Lebuh raya Duke mula dibuka

Orang ramai dibenarkan menyemak butiran perjanjian konsesi pembinaan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke) bernilai RM892 juta antara kerajaan dengan Konsortium Lebuh Raya Utara-Timur Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (Kesturi) mulai hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, mereka yang berminat mengetahui butiran konsesi perjanjian tersebut boleh melakukannya di Kementerian Kerja Raya di sini.

''Dengan pembukaan lebuh raya baru ini, dijangka 120,000 buah kenderaan akan dapat menggunakannya setiap hari tanpa perlu memasuki pusat bandar Kuala Lumpur,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Lebuh Raya Duke di Plaza Tol Ayer Panas di sini hari ini.

Beliau memberitahu, sebanyak 1,400 keluarga melibatkan 5,000 penduduk setinggan telah dipindahkan ke beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi memberi laluan kepada pembinaan lebuh raya itu.

Menurutnya, projek pembinaan Lebuh Raya Duke ditangguhkan sejak 1997 dan telah dimulakan semula pada 2003.

Katanya, kerja-kerja pembinaan lebuh raya itu mengambil masa selama tiga tahun dengan sebanyak RM255 juta dibelanjakan bagi tujuan pengambilan tanah.

Terdahulu, Mohd. Zin dalam ucapannya berkata, kerajaan bersetuju kadar tol RM2 yang dikenakan ke atas pengguna Lebuh Raya Duke sepanjang 18 kilometer itu kekal selama enam tahun sehingga 2014.

Bermula hari ini, katanya, pengguna Lebuh Raya Duke akan dikecualikan daripada membayar tol selama sebulan sehingga 8 Februari depan.

Dalam pada itu, katanya, lebuh raya itu dibuka kepada orang ramai setelah kerja-kerja pengauditan keselamatan dilakukan dua kali oleh Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya.

''Aspek keselamatan amat penting kerana kita tidak mahu lebuh raya ini menjadi kawasan maut. Oleh demikian kerajaan memastikan kawasan yang mempunyai cerun dipantau dan diawasi mengikut garis panduan yang ditetapkan,'' katanya.

Mohd. Zin juga memberitahu, sebanyak 46 peratus daripada Lebuh Raya Duke adalah laluan bebas tol.

Sementara itu, Pengarah Projek Kesturi, Chua Soo Kok berkata, sebanyak RM10 juta diperuntukkan setiap tahun bagi kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya berkenaan.

Pada tahun pertama, katanya, Kesturi menjangkakan sebanyak 50,000 kenderaan menggunakan lebuh raya itu dengan kutipan tol RM100,000 sehari atau RM36.5 juta setahun.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url