Laluan LTdL 2009 dekat tetapi mencabar

Walaupun laluan Le Tour de Langkawi 2009 (LTdL 2009) agak pendek dan hanya meliputi beberapa negeri di Semenanjung tetapi cabarannya dijangka sukar buat pelumba yang akan mengambil bahagian Februari ini.

Ketua Pegawai Operasi LTdL 2009, Datuk Naim Mohamad berkata, setiap peringkat perlumbaan menguji tahap kepakaran pelumba mendaki di kawasan berbukit.

''Sebelum ini kebanyakan laluan terutamanya di peringkat awal sedikit landai dan pelumba terpaksa menunggu sehingga di Genting Highlands untuk menguji kemampuan mereka mendaki di kawasan tinggi tetapi kali ini ia berbeza,'' katanya selepas Majlis Penyerahan Penajaan Le Tour De Langkawi (Ltdl) 2009, semalam.

Jelasnya, pada awal saingan, pelumba akan diuji melalui kawasan berbukit dari Putrajaya ke Senawang dan juga di peringkat kedua dari Senawang ke Melaka.

''Walaupun laluannya pendek tetapi cabarannya tetap berbeza dan lebih kompetitif, semuanya seperti perlumbaan sebelumnya.

''Pertandingan masih di peringkat tertinggi, penyertaan juga dihadiri oleh pelumba yang hebat, laluan yang mencabar walaupun kos perbelanjaan setiap peringkat dikurangkan secara drastik,'' katanya.

Naim memberitahu, sejak perlumbaan diperkenalkan pada 1996, kos perbelanjaan bagi setiap peringkat adalah lebih RM2 juta tetapi pada tahun ini ia dianggarkan RM2 juta sahaja untuk setiap peringkat.

Kata Naim, 20 pasukan yang bertarung pula diwakili pelumba terbaik profesional dan persaingannya akan bertambah sengi.

''Banyak pasukan yang menawarkan diri untuk menyertai perlumbaan ini tetapi kami hanya memilih pasukan yang benar-benar hebat.

''Hadiah perlumbaan juga tetap sama seperti tahun lalu kerana kita tidak mahu pelumba yang datang semata-mata mahu memenangi wang tetapi mempamerkan semangat kompetitif di samping pendedahan kepada pelumba muda,'' katanya.

Dua puluh pasukan yang mengesahkan penyertaan ialah pasukan profesional jelajah, BBOX Bouygues Telecom (Perancis), AG2r La Mondiale (Perancis), Garmin Slipstream (Amerika Syarikat), Fuji Servetto (Sepanyol).

Pasukan profesional benua pula terdiri, CSF Group - Navigare (Ireland), Serramenti PVC (Venezuela), ISD (Itali) Cervelo Test Team (Switzerland), Voralberg (Austria).

Pasukan bertaraf benua yang akan mengambil bahagian ialah Seoul Cycling (Korea Selatan), EQA-Meitan Hompo (Jepun), MNCF (Malaysia), Letua (Malaysia) Doha (Qatar).

Sementara pasukan kebangsaan pula ialah Malaysia, Australia, Afrika Selatan, China, Iran dan Kazakhstan.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url