Memey sedia jadi isteri Norman


"SAYA tak bersalah dan mangsa keadaan." Itu luahan aktres muda, Memey Suhaiza Suhaimi membuka perbualan mengenai kisah di sebalik tragedi hitam dia dan bekas suami Abby Abadi, Norman Hakim yang didakwa berkhalwat pada 30 Oktober lalu.

Akibat daripada insiden itu juga, Memey menyembunyikan diri lebih dua bulan dan kini baru berani muncul semula.

Bagaimanapun, ketika pihak lain mendakwa dia 'bersembunyi', yang pasti Memey, 21, mempunyai alasannya tersendiri.

"Semua orang kata Memey menyorok hakikatnya Memey tak menyorok. Selepas ditangkap, orang tak dapat jumpa Memey sebab Memey pergi balai pada waktu pagi dan Norman pergi sebelah petang.

"Rata-rata pihak media pergi ke balai pada waktu petang. Bahkan, seminggu selepas kejadian Memey masih ada di Kuala Lumpur sambil ditemani oleh ibu," ceritanya di awal pertemuan dengan Hits baru-baru ini.

Menceritakan detik-detik hitam pada malam tersebut terang pelakon berbintang Aries ini berkata, dia dan Norman memang ada di pejabat tersebut tetapi berlainan tingkat.

"Memey di tingkat bawah dan Norman di tingkat atas. Masa orang Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tekan loceng memang tak dengar.

"Sebab loceng tersebut telah dimatikan sehinggalah mereka mengetuk pintu dengan kuat, baru Memey terdengar.

"Tapi Memey tidak terus membuka pintu kerana bimbang akan perkara lain lalu terus Memey telefon Norman serta abangnya dan memberitahu mereka ada orang di luar. Kemudian abang Norman datang dan bukakan pintu itu," katanya menjelaskan keadaan pada malam peristiwa hitam tersebut.

Akui Memey setelah kejadian tersebut, bertubi-tubi panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima rata-rata menyalahkan dirinya.

"Saya pelik dan hairan macam mana mereka boleh dapat nombor telefon saya. Hantar SMS bukan-bukan dan marah-marah.

"Sebab itu akhirnya saya mengambil keputusan untuk merehatkan diri seketika daripada terlibat dalam industri seni," ujarnya tenang.

Bukan penyebab

Dalam pada itu jelas pelakon tinggi lampai ini, dia mengharapkan masyarakat tidak memandang serong atau menyalahkan dirinya berikutan penceraian pasangan Norman dan Abby.

"Tidak adil kalau meletakkan saya sebagai punca utama penceraian itu. Saya sendiri tak minta perkara tersebut berlaku.

"Kita tidak tahu apa yang berlaku antara mereka berdua. Tapi saya akui, insiden itu (khalwat) memberi kesan yang mendalam pada diri saya," luahan Memey memohon pengertian semua pihak.

Namun dia bersyukur kerana sehingga ke hari ini dia tidak dicemuh atau dipandang serong oleh masyarakat sekitar.

"Saya masih boleh keluar berjalan-jalan dan tak ada orang pandang sinis pada saya. Memang takut juga dengan pandangan masyarakat tapi Alhamdulillah semua itu tidak berlaku," katanya lagi.

Balasan Tuhan

Jika diimbas kronologi cerita mereka barangkali umum mengetahui bahawa sebelum penangkapan tersebut kedua-duanya merahsiakan hubungan rapat mereka.

Sehinggalah kedua-duanya ditangkap berkhalwat membuat orang ramai berkata penangkapan tersebut adalah balasan Tuhan terhadap penipuan mereka selama ini.

"Memang Memey pernah cakap tak berkawan dengan dia dan dia pun cakap benda yang sama. Itu satu kesilapan yang Memey akui.

"Tapi Memey mengharapkan semua pihak sedia maklum bahawa punya sebab Memey berbuat demikian.

"Berkawan itu hak peribadi Memey, masakan Memey harus beritahu pada semua orang. Ia juga terlalu sensitif dan Memey mahu menjaga hati semua orang," katanya menerangkan rasional dia 'tidak bercakap benar' mengenai hubungannya dengan Norman.

Dan jelas Memey, sememangnya dia selesa berkawan dengan aktor berusia 32 tahun itu kerana lelaki tersebut seorang yang matang dan suka berkongsi pelbagai ilmu bersamanya.

"Memey selesa berkawan dengan Norman kerana dia jenis yang ambil berat bukan pada saya sahaja malahan pada semua orang.

"Dia (Norman) umpama senaskhah buku kerana bersama dia pelbagai pelajaran baru yang Memey pelajari.

"Dia tak suka berbual kosong atau buang masa sebaliknya dia mengajar Memey menjadi lebih baik," ujar Memey sambil memberitahu keluarga Norman dan keluarganya sudah saling mengenali.

Terima Norman jika jodoh

Pada satu soalan lain, Memey mengakui, dia bersedia menerima Norman sebagai suami jika itu yang ditentukan Ilahi.

"Kalau sudah tertulis qada dan qadar antara kami berdua memang ada jodoh, Memey sedia menerimanya sebagai suami," akuinya jujur.

Sengaja mengusik dia sanggupkah menjadi ibu kepada anak-anak Norman, kata Memey, sekiranya dia menerima Norman pastinya anak-anaknya juga akan diterima.

Tegas Memey juga, pada ketika ini, Norman sememangnya lelaki yang paling rapat dalam hidupnya.

Mengenai desas-desus mengatakan mereka sudah berkahwin dan ada juga cerita mengatakan mereka bakal berkahwin dalam masa terdekat ini jelas Memey, perkara tersebut masih belum ada dalam diari kehidupannya untuk tahun 2009.

"Saya masih muda dan perjalanan saya masih jauh. Kini saya mahu bangkit semula dan mahu membetulkan segala-galanya.

"Saya tak mahu karier saya terhenti di sini sahaja kerana perkara tersebut. Saya mahu membersihkan nama saya semula" katanya yang tidak meletakkan sasaran umur untuk mendirikan rumah tangga.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url