Tarian Salsa menyihatkan

MENGGERAKKAN badan mengikut alunan irama salsa memang mengasyikkan. Sebaik muzik dimainkan, keseluruhan bahagian badan terutamanya pinggang, pinggul dan kaki akan meliuk indah dalam kerancakan rentak tari salsa yang mempesona.

Tarian yang memiliki gerakan bertenaga itu sebenarnya bukan sekadar tarian biasa. Lebih istimewa, Salsa juga berfungsi sebagai senaman untuk menjaga kesihatan tubuh dan menurunkan berat badan.

Hakikatnya, menari secara umumnya termasuk salsa bukan semata-mata satu hiburan. Sebaliknya jika diteliti lebih mendalam, ia juga merupakan satu cara untuk membantu mengurangkan tekanan, memperbaiki kekuatan diri dan meningkatkan tenaga dan kekuatan otot-otot badan.

Dengan menari, ia bagai menyuntik nafas baru dalam hidup. Menggerakkan badan mengikut alunan muzik dan secara tidak langsung membuatkan semangat diri yang pudar seakan kembali bersinar, kreativiti diri terluah, terdetik asmara baru ataupun menyalakan semula api cinta yang semakin menghilang.

Paling disukai, ia turut dikatakan dapat menukar kesedihan kepada keseronokan. Namun, semuanya itu tercetus kala tubuh sedang asyik menari.

Bukan itu sahaja, menari juga adalah satu senaman tubuh yang paling ideal buat wanita mahupun lelaki. Kajian turut menunjukkan aktiviti fizikal yang kerap dilakukan boleh menyihatkan badan termasuk otak.

Dengan menari, seseorang itu perlu mengingati setiap langkah tarian dan ia secara tidak langsung telah merangsang kecerdasan otak dengan memperbaiki kemahiran ingatan.

Malah, menari dikatakan mampu membakar lebih kalori dalam masa sejam berbanding menunggang basikal ataupun berenang.

Dan, mungkin juga ramai tertanya-tanya berapa banyak kalori yang boleh dibakar dengan menari salsa. Jawapannya cukup menarik. Tarian itu dikatakan berupaya membakar lebih banyak kalori dalam masa sejam berbanding tarian lain iaitu lebih 420 kalori sejam bagi mereka yang mempunyai berat badan kira-kira 68 kilogram.

Namun, faedah yang diperoleh dengan menari salsa seperti juga senaman tetap bergantung kepada kekerapan anda melakukannya, berapa banyak tenaga yang dikeluarkan, jangka masa dan tahap kemahiran seseorang itu di kala menari.

Menurut Sally Oh yang merupakan penari utama Outcast Dance Studio, tarian salsa sememangnya mempunyai banyak kebaikan yang terselindung di sebaliknya. Selain mendapat keseronokan menari, seseorang itu turut melakukan satu senaman yang menyihatkan tubuh.

Kata beliau, uniknya dengan salsa, seseorang itu umpama melakukan senaman aerobik. Manakan tidak, inilah satu tarian yang membuatkan penari perlu menggerakkan hampir keseluruhan tubuh iaitu bahu, pinggul, kaki, kepala, lengan dan termasuk jari-jemari.

Secara umumnya, menari salsa memberikan kebaikan, antaranya dari segi membina daya ketahanan dan stamina diri, membantu mengurangkan berat badan, menghilangkan tekanan serta membantu mengeluarkan toksin melalui peluh.

''Apabila kita menari salsa, semua anggota tubuh akan bergerak. Dan, jika berterusan menari, badan akan berpeluh dan membuatkan tubuh jadi lebih sihat dan kental terutamanya bahagian kaki.

''Keadaan itu menyebabkan ramai wanita gemar menari salsa. Lebih menarik, ia juga membantu wanita yang ingin memiliki potongan badan yang menarik," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Salsa Cruise Asia 2009 di One Utama Bandar Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.

Jelas Sally, sebelum mengenali salsa lebih mendalam, mungkin ramai yang memikirkan ia agak sukar untuk ditarikan sehingga mengakibatkan tekanan. Hakikatnya, mempelajari gerakan salsa tidak sesukar mana, malah menyeronokkan.

