Temuramah Utusan dengan Najib (PRK Kuala Terengganu)

UTUSAN: Bagaimana Datuk Seri melihat rasional kempen antara BN dan Pas dalam pilihan raya kecil di Kuala Terengganu kali ini?

NAJIB: Sebagai parti pemerintah kita melihat pada tanggungjawab yang melangkau satu tempoh masa yang lama iaitu dari perspektif jangka masa panjang sehinggalah ke generasi akan datang. Ini adalah pertimbangan yang kita gunakan dalam apa-apa jua perhitungan yang kita buat terutama sekali yang melibatkan dasar-dasar negara.

Sebaliknya, pembangkang pula hanya bersifat semasa dan mendokong atau menekankan dasar-dasar yang lebih populis dan tidak mengambil kira apa kesannya dalam jangka masa panjang.

Kita juga mempunyai dasar dan program yang akan membawa perubahan besar kepada Kuala Terengganu dan negeri Terengganu secara keseluruhannya. Sebab itu kita memerlukan mandat daripada rakyat.

Kita tengok banyak pembangunan sama ada bersifat infrastruktur yang besar seperti lapangan terbang dan lebuh raya atau dalam bentuk modal insan seperti Universiti Darul Iman, juga usaha-usaha dalam bidang pendidikan termasuk j-QAF untuk melahirkan generasi al-Quran misalnya, ini telah kita laksanakan dan akan terus diperhebatkan.

Melihat kepada perjalanan kempen itu sehingga kini, apa yang boleh Datuk Seri simpulkan dari sudut persaingan antara BN dan Pas?

Tidak dapat dinafikan kita menghadapi saingan yang sengit walaupun Kuala Terengganu adalah kawasan Parlimen yang kita menangi pada Pilihan Raya Umum 2008. Tapi kemenangan kita dengan majoriti yang nipis iaitu sebanyak 628 undi sahaja. Ini menunjukkan kekuatan antara BN dan Pas boleh dikatakan hampir seimbang.

Bertitik tolak dari situ maka kita mesti bersikap realistik bahawa setiap undi adalah penting untuk mencapai kemenangan yang kita harapkan.

Jentera kita juga mesti bekerja dengan penuh semangat sehingga ke saat-saat akhir untuk memastikan setiap penyokong BN akan keluar mengundi pada hari pengundian nanti.

Kalau kita tidak bersikap serius atau fokus, amat sukar bagi kita untuk memperoleh kejayaan (jika) melihat kepada senario yang saya sebutkan tadi. Dalam pada itu, jika kita lihat sejarah di Kuala Terengganu, BN lebih banyak menang berbanding kalah walaupun saingannya sengit. Itu salah satu daripada perspektif sejarah yang harus kita ambil kira. Maknanya kerusi ini winnable (boleh dimenangi) oleh BN dan bukan kerusi yang kita anggap bukan milik kita.

Adakah wujud perbezaan mentaliti di kalangan penyokong di Kuala Terengganu jika dibandingkan dengan pilihan raya kecil di Permatang Pauh?

Perbezaan itu jauh dan kita tidak boleh bandingkan kerana terdapat banyak perbezaannya. Pulau Pinang sendiri di bawah kerajaan pembangkang dan kerusi Permatang Pauh itu juga adalah kerusi pembangkang.

Anwar Ibrahim (Datuk Seri) juga ketika itu bertanding sebagai anak tempatan yang telah lama berkhidmat di kawasan tersebut. Di samping itu beliau juga menguar-uarkan tagline 'Dari Permatang Pauh ke Putrajaya' sebagai kempen kerana pada ketika itu tarikh 16 September belum tiba. Jadi ramai pengundi terpengaruh dengan kata-kata seperti itu selain faktor-faktor lain.

Masalah keretakan dalam UMNO ketika itu sendiri menjadi rahsia terbuka dalam konteks pilihan raya kecil di Permatang Pauh selain ada pertandingan bahagian di sana. Tetapi dalam konteks pilihan raya di Kuala Terengganu, kita berada di negeri yang ditadbir oleh BN, dan kerusi itu pun adalah kerusi kita. Calon kita juga merupakan Ketua Bahagian dan juga seorang Timbalan Menteri.

