Projek Bukan Bertujuan Raih Undi, Kata Najib (PRK K.Terengganu)

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan dakwaan pembangkang kononnya peruntukan yang disalur bagi melaksanakan pelbagai projek di sini bertujuan untuk memancing undi bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata pelaksanaan projek-projek itu sebenarnya sudah termasuk dalam pelan pakej rangsangan fiskal yang diumumkannya, sebelum Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail yang juga anggota parlimen Kuala Terengganu, meninggal dunia pada 28 Nov lepas.

"Tidak, ia tidak rasuah. Sebab apa yang dibuat sehari dua ini (di sini), adalah sebahagian daripada projek pakej rangsangan fiskal yang saya umumkan di Dewan Rakyat pada 4 Nov lepas.

"Jadi bagaimana ini boleh dikatakan ada kaitan dengan pilihan raya kecil di sini," katanya ketika diminta mengulas dakwaan beberapa pemimpin pembangkang dalam ceramah mereka di sini, bahawa projek-projek yang dilaksanakan kerajaan di sini, sebagai rasuah politik.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan mesra bersama imam, bilal dan anggota jawatankuasa masjid dan surau daerah Kuala Terengganu serta penyerahan cek bantuan kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di sini, Sabtu.

Turut hadir, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek, calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Mengulas lanjut, Najib berkata projek yang dilaksanakan di bawah pakej rangsangan fiskal itu, sebenarnya meliputi bantuan bukan sahaja kepada daerah Kuala Terengganu atau Terengganu malah untuk seluruh negara.

"Jadi, itu bukanlah pembelian undi tetapi cuma pelaksanaan yang sudah ditentukan untuk dilaksanakan Januari ini... sebelum Allahyarham Datuk Razali meninggal dunia lagi.

"Jadi saya nak nyatakan kedua-dua program ini, iaitu pagi tadi saya lancar pengundian Projek Kecil Projek Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) daerah Kuala Terengganu Tahun 2009 serta bantuan kepada sekolah agama bantuan kerajaan merupakan sebahagian daripada projek rancangan fiskal," katanya.

- Bernama
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url