Nutrien antioksida untuk kesihatan

Berhadapan dengan pelbagai ancaman kesan kerosakan radikal bebas sama ada akibat pencemaran alam sekitar, asap rokok, minuman beralkohol, sinaran ultra lembayung (UV), tekanan fizikal dan mental serta pengambilan makanan berlemak tinggi, secara tidak langsung menyebabkan kita terdedah kepada radikal bebas yang berlebihan. Antioksida adalah bahan penyahtoksik semula jadi yang paling penting kerana ia adalah nutrien antiradikal bebas yang melawan kerosakan dan memulih kesan kerosakan. Pengambilan nutrien antioksida yang tinggi penting untuk melindungi tubuh daripada aktiviti toksin serta menyingkirkannya.

Nutrien antiradikal bebas

Beta karotena
Beta karotena juga dikenali sebagai ‘pro-vitamin A’ kerana karotena beta haruslah ditukarkan kepada vitamin A oleh badan sebelum digunakan. Ia berperanan penting dalam mengekalkan membran mukus, membina tulang dan gigi yang kuat juga membantu dalam tumbesaran dan membaiki tisu badan. Selain itu, ia amat penting dalam fungsi mengekalkan kulit yang licin, lembut dan bebas daripada penyakit.

Vitamin C
Vitamin C adalah vitamin yang paling dikenali antara semua vitamin. Selain memberi banyak manfaat kepada kesihatan badan, vitamin C juga penting untuk membolehkan kita terus hidup. Vitamin C adalah nutrien antiradikal bebas utama yang boleh melawan kerosakan radikal bebas dan memainkan fungsi yang optimum dalam sistem imun dan membantu badan melawan jangkitan. Ia banyak digunakan atau diperlukan ketika mendapat serangan jangkitan untuk mengelak pertumbuhan virus dan bakteria.

Vitamin E
Vitamin E adalah nutrien antiradikal bebas yang penting. Secara umumnya, ia dapat mencegah kerosakan lemak yang disebabkan oleh radikal bebas. Ini penting dalam melindungi tisu lemak yang mengelilingi semua organ penting. Selain itu, ia juga berperanan penting dalam mengekalkan sistem imun yang sihat, jantung, dinding kapilari, kulit dan mengurangkan keterukan keradangan.

Selenium organik
Selenium diperlukan untuk pembentukan enzim glutation peroxidase. Enzim ini memainkan peranan penting dalam pertahanan terhadap radikal bebas seperti hidrogen peroksida dan lipid peroksida. Selenium juga memelihara fungsi hati yang optimum, merangsang sistem imun tubuh dan mengekalkan kesihatan mata, kulit, rambut dan jantung. Selenium juga komponen semen dan berperanan dalam kesuburan.

Zink
Zink juga dikenali sebagai nutrien mikro kerana ia hanya diperlukan dalam jumlah yang kecil untuk mengekalkan kesihatan. Ia dianggap sebagai antara nutrien utama untuk sistem imun, kesihatan kulit dan penyembuhan luka. Mineral zink juga penting dalam penghasilan sperma lelaki, ovum perempuan, kesihatan tulang, pembentukan insulin dan sangat penting dalam rawatan dan pencegahan kemerosotan makula mata.

Nutrien antiradikal bebas seperti beta karotena, (pro vitamin A), vitamin C, E, selenium organik dan zink adalah perangsang imun yang baik. Ia berupaya melawan bendasing, mengurangkan risiko jangkitan dan penyakit.

Sistem pertahanan semula jadi tubuh boleh merosot seiring dengan peningkatan usia. Dengan itu, cara terbaik untuk memperolehi nutrien ini adalah melalui pengambilan pelbagai jenis makanan seperti buah-buahan dan sayuran, bijirin penuh, jumlah protein yang mencukupi daripada makanan laut dan daging tanpa lemak.

Amalan permakanan yang baik dan pengambilan pelbagai jenis suplemen antioksida akan melindungi tubuh daripada serangan radikal bebas dan toksik persekitaran. Bagaimanapun, disebabkan pengambilan banyak makanan proses, pemakanan yang tidak terkawal dan amalan hidup yang tidak sihat, pengambilan suplemen adalah dicadangkan. Pertimbangkan suplemen yang mengandungi formula kombinasi nutrien antioksida, di mana ia dapat membekalkan perlindungan yang lebih baik dan lebih efektif berbanding dengan pengambilan nutrien antioksida secara berasingan.

www.biolife.com.my
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url