Manchester United datang lagi ke Malaysia?


Di sebalik pengalaman pahit pada 2007 apabila perlawanan persahabatan Manchester United menentang Malaysia dibatalkan ekoran pertembungan tarikh dengan kejohanan anjuran Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), kelab Inggeris itu akan kembali beraksi di Malaysia Julai ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Manchester United, David Gill, pasukan itu akan beraksi dalam empat perlawanan sepanjang Jelajah Timur Jauh Asia iaitu di China, Korea Selatan, Jakarta dan Malaysia.

"Jelajah kami di Asia sentiasa istimewa. Sokongan peminat amat mengagumkan.

Asia penting bagi pertumbuhan komersial kami kerana hampir separuh daripada lebih 300 juta peminat kelab itu adalah di Asia dan angka itu terus meningkat," kata Gill semasa mengumumkan butiran Jelajah itu di sini semalam.

"Tahun ini kami ada tambahan destinasi baru, Jakarta di Indonesia di mana kami mempunyai kira-kira 12 juta peminat. Ini akan memberi peluang kepada peminat untuk melihat wira mereka beraksi di negara mereka," katanya yang turut mengatakan semua pemain pasukan itu termasuk Pemain Terbaik FIFA, Cristiano Ronaldo disenaraikan dalam pasukan.

"Kami tidak akan menggugurkan mana-mana pemain dalam Jelajah ini dan kami mahu setiap pemain mempamerkan prestasi terbaik kerana jelajah ini adalah persiapan terakhir kami sebelum meneruskan Liga Perdana Inggeris," katanya.

Sementara itu, Pengerusi ProEvents, wakil penganjur Jelajah, Paul J. Kam berkata, tarikh awal yang dijadualkan bagi perlawanan di China ialah 16 Julai, Korea Selatan (20 Julai), Jakarta (24 Julai) dan Kuala Lumpur (26 Julai).

"Pada 2007 kami terpaksa batalkan perlawanan kerana ia bertembung dengan kejohanan Piala Asia anjuran AFC tetapi kali ini kami pastikan perkara seperti itu tidak berlaku," kata Kam.

"Kami amat teruja menyambut kedatangan Manchester United ke Asia dan peminat akan berpeluang melihat aksi pasukan yang baru dinobatkan sebagai juara Kelab Dunia itu di sini."

Jurulatih Manchester United, Sir Alex Ferguson yang bercakap melalui telepersidangan berkata: "Pemain begitu gembira untuk beraksi dalam Jelajah Asia.

"Bagi sesetengah pemain, Piala Kelab Dunia di Jepun baru-baru ini merupakan pertama kali mereka menyaksikan sokongan padu peminat terhadap kelab itu di rantau Asia dan mereka benar-benar gembira.

"Kami tahu kami akan mendapat sokongan padu daripada peminat di semua lokasi yang dikenal pasti bagi perlawanan itu. Indonesia akan menjadi pengalaman baru bagi kami dan saya sendiri tidak sabar kerana ia merupakan lawatan pertama saya ke sana."

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url