Komentar - UMNO perlu dimensi baru perjuangan

UMNO yang disebut-sebut sebagai parti keramat kini diancam hilang pengaruh dan kuasa. Kekalahan dua Pilihan Raya Kecil Parlimen, Permatang Pauh dan Kuala Terengganu serta prestasi kurang memberangsangkan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 seolah-olah UMNO sudah hilang daya tariknya.

Apatah lagi UMNO kini dibelenggu pelbagai persepsi negatif.

Ada benarnya kenyataan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, parti itu sudah hilang daya tarikan.

Bekas Ketua Penerangan UMNO Perlis, Datuk Hashim Suboh berpandangan UMNO perlu kembali sebagai parti perjuangan yang agresif memperjuangkan isu-isu rakyat dan bukannya tebal dengan karakter sebagai parti pemerintah yang terlalu streotaip dengan peranan sebagai jurucakap kerajaan.

"Kegagalan pemimpin UMNO khususnya kepimpinan Pemuda untuk menjuarai isu-isu rakyat telah melunturkan 'warna perjuangan' UMNO berbanding dengan Pas dan PKR yang secara bijak menyusup ke bawah untuk memimpin anak-anak muda yang berdarah panas dan agresif untuk 'berjuang'."

Hashim yang juga Naib Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia menegur sifat elitis sebilangan besar pemimpin UMNO. "Mereka yang berjawatan tinggi, berkereta besar, berbaju kain linen yang juga besar dan berjalan pula dengan gaya orang besar telah melebarkan jurang di antara UMNO dengan rakyat sekali gus mengikis imej mereka sebagai pemimpin atau pejuang rakyat."

Pemimpin pembangkang dengan gaya yang mesra, santai dan bersahaja tetapi kelihatan cukup berani dan komited ternyata lebih meyakinkan rakyat.

UMNO dan BN yang tidak habis-habis datang dengan watak dan lagak sebagai kerajaan setiap kali berhadapan dengan pilihan raya kelihatan amat tidak ikhlas dengan pemberian peruntukan dan projek-projek 'mee segera' berbanding dengan pemimpin pembangkang yang datang terus ke akar umbi menawarkan diri mereka untuk menjadi wakil kepada rakyat.

"Pada ketika pemimpin-pemimpin besar UMNO ghairah mahukan rakyat 'mendengar' pengumuman projek demi projek, peruntukan demi peruntukan, pembangkang telah jauh ke bawah menjadi 'pendengar' masalah rakyat, berdamping dengan mereka sambil menawarkan peranan yang amat asas iaitu menjadi jurubicara rakyat," kata Hashim.

Sesungguhnya UMNO telah kehilangan aura sebagai parti perjuangan kerana kecenderungan yang melampau untuk berlagak sebagai kerajaan.

UMNO tidak lagi menguasai kerajaan tetapi kerajaan yang menguasai UMNO. Kebobrokan pemimpin-pemimpin kerajaan serta kesilapan-kesilapan kerajaan gagal ditegur dan diambil tindakan oleh UMNO sehingga ketelusan perjuangan UMNO telah terhakis di mata rakyat.

UMNO perlukan dimensi baru dalam perjuangan yang berakarkan perjuangan rakyat dan bersifat populis.

Menurut Hashim, kita perlu mencari idealisme UMNO yang hilang sambil Pemuda dan Puteri UMNO diberikan identiti yang baru sebagai pewaris dan benteng hadapan perjuangan yang serius lagi komited dan bukannya sebagai selebriti politik yang hadirnya bermusim itu.

Kesimpulannya, kata Hashim, kita perlu kembali merakyatkan UMNO, bukannya terus mengkerajaankan UMNO. "Kita perlu juga kembali menyuburkan idealisme perjuangan bukannya terus bergelut berebut peluang dan jawatan, kembali mendampingi akar umbi dan bukannya terus bersifat eksklusif dan angkuh meninggi diri," jelas Hashim.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url