Perluaskan program Tunas Mekar UiTM - PM

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu program perintis yang melibatkan graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan pengusaha tempatan diperluaskan di seluruh negara bagi melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera tulen.

Perdana Menteri berkata, langkah itu mampu melahirkan lebih ramai usahawan tulen dan ia juga penting bagi menyelaras dan menyusun masyarakat di negara ini.

"Bagi menyusun semula masyarakat, kita tidak boleh bergantung hanya kepada agihan ekuiti kerana ia tidak mencukupi.

"Untuk itu, program pembangunan usahawan tulen bumiputera diperlukan untuk meramaikan golongan usahawan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan program Jaringan Tunas Mekar, Pusat Reka Bentuk Kebangsaan (NDC), Batik dan Songket MIM di Dewan Seri Budiman di UiTM di sini hari ini.

Turut hadir Datin Seri Jeanne Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ir. Idris Haron, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Khalid Ramli dan Naib Canselor UiTM, Datuk Seri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah.

Program Tunas Mekar yang dimulakan pada 2005 diilhamkan oleh Perdana Menteri untuk menggalakkan graduan UiTM menjadi usahawan apabila tamat pengajian.

Program dengan kerjasama ICU itu menyaksikan graduan terlibat diberi pendedahan dan latihan bersama pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) selama setahun dengan dipantau oleh pensyarah UiTM.

Kerajaan, kata Perdana Menteri, turut tidak mahu usahawan yang dilahirkan hanya menjadi pemegang saham dan 'rakan kongsi tidur' semata-mata kerana ia tidak membantu memberi nilai tambah kepada perniagaan mereka.

"Ada pula saham itu pun bukanlah tulen kerana dipegang atas nama dia, tetapi bagi orang lain," jelas beliau.

Pada masa yang sama, Abdullah menyokong usaha Ibrahim untuk menubuhkan Institut Keusahawanan Bumiputera bagi mengembangkan konsep Tunas Mekar di UiTM.

Perdana Menteri berkata, institut pengajian tinggi perlu berperanan sebagai barisan hadapan bagi menambah nilai graduan yang dilahirkan, selagi gus menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada masa depan.

Abdullah berkata, NDC mesti menjadi pusat penghasilan barangan yang berkualiti tinggi serta lebih kreatif dalam mereka bentuk untuk menarik minat pembeli walaupun harga yang ditawarkan adalah tinggi.

"Pengusaha tongkat misalnya daripada batang kelapa yang dijual dengan harga RM100 dan apabila menghasilkan 60 tongkat mampu memperoleh pulangan RM6,000 kerana kreativiti dan keunikannya," jelas beliau yang gemar mengumpul tongkat semasa menjadi Menteri Luar termasuk tongkat daripada buah pinang berharga RM380 yang menjadi miliknya.

Tambahnya, dengan menggunakan daya kreatif dan kemahiran tinggi juga barangan terbuang seperti tunggul kayu yang direka menjadi mangkuk boleh dijual sehingga RM6,000 sebiji di pasaran.

Abdullah turut menarik perhatian bahawa batik dulunya yang dipakai untuk pakaian basahan dan pengikat kain semutar.

Bagaimanapun, katanya, hasil usaha promosi dan dipopularkan oleh Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood di luar negara termasuk pameran di Belanda serta Australia, menyaksikan nilainya kini mencecah ribuan ringgit kerana sudah diterima oleh masyarakat antarabangsa.

"Jeanne pula gemar mereka cipta barang-barang peralatan dulang hantaran untuk hantaran kahwin walaupun bahannya mudah didapati, tetapi hasil rekanya menarik menjadikan ia bernilai tinggi," dedah beliau.

Sementara itu, Abdullah turut melahirkan keyakinannya terhadap usaha bekas Ketua Penyelidikan dan Pembangunan Motorola, Abdul Wahab Abdullah mencipta komputer ringkas yang digelar Makcik PC dengan kerjasama MIMOS Bhd.

Katanya, ciptaan itu bukan sahaja mampu meningkatkan jumlah pengguna Internet di kawasan desa sekali gus menunjukkan kejayaan kerajaan memperkenalkan e-kerajaan kepada masyarakat.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan Anugerah Tokoh Usahawan Mekar 2008 kepada pengusaha kilang kopi, Mohammed Chin dari Serdang, Kedah, bagi kategori lelaki, manakala bagi kategori wanita pula dimenangi oleh pemilik dua buah bot nelayan laut dalam, Aishah Mahmud, dari Tok Bali Kelantan.

Selepas majlis itu, Abdullah bersama-sama penuntut dan kakitangan UiTM menunaikan solat Jumaat dan kemudian solat hajat untuk mendoakan agar keganasan rejim Zionis ke atas rakyat Palestin di Genting Gaza dihentikan.

Perdana Menteri turut melancarkan Tabung Palestin UiTM.

Sementara itu, Kehilangan sebelah tangan akibat kemalangan tidak menghalang Mohammed Chin (gambar), 63, untuk menjadi usahawan berjaya sehingga terpilih sebagai pemenang Anugerah Usahawan Tunas Mekar 2008 bagi kategori lelaki.

Mohammed menerima anugerah tersebut daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada majlis Pelancaran Program Jaringan Tunas Mekar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Turut menerima anugerah ialah Aishah Mahmud, 60, bagi kategori usahawan wanita; Mohd. Pozi Hassan, 25, bagi kategori usahawan muda lelaki dan Noor Yuslizawati Md. Yunus, 28, bagi kategori usahawan muda wanita.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Datuk Seri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, Program Tunas Mekar yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu, berjaya mencapai hasil membanggakan apabila 82 peratus daripada 285 usahawan yang menyertainya melaporkan peningkatan prestasi perniagaan.

Program yang diilhamkan oleh Abdullah itu juga menunjukkan kejayaan apabila 50 peratus atau 140 daripada lulusan yang tamat daripada program itu telah memulakan perniagaan sendiri.

Beliau berkata, jumlah 50 peratus lulusan yang telah membuka perniagaan sendiri itu adalah tinggi.

Katanya, kejayaan tersebut kerana program Tunas Mekar mudah dan praktikal serta dapat memberi faedah bukan sahaja kepada peniaga dan lulusan malah pensyarah UiTM yang menjadi kaunselor.

Menurutnya, para pensyarah yang terlibat juga dapat memperkayakan diri dengan pendedahan praktikal tentang permasalahan Industri Kecil Sederhana (IKS).

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Pelancaran Program Jaringan Tunas Mekar, Pusat Reka Bentuk Kebangsaan (NDC), Batik dan Songket MIM yang disempurnakan Perdana Menteri di UiTM di sini hari ini.

Program Tunas Mekar diwujudkan bagi memberi peluang kepada siswazah bumiputera menimba pengalaman dalam bidang keusahawanan dan perniagaan seterusnya menjadikan bidang tersebut sebagai kerjaya pilihan.

Ia juga bertujuan membantu usahawan IKS memajukan perniagaan melalui kaedah pengurusan dan teknologi moden serta meningkatkan hidup masyarakat luar bandar.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url