Kempen di kawasan majoriti kaum Cina diperhebat (PRK Kuala Terengganu)

Jalan- Jalan di Kampung Cina di sini nampak tenang, walaupun pada sebelah siangnya dipenuhi dengan aktiviti kempen bagi pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu yang tinggal beberapa hari sahaja lagi, yang dilihat 'menghangatkan' suasana persekitaran di sini.

"Suasana di sini sebenarnya sedang menggelegak," kata seorang pemilik kedai kopi yang hanya mahu dikenali sebagai Chua, semasa merujuk kepada usaha merebut sokongan 8,229 pengundi di kawasan parlimen berkenaan.

Kempen pihak-pihak yang bertanding semakin dihebatkan, dengan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) masih bergelut untuk membaca kecenderungan dan sentimen pengundi dari kaum Cina, selepas ramai penganalisis percaya mereka merupakan faktor penentu pihak yang bakal menang - sebagaimana yang dilakukan mereka dalam memberi kemenangan kepada BN pada pilihan raya sebelum ini.

Pas, yang menurunkan Anggota Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam lima penggal, Abdul Wahid Endut, membenarkan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerajui kempen di kawasan ramai pengundi kaum Cina itu, manakala BN, yang menurunkan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Farid Wan Salleh, menyerahkan tugas itu kepada MCA dan Gerakan.

"Kami diberi tanggungjawab mendapatkan sokongan pengundi di kawasan ini," kata pengerusi Gerakan Terengganu, Yap Kea Ping.

Kedua-dua pihak dilihat menampilkan pemimpin peringkat nasional berkempen dari rumah ke rumah, bersalaman dengan pengundi dan mengedar limau mandarin serta kad-kad ucap Selamat Tahun Baru Cina, di samping menganjur ceramah pada sebelah malamnya.

Isu-isu yang dibawa oleh DAP dan PKR dilihat lebih kepada isu-isu nasional seperti rasuah, ekonomi, pengajaran matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris, serta Akta Keselamatan Dalam Negeri.

BN pula bertindak balas dengan mengingatkan pengundi mengenai kegagalan kerajaan negeri di bawah pimpinan Pas melaksanakan segala janji-janjinya, serta kontroversi berhubung rancangan Pas melaksanakan Hukum Hudud.

DAP mendakwa bahawa ia memiliki sokongan pengundi Cina berdasarkan kepada jumlah mereka yang menghadiri sesi-sesi ceramah anjurannya.

Dalam satu ceramah yang dianjurkan berhampiran dengan ibu pejabat MCA Terengganu di sini Ahad lepas, DAP berjaya mengumpul kira-kira RM3,500 daripada kira-kira 1,000 orang yang hadir.

Seorang petugas kempen DAP berkata jumlah kutipan serta kehadiran ramai itu jelas menunjukkan sokongan ramai terhadap parti berkenaan, dan menurutnya cara yang sama digunakan dalam pilihan raya lepas untuk mengukur sokongan terhadap mereka pada pilihan raya di kawasan-kawasan sekitar pantai barat negara sebelum ini.

Pakar strategi DAP, Liew Chin Tong berkata beliau percaya pengundi Cina ketika ini berpihak kepada pembangkang.

BN bagaimanapun tidak terpengaruh dengan jumlah yang hadir pada sesi ceramah pembangkang itu, kerana ia mengambil pendekatan yang berbeza dalam kempennya, iaitu dengan menemui sendiri pengundi, dalam kumpulan kecil.

Seorang pemimpin MCA tempatan, Patrik Yap berkata jumlah yang tiba pada sesi ceramah pembangkang sebenarnya tidak menggambarkan sokongan sebenar terhadap mereka.

"Saya pernah menghadiri ceramah mereka (DAP) di kawasan majoriti Cina dan mendapati barisan pertama ceramah itu sebenarnya terdiri daripada kalangan wartawan yang membuat liputan.

"Di bahagian belakang pula dipenuhi dengan petugas kempen MCA yang berada pada sesi itu untuk memantau keadaan," katanya dan menambah bahawa parti-parti pembangkang tidak seharusnya beranggapan kononnya kaum Cina menyokong mereka.

Tambahan pula beliau berkata pemimpin-pemimpin BN mengadakan pertemuan dengan banyak pertubuhan-pertubuhan yang mewakili kaum Cina, seperti Kuala Terengganu Chinese Town Hall, yang cukup berpengaruh di kalangan komuniti Cina di sini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mengadakan pertemuan dalam sesi dialog tertutup dengan pemimpin-pemimpin pertubuhan itu pada hari Jumaat lepas, manakala Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat dan Presiden Gerakan Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon juga pernah mengadakan sesi yang serupa sebelum ini.

"Kami merasakan ini adalah cara terbaik untuk mendekati kaum Cina, apabila pemimpin masyarakat akan mempunyai diberi peluang menyuarakan pandangan serta masalah mereka. Jika kumpulan terlalu besar, tidak banyak keadaan komunikasi dapat dilaksanakan," katanya.

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url