Memey kuat kerana Norman


Ramai orang mula bercakap Norman Hakim dan Memey Suhaiza Suhaimi dah macam pasangan pengantin. Tengoklah! Pakaian yang dipakai ke Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur Selasa lalu memang macam orang nak nikah.

Memey memakai pakaian berwarna putih gading dihiasi tudung berwarna hitam sementara Norman memakai baju warna serupa dan berseluar hitam. Ketika melangkah masuk ke perkarangan mahkamah, ada suara-suara yang berkata, “Ini pengantin ke?”.

Tanpa menafikan sudah merancang untuk berpakaian sedemikian, kata Norman dia yang menasihati Memey untuk memakai pakaian berwarna putih agar bersesuaian bagi urusan di dalam mahkamah syariah.

Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, 21, tidak menafikan agak gementar ketika melangkah masuk bagi menghadapi tuduhan kes itu.

“Saya mengaku sejak beberapa hari lalu saya agak berdebar kerana ini pengalaman pertama saya. Tapi nak atau tidak, saya perlu menghadapi kenyataan ini,” katanya.

Yalah, selepas tiga bulan terpaksa menyorok gara-gara kes ini, akhirnya Memey terpaksa menerima hakikat dia tidak boleh terus dan terus untuk bersembunyi.

Memey mengambil keputusan keluar dari tempat persembunyian untuk membuat penjelasan dan memohon maaf kepada bekas isteri Norman iaitu Abby Abadi di atas pendustaan kata-katanya selama ini iaitu cuba menafikan mengenali Norman.

Walaupun Memey berkata dia ada sebab untuk berbuat demikian tetapi Memey terpaksa menerima kenyataan orang di luar sana tetap mempertikaikan perbuatannya itu.

Yalah... apa nak buat. Benda dah pun berlaku. Walaupun Abby menganggap beberapa alasan yang diberikan Memey selama ini tidak munasabah tetapi yang terjadi itu sudah terjadi. Tak boleh nak buat apa lagi.

Yang hanya perlu kita tunggu ialah keputusan mahkamah untuk menentukan sama ada mereka bersalah ataupun tidak.

Ada cukup bukti

Pegawai Pendakwa Syarie, Muhamad Nazri Basrawi memberitahu mahkamah beliau akan membawa enam saksi pada perbicaraan 3 Mac depan untuk membuktikan Norman dan Memey sebenarnya bersalah.

Sementara itu Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 33, tetap dengan keputusannya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Oleh itu Norman dan Memey akan berkongsi peguam bagi membela nasib mereka nanti.

“Kami tak salah. Kami mahu membuktikan kepada mahkamah terhadap pertuduhan itu. Jadi, kami akan melantik peguam,” kata Norman.

Memey yang tersenyum malu di sisi Norman sepanjang berada di pejabat mahkamah itu juga menolak dia sudah “disentuh” oleh Norman.

Dengan raut wajah yang agak kurang selesa, sampuk Memey dia masih waras dan menafikan sekeras-kerasnya persoalan itu.

“Saya masih berfikiran waras. Saya tahu batas-batas pergaulan dan masih ada agama. Saya juga ada keluarga. Takkan saya nak melakukan perkara seburuk itu. Dia tak pernah menyentuh saya,” ujar Memey.

Akui hubungan semakin rapat

Menjadi teka-teki sejauhmanakah hubungan Norman dan Memey itu? Adakah mereka cuba menyembunyikan percintaan ataupun mereka sebenarnya dilamun cinta?

Tanpa mahu menafikan perkara yang benar, Memey menolak dia menjalinkan hubungan intim dengan Norman sebaliknya mengaku mereka sebenarnya berkawan rapat.

Ia wujud kerana mereka terpaksa bertemu atas urusan kerja yang menyebabkan mata orang di luar sana terus membuat tanggapan kemesraan itu melebihi sebagai seorang teman.

Dan bagi Norman pula, kejadian tangkap khalwat yang berlaku itu mempunyai hikmah yang tersendiri iaitu silaturahim kekeluargaan di antara mereka menjadi lebih akrab.

“Apabila terjadi kes ini, keluarga saya dan keluarga Memey semakin rapat. Kami selalu berjumpa untuk berbincang bagaimana mencari jalan bagi menyelesaikan masalah yang berlaku. Itu hikmahnya,” kata Norman.

Tidak menafikan gara-gara kejadian itu, Norman dan keluarganya sudah melakukan kunjungan hormat ke rumah Memey di Felda Tenggaroh, Johor untuk mengeratkan lagi persaudaraan sesama Islam.

