Kongres Ekonomi Islam - Pemangkin Ekonomi Umat Islam

Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) yang diadakan selepas kali terakhir dianjurkan 37 tahun lepas akan dijadikan platform untuk mencari pendekatan baru bagi memperkasa ekonomi umat Islam sebagai persiapan menghadapi era baru ekonomi dunia.

Resolusi KEI-2 yang diadakan di Kolej Islam Malaysia pada tahun 1972 telah berjaya mewujudkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Bank Islam dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim).

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Dr. Abdul Malek Awang Kechik berkata, sudah tiba masanya untuk umat Islam di negara ini bermuhasabah diri semula berdasarkan kepada senario-senario yang berlaku sekarang.

‘‘Bukan masanya untuk orang Islam menyalahkan satu sama lain mengapa umat Islam berada dalam keadaan lemah, gagal untuk membangun dan menguasai ekonomi, sedangkan umat Islam bukan lemah atau bodoh.

‘‘Perkara inilah yang perlu kita muhasabah diri dan juga sudah sampai masanya untuk kita letakkan kemajuan ekonomi orang Islam di tempat pertama dan politik di tempat kedua,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui baru-baru ini untuk membicarakan mengenai KEI-3 anjuran Yapeim dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang akan diadakan dari 12 hingga 15 Januari ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

KEI-3 akan dihadiri 350 orang peserta dan 600 pemerhati melibatkan sembilan tajuk dengan 34 kertas kerja dibentangkan di mana ucap utama akan diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan penutup oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.

Sembilan tajuk yang dipilih untuk kongres ini ialah penerokaan ekonomi strategik, penerokaan dalam pasaran global, meningkatkan pemilikan kekayaan, peranan syarikat berkaitan kerajaan, institusi pembiaya industri sederhana dan kecil, mengoptimumkan pengkomersialan hasil penyelidikan, memperkasa institusi pembangunan ekonomi, memantapkan budaya keusahawanan dan peranan media masa.

Abdul Malek yang bertindak sebagai Setiausaha Bersama KEI-3 menegaskan kongres itu merupakan pertemuan penting kepada orang Islam kerana di sinilah akan bermula tekad, misi dan visi baru dalam membangunkan ekonomi orang Islam.

KEI-3 ini amat penting kerana dengan penganjuran kongres ini diharap akan mencetuskan sesuatu yang akan membangkitkan semula ekonomi orang Islam di negara ini.

Beliau memberitahu, masalah ekonomi orang Islam pada masa ini agak tepu hinggakan tidak dapat bergerak ke depan seolah-olah tidak ada lagi perniagaan yang boleh diceburi.

Di sinilah peranan yang akan dimainkan oleh KEI-3 untuk mencari perniagaan, sumber, dana dan ekonomi baru bagi orang Islam.

‘‘Kita perlu mencari alternatif untuk orang Islam meningkatkan ekonomi mereka, kalau kita lihat banyak perniagaan di negara ini telah tepu seperti sektor hartanah, peruncitan dan perniagaan-perniagaan lain.

‘‘Kaum lain telah menguasai perniagaan ini berabad lamanya dan agak sukar untuk orang Islam memecahkan monopoli ini. Oleh itu kita perlu mencari sumber baru,’’ katanya.

Abdul Malek memberitahu, sebab itu dalam KEI-3 ini terdapat sesi untuk membincangkan mengenai pendekatan mengoptimumkan proses pengkomersialan hasil penyelidikan di institusi penyelidikan dan institusi pengajian tinggi.

Menjelaskan lebih lanjut katanya, Institut Penyelidikan dan Pertanian Malaysia (MARDI) misalnya ada menjalankan pelbagai penyelidikan untuk dikomersialkan seperti telur omega-3 malangnya ia telah disambar oleh orang lain.

Katanya, inilah tujuan KEI-3 untuk memastikan hasil-hasil penyelidikan ini dapat dijadikan sebagai sumber perniagaan baru bagi orang Islam.

‘‘Masalahnya yang dihadapi sekarang ahli-ahli perniagaan Islam tidak berani untuk mengkomersialkan hasil penyelidikan yang dibuat oleh agensi penyelidikan di Malaysia.

‘‘Perkara ini perlu dicari penyelesaian, mengapa keadaan ini berlaku kerana hasil penyelidikan yang dijalankan oleh agensi penyelidikan ini mempunyai nilai-nilai komersial yang tinggi dan mampu memberi pulangan yang baik kepada para pengusaha,’’ katanya.

KEI-3 ini akan cuba menganalisis apa punca perkara ini berlaku dan mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah ini. Jika ia tidak diselesaikan orang Islam akan terus kerugian dalam membangunkan ekonomi daripada sumber-sumber baru.

Abdul Malek berkata, KEI-3 ini diharap juga akan dapat mengupas industri-industri baru dan lama di samping industri mana yang boleh diberi nafas baru.

Tegasnya, orang Islam jangan berputus asa dalam mencari industri-industri baru ini kerana jika dijalankan penyelidikan dengan baik dan berterusan pasti akan dapat mencipta sesuatu yang menjadi kegunaan masyarakat.

Beliau juga menarik perhatian mengenai dana untuk perniagaan yang dikatakan sukar hendak didapati, sehubungan itu meminta agar amal jariah di kalangan umat Islam dapat digerakan dengan lebih giat.

Contohnya kata Abdul Malek, Yapeim setiap bulan berjaya mengumpulkan sebanyak RM40 juta daripada sumbangan amal jariah yang dibuat melalui potongan gaji kakitangan kerajaan beragama Islam.

‘‘Secara purata setiap kakitangan kerajaan beragama Islam menyumbangkan antara RM10 sehari dan sekiranya dikira. sumbangan ini boleh mencecah RM500 juta setahun,’’ katanya.

Secara teori memang tidak ada masalah dari segi dana kerana orang Islam boleh mendapatkan dari tiga bentuk pembiayaan iaitu sumbangan amal jariah, zakat dan dana yang disediakan oleh kerajaan.

Namun dari segi praktikal, seolah-olah dana ini sukar untuk disalurkan kepada peniaga-peniaga orang Islam.

Katanya, di sinilah tujuan KEI-3 bagi mengenal pasti kenapa ketiga-tiga dana ini gagal digunakan sepenuhnya oleh orang Islam.

Yapeim juga akan memainkan peranan sebagai penggerak kepada resolusi-resolusi yang diputuskan dalam KEI-3 memandangkan setiap kali mana-mana kongres diadakan, pelaksanaannya tidak diambil berat.

Menurut Abdul Malek, Yapeim akan menubuhkan kumpulan-kumpulan kecil bagi mengerakkan resolusi yang telah dicapai dalam kongres tersebut.

‘‘Kami bersedia untuk berkerjasama dengan mana-mana kumpulan bagi mengerakkan resolusi yang telah diputuskan dalam KEI-3 dan mungkin boleh ditubuhkan beberapa majlis kecil untuk melaksanakan resolusi terbabit,’’ katanya.

Tegasnya, matlamat utama Yapeim ialah bagi memastikan resolusi itu dapat mengerakkan ekonomi orang Islam di negara ini.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url