Pemimpin didakwa SPRM tidak boleh bertanding UMNO

Pemimpin dan ahli UMNO yang ditahan serta didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung politik wang tidak dibenarkan bertanding pada pemilihan parti Mac ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bagaimanapun seseorang pemimpin atau ahli yang masih dalam siasatan oleh SPRM berhubung gejala itu masih dibenarkan bertanding.

Tegas beliau, anggota perwakilan yang ditahan dan didakwa oleh SPRM juga tidak dibenarkan menghadiri perhimpunan tersebut.

''Ini adalah peraturan parti. Jika seseorang ahli masih dalam siasatan, dia masih boleh bertanding. Kalau telah didakwa, tidak bolehlah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan peralatan persekolahan untuk kira-kira 2,000 murid dalam daerah Pekan di Dewan UMNO Bahagian Pekan di sini hari ini.

Beliau mengulas penahanan 12 individu oleh SPRM berhubung politik wang sejak beberapa hari lalu.

Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO menegaskan langkah yang dilakukan oleh SPRM itu merupakan sebahagian daripada proses pemutihan yang sedang dijalankan bagi memulihkan semula imej parti.

''Jika kita mahu membersihkan parti, ini adalah akibatnya. Kita kena buat keputusan dan menanggung akibatnya. Semua ahli perlu menerima hakikat ini," katanya.

Menurut beliau, rakyat mahu UMNO bebas daripada sebarang gejala politik wang jika mahu keyakinan mereka kepada parti itu dipulihkan.

Sehubungan itu, katanya, terpulang kepada ahli UMNO untuk membuat keputusan sama ada untuk melakukan pembaharuan atau merosakkan parti dengan politik wang.

''Adakah kita mahu melakukan pembaharuan kepada UMNO atau merosakkan parti dengan politik wang," soalnya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url