Jika melihat daripada pungutan suara (rating), BN dikatakan ketinggalan berbanding Pas. Apa pandangan Datuk Seri?

Pungutan suara (rating) itu terpulang kepada siapa yang membuatnya sebab terdapat pelbagai pungutan suara yang dikeluarkan. Bila kita ikut rating ini juga bahaya, kerana rating itu bukan yang sebenar-benarnya kerana ada pelbagai rating.

Jadi pada saya kerusi Kuala Terengganu ini masih terbuka. Maknanya kita boleh menang dan kita boleh kalah kerana kerusi ini boleh dimenangi dengan syarat semua pihak yang memberi komitmen untuk menyokong kita, akan berbuat demikian.

Antara isu yang dimainkan pembangkang ialah kemiskinan di kalangan orang Melayu, sedangkan negeri Terengganu adalah negeri kaya. Sejauh mana sentimen seperti ini memberi kesan kepada BN?

Kita mesti melihat rekod prestasi, kerana jika kita bandingkan dengan tempoh Pas memerintah Terengganu pada 1999-2004, kita lihat Pas gagal memenuhi harapan rakyat walaupun mereka janji begitu tinggi.

Antaranya menghapuskan cukai tanah yang sebenarnya tidak pun dilaksanakan. Pas berjanji untuk melaksanakan hukum hudud kalau menang pilihan raya, tetapi juga tidak dilaksanakan. Begitu juga dengan janji untuk membina masjid, tetapi akhirnya hanya mampu buat sebuah masjid tapi kerangkanya sahaja. Pas juga tutup tabika untuk Kemas.

Jadi perbuatan Pas selama ini menunjukkan bahawa rakyat Terengganu telah melalui masa yang begitu kelam di bawah pemerintahan Pas dan menjadi lebih cerah bila BN memerintah pada tahun 2004.

Perkara-perkara yang ingin kita lakukan seperti menghapuskan kemiskinan memerlukan tempoh. Kemiskinan ini bukan hanya soal pendapatan sahaja, tapi juga pada minda, budaya, masalah pendidikan dan sebagainya. Maka ia mesti bersifat jangka masa panjang. Mana-mana negara sekalipun tidak boleh menghapuskan kemiskinan hanya dalam satu malam, hatta di Amerika Syarikat sekali pun ada orang yang miskin.

Justeru apa yang seharusnya ditekankan oleh rakyat untuk tidak terperangkap dengan isu-isu yang dimainkan oleh pembangkang?

Sebab itu dalam tempoh kempen ini, saya banyak terlibat dalam pelancaran projek dan program yang bersifat mesra rakyat. Kemuncaknya ialah esok (hari ini) apabila saya akan melancarkan projek perumahan rakyat yang berjumlah 1,200 unit.

Ini merupakan satu projek yang amat besar bagi penduduk Kuala Terengganu kerana ia boleh menyelesaikan tunggakan masalah perumahan dan memberikan keselesaan hidup kepada mereka.

Dalam bidang pembangunan modal insan misalnya, saya juga telah melancarkan penubuhan Fakulti Sains Perubatan dan Kesihatan di Universiti Darul Iman. Walaupun universiti ini baru berusia tiga tahun tetapi sudah ada fakulti tersebut.

Kemudian masalah pemindahan nelayan yang saya lancarkan di Chendering yang merupakan satu lagi contoh projek yang sangat mesra rakyat. Begitu juga projek kontraktor apabila seramai 583 kontraktor mendapat kerja kontrak baru-baru ini di kawasan Kuala Terengganu.

Banyak perkara yang dilancarkan dalam tempoh ini menunjukkan bahawa kita berazam untuk mengamalkan dasar dan pendekatan mesra rakyat dalam semua aspek yang kita lakukan.

Bagaimana Datuk Seri melihat isu royalti yang didakwa tidak dijelaskan sepenuhnya oleh kerajaan dan tidak sampai kepada rakyat?

Kita mengambil pendirian yang tegas dengan mengembalikan royalti minyak atau wang ihsan ke pangkuan rakyat Terengganu menerusi cek bernilai RM408 juta yang saya serahkan iaitu baki bagi tahun 2007/2008.

Selepas ini tidak seharusnya timbul lagi apa-apa pertikaian atau polemik tentang wