Maybank sasar 2j kad debit

Malayan Banking Bhd. (Maybank) mensasarkan dua juta pengguna kad Maybankard Visa Debit pada tahun ini berbanding satu juta pengguna sebelumnya.

Eksekutif Kanan Timbalan Presiden dan Ketua Perbankan Penggunanya, Lim Hong Tat berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan nilai yang ditawarkan oleh Maybank kepada pelanggan selain membantu usaha kerajaan menggalakkan pengurangan penggunaan tunai dalam pasaran.

''Sejak dilancarkan pada Mac tahun lalu kami telah berjaya mempunyai pelanggan sebanyak satu juta dengan jumlah jualan debit sebanyak RM1.2 bilion.

''Pada tahun ini Maybank meningkatkan unjuran jumlah itu kepada dua juta pelanggan dengan jumlah jualan debit melebihi RM2 bilion,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penerimaan Maybankard Visa Debit melebihi satu juta pengguna.

Pada majlis itu juga, Maybank telah menerima anugerah daripada Visa sebagai penghargaan terhadap komitmen yang tinggi ditunjukkan bank tersebut dalam mempromosi penggunaan kad debit.

Tambah Hong Tat, melalui rangkaian pengagihan Maybank yang menyeluruh di seluruh negara menjadikan penawaran kad-kad tersebut mudah didapati.

Sementara itu, Pengerusi Maybank, Tan Sri Mohamed Basir Ahmad dalam ucapannya berkata, penggunaan Maybankard Visa Debit memudahkan pengguna untuk membuat pembayaran selain mendapat akses meluas di peringkat tempatan dan antarabangsa.

''Setakat ini penguasaan pasaran Maybank dalam penggunaan kad debit adalah sebanyak 78 peratus menjadikan kami sebagai peneraju dalam penawaran kad debit di negara ini.

''Hari ini Maybank merupakan pengeluar kad terbesar di Malaysia dengan tujuh juta kad debit termasuk kerjasama dengan Visa, 1.6 juta kad kredit dan kad caj,'' katanya.

Selain itu, Maybank juga akan terus melabur dalam teknologi dan industri penyelesaian bagi meneruskan hasrat sebagai peneraju dalam pembayaran dan pembayaran elektronik bukan sahaja melalui kad tetapi saluran yang lain juga seperti mesin teler automatik (ATM), perbankan talian, Maybank2u.com dan perkhidmatan kewangan bergerak, katanya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url