Bercerita soal kahwin

Ada yang berkata nak senang, Norman dan Memey kahwin sajalah. Selesai masalah. Kedua-dua mereka turut berhadapan dengan persoalan yang sama tetapi mereka tidak pernah ke tahap untuk memikirkan soal itu.

Bagi mereka masih terlalu awal untuk membuat pengesahan sama ada mahu berkahwin ataupun tidak. Dan Norman sendiri mengakui dia mahu kes berkenaan selesai peringkat demi peringkat sebelum memikirkan soal jodoh.

Sementara Memey pula ketika bercerita mengenai masa depannya mempunyai pendirian tidak mungkin untuk menamatkan zaman bujang ketika baru melangkah ke usia 21 tahun iaitu masa untuk melihat dunia luar.

Ujar gadis ini dia perlu mengatur hidup untuk tempoh yang panjang. Bukannya memilih untuk berkahwin bagi menutup masalah mereka itu. Perkahwinan itu juga bukanlah jalan penyelesaian terhadap kes mereka yang menunggu untuk dibicarakan itu.

“Saya masih muda. Saya tak mahu kahwin dalam usia sebegini,” kata Memey.

Tetapi ketika ditanya pernahkah Memey mengenai lelaki lain selain Norman sebelum ini, Memey menggelengkan kepala. Maknanya Norman adalah lelaki bertuah dalam hidup Memey kerana terpilih untuk menjadi teman rapat.

Tetapi bagi Norman pula jika jodoh sudah sampai, dia tidak menolak ketentuan itu. Yalah... tiada siapa yang boleh menolak suratan takdir.

Sementara bagi Memey jika dia mahu membuat keputusan untuk berkahwin biarlah ia atas dasar cinta dan bukannya terpaksa.

Terima hakikat kemarahan Abby

Apabila sebut saja nama Norman atau Memey di telinga Abby Abadi, tentu saja wanita itu bagaikan seperti nak naik angin.

Pada Abby, kalau boleh dia tidak mahu lagi mendengar nama-nama tersebut dalam hidupnya. Begitulah marahnya Abby walaupun dia tidak lagi menjadi isteri kepada Norman.

Dan bagi Memey sendiri, Abby ada hak untuk meluahkan kemarahan itu. Malah sebagai perempuan Memey memahami perasaan wanita yang lain. Akuinya, jika dia berada di tempat Abby sekalipun dia mungkin akan bersikap sedemikian.

“Ini semua soal hati dan perasaan. Memang Abby marah tetapi saya dah memohon maaf di atas kesilapan saya terhadapnya.

“Saya tak boleh nak kata apa-apa lagi kerana apa yang berlaku ini adalah sebahagian daripada penghidupan.

“Ia adalah satu pengalaman yang terpaksa saya tempuhi walaupun pahit. Ia satu pengalaman yang amat bermakna apatah lagi saya baru setahun jagung dalam bidang seni,” jelasnya.

Orang berhak bercakap

Tidak menafikan apabila terjadinya peristiwa hitam dalam hidup Memey dan Norman itu, orang akan terus bercakap dan bercakap. Begitulah mulut manusia. Tak boleh ditutup. Walaupun malu tetapi apa nak buat benda dah terjadi.

Memey terpaksa juga menghadapi ujian ini selain belajar untuk tidak terus menerima kata-kata orang itu yang boleh menyebabkan dirinya semakin tertekan.

Ketika dirinya menjadi longlai dengan cercaan orang, Memey mengaku dia mendapat kekuatan apabila hadirnya Norman untuk memberi semangat bagi menempuh dugaan tersebut.

Walaupun kejadian itu agak mengaibkan namun Memey tidak mampu menutup mulut orang untuk terus bercerita mengenainya.

“Orang berhak bercakap apa saja dan saya pula perlu ada kekuatan untuk menghadapi kenyataan ini.

“Saya bersyukur kerana adanya Abang Norman yang memberi semangat untuk saya menjadi lebih kuat,” katanya.

- Utusan
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Mr. Right
    Mr. Right Rabu, 28 Januari 2009 pada 5:44:00 PTG SGT

    Fuh! Sapa yang lagi gatal? Kena tangkap khalwat ke kantoi bercuti di luar negara? Elok lah tu, si Zul nak tumpang popularity Abby dan si Abby nak gunakan Zul untuk buktikan yg dia pun boleh rasa 'buah muda'. Harap2 Abby dan Zul tak buat benda2 tak senonoh di China. Walaupun rakyat M'sia tak nampak, tapi Allah still ada dimana-mana.

    Short-Talk: Abby & Zul

Add Comment
comment url