sebanyak mungkin pengundi sebelum hari pengundian.

Wan Ahmad Farid berkata, beliau sudah bersedia dari segi fizikal dan mental bagi menghadapi sebarang kemungkinan keputusan pilihan raya kecil itu.

''Saya sudah pun kehilangan segalanya. Saya bersedia menghadapi apa-apa pun," ujarnya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url