''Memang pada permulaan agak sukar menghafal langkah gerakan, apatah lagi mereka yang langsung tidak pernah menari salsa. Tetapi, sebaik seseorang itu sudah berjaya mengikut alunan gerakan salsa, mereka akan menari secara semula jadi. Dan, timbul pula rasa seronok.

''Istimewanya, sesiapa sahaja boleh menari salsa, daripada kanak-kanak berusia 9 tahun hingga warga emas berumur 60 tahun.

''Sebabnya, salsa mempunyai pelbagai gaya tarian yang bersesuaian untuk mereka. Umpamanya, warga emas boleh memilih tarian salsa yang lebih relaks seperti gaya Columbia," ujarnya yang sudah lebih 10 tahun menari Salsa.

Sally yang bergandingan dengan pasangannya juga Pengarah/penari utama Outcast Dance Studio, Gavin Chan selalu membuat persembahan di luar negara antaranya Jepun, Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong, Singapura dan tidak ketinggalan Malaysia.

Malah bersama Gavin, pasangan itu telah memenangi tempat ketiga dalam Pertandingan Salsa Terbuka Asia 2008 yang berlangsung di Hong Kong pada Februari tahun lalu.

Sementara itu menurut Gavin, seronoknya mengenai salsa, seseorang itu boleh menggunakan kreativitinya untuk menghasilkan satu tarian yang cantik termasuk mengabungkan beberapa gerakan langkah daripada beberapa tarian lain.

Tambah Gavin, salsa mengajar seseorang itu lebih berkeyakinan apabila berhadapan dengan orang lain malah bersama salsa, seseorang itu berpeluang bertemu dengan ramai kenalan tanpa mengira usia dan bangsa.

Gavin yang bermula sebagai penari jazz itu mula mempelajari salsa semasa menjelajah seluruh dunia untuk mendalami bidang tarian. Akhirnya, salsa sebati dengan diri Gavin dan menjadi tarian kegemarannya sehingga cukup dikenali sebagai penari salsa bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia.

Asal Salsa

Bercerita tentang salsa, mungkin tidak ramai yang mengetahui asalnya tarian ini. Salsa dikatakan berasal dari Cuba, Puerto Rico dan Amerika Utara. Tarian itu asalnya tercipta melalui campuran gaya tarian Mambo, Danzon, Cuban Son dan beberapa tarian tipikal Cuba.

Ia ditarikan mengikut irama salsa. Bagaimanapun, wujud pengaruh kuat Afrika tidak kira pada muzik dan juga tarian salsa.

Nama salsa itu merupakan perkataan Sepanyol yang membawa maksud sos berperisa pedas. Dalam konteks tarian, sos itu adalah perisa atau gaya.

Salsa sebenarnya adalah tarian berpasangan. Namun, ia turut ditarikan secara berkumpulan atau solo. Populariti tarian ini mula merebak menembusi negara lain pada awal 70-an apabila mula berkembang di New York.

Di Malaysia, tarian itu dikatakan mula diperkenalkan antara tahun 1989 dan 1991. Segalanya bermula di disko Tin Mine yang bertempat di Hotel KL Hilton. Kala itu, Tin Mine memulakan langkah dengan mengadakan kelas gaya bebas dan kemudian menganjurkan parti salsa setiap bulan.

Sejak itu, banyak pihak mula menganjurkan majlis-majlis kutipan derma di beberapa buah hotel dan memberi peluang kepada pelajar-pelajar tersebut menunjukkan kemahiran tarian salsa masing-masing untuk amal.

Salsa terus berkembang dengan pantas di Kuala Lumpur. Bukan hanya kelab-kelab berinspirasikan salsa ditubuh, tetapi tarian itu turut mendorong beberapa individu termasuk penari profesional membuka kelas salsa untuk warga Malaysia.

Kini, tarian itu bukan lagi sesuatu yang asing di negara ini. Salsa bukan hanya untuk mereka yang meminati tarian, tetapi buat sesiapa sahaja yang ingin mententeramkan jiwa dan berseronok.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url