Peluang ekonomi Malaysia meleset lebih 50%

Peluang Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi pada setengah pertama tahun ini adalah lebih 50 peratus, kata Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Datuk Dr. Mohamed Ariff.

Beliau berkata, kemelesetan teknikal diramalkan berlaku pada suku pertama dan kedua tahun ini sebelum kembali pulih pada suku ketiga dan seterusnya.

''Berdasarkan kepada semua petunjuk, aliran menurun kini bermakna negara terdedah kepada risiko lebih 50 peratus untuk jatuh kepada kemelesetan ekonomi pada suku pertama dan suku kedua tahun ini.

''Tetapi semua ini akan bergantung sepenuhnya bagaimana pakej rangsangan ekonomi yang dilancarkan oleh kerajaan memberi manfaat kepada sistem, tetapi secara keseluruhannya pertumbuhan ekonomi negara adalah positif tahun ini,''

Bagi keseluruhan tahun ini, institut itu menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara kepada 1.3 peratus berbanding unjuran awal pada pada 3.4 peratus.

Angka MIER itu agak realistik berbanding ramalan daripada Citi Investment Research di bawah kumpulan perbankan terkenal, Citibank baru-baru ini yang turut menyemak statistik tersebut kepada 0.5 peratus berbanding yang diramalkan sebelum ini pada 3.1 peratus.

Namun sehingga kini, kerajaan tetap berkeyakinan untuk mengekalkan sasaran awalnya terhadap pertumbuhan ekonomi negara pada 3.5 peratus tahun ini.

Bagi tahun 2010, MIER masih mengekalkan unjuran KDNK sebanyak 3.8 peratus kerana sukar baginya untuk membuat sebarang ramalan dalam tempoh satu tahun akan datang.

Mengulas lanjut mengenai pakej rangsangan ekonomi kedua yang bakal dilancarkan oleh kerajaan tidak lama lagi, Mohamed Ariff berkata, peruntukan antara RM7 bilion hingga RM10 bilion adalah jumlah yang berpatutan bagi mengelakkan negara daripada terjerumus untuk mencatat pertumbuhan negatif pada tahun ini.

Namun apa yang dibimbangkan kini ialah sama ada usaha kerajaan yang berbelanja berbilion ringgit dalam pakej rangsangan tersebut mampu menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat, katanya.

Sedangkan dalam keadaan ekonomi negara yang baik sebelum ini pun, usaha untuk menawarkan banyak peluang pekerjaan adalah kurang dan situasi ini dijangka lebih buruk lagi dalam keadaan ekonomi yang sukar ini, jelas beliau.

''Setiap satu peratus pertumbuhan ekonomi jatuh maka ini bermakna jumlah orang yang kehilangan pekerjaan adalah tinggi dan ini dapat dilihat kepada keadaan yang berlaku di China yang mana setiap satu peratus pertumbuhan ekonominya jatuh maka empat juta orang akan kehilangan pekerjaan,'' terangnya.

Mohamed Ariff menegaskan bahawa, selain menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan dan dalam masa yang sama mengekalkan pekerjaan sedia ada kerana melaluinya pengguna boleh berbelanja dan membayar hutang masing-masing.

''Jika tidak, ia akan menjadi hutang tidak berbayar dan sekali gus akan menimbulkan masalah kepada institusi kewangan,'' jelasnya.

Tambah beliau, MIER mengunjurkan kadar pengangguran pada 2009 adalah 4.5 peratus dan ini merupakan angka yang agak tinggi berbanding krisis kewangan Jika berdasarkan 11 juta pekerja di negara ini, jumlah orang yang tidak bekerja adalah hampir setengah juta dan ini belum dikira dengan jumlah pekerja yang diberhentikan majikan.

Berbanding krisis kewangan sebelum ini, kadar pengangguran adalah sekitar 2 hingga 2.5 peratus.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url