Pakatan Rakyat lebih demokratik, kata Anwar (PRK K.Terengganu)

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemuafakatan Pakatan Rakyat adalah lebih demokratik dan matang berbanding Barisan Nasional.

"Ini (Pakatan Rakyat) bukan Barisan Nasional di mana pimpinan Umno boleh memerintah (dictates) kemudian pimpinan MCA, Gerakan dan MIC semuanya menurut tanpa bantahan," kata Anwar disertai sorakan hebat para hadirin.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Bilik Gerakan Utama KeADILan di Gong Kapas, dekat sini.

Beliau menjelaskan parti-parti dalam Pakatan Rakyat tidak akan bergabung dengan satu muafakat yang akan mengikat kebebasan parti-parti tersebut menyuarakan perbezaan antara satu sama lain.

"Premis dia kena 'clear' (jelas), kita menerima proses demokrasi, orang nak bercakap, bercakaplah, mengapa dalam kita bicarakan soal demokrasi kita kurang sabar bila kita mendengar satu pandangan yang kurang enak kita dengar.

"Saya tidak terlalu sensitif apabila ada pandangan-pandangan dan kenyataan antara Kedilan, PAS dan DAP yang tidak disepakati dengan jelas, kita harus beri ruang.

"Muafakat kita (Pakatan Rakyat) ini lebih demokratik lebih matang, itu prinsip kita, kita tidak mahu ada sesuatu yang terikat,"ujarnya.

Oleh yang demikian katanya, pendirian PAS tentang Islam adalah jelas dan ianya bukanlah satu perkara yang baru.

Menurutnya, penjelasan telah dibuat berulangkali oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa beberapa peruntukan dalam undang-undang Islam yang dipanggil 'Hudud' itu hanya diterima pakai kepada umat Islam sahaja.

"Secara umum Pakatan Rakyat mahu dengan jelas kedudukan Islam sebagai agama persekutuan itu dipandang secara serius dan bukan sebagai upacara rasmi sahaja," tegasnya.

Anwar juga berkata, pelancaran Bilik Gerakan Utama Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) bukan sekadar simbol kehadiran ahli-ahli dan penyokong PKR, namun merupakan komitmen kerja parti tersebut.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh lalu, permuafakatan Pakatan Rakyat cukup padu selain jentera PKR dan para petugas PAS seluruh negara berhempas pulas membantu memenangkannya.

"Jentera PAS seluruh Malaysia dikerahkan dan bekerja berhempas pulas seolah-olah calon itu calon PAS.

"Kita (PKR) juga diminta bekerja (pilihan raya kecil Kuala Terengganu) seolah-olah calon (PAS) itu adalah calon Kedilan, tidak ada perbezaan dari segi simbol,"ujarnya.

Beliau mendakwa tugas pihak media yang dikuasai oleh Barisan Nasional adalah untuk memecah belahkan perpaduan Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, walaupun pengundi Cina tidak ramai di Kuala Terengganu namun kehadiran pemimpin-pemimpin bukan Melayu dari PKR dan pemimpin utama DAP menunjukkan muafakat Pakatan Rakyat adalah jelas.

”Secara umum Pakatan Rakyat mahu dengan jelas kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan itu dipandang secara serius bukan sebagai upacara rasmi, memberi ruang kepada umat Islam menghayati dengan mengangkat kedudukan Islam khususnya bagi umat Islam bukan setakat kahwin, secara dan beberapa aspek hukum,” tambahnya.

- Siasah Daily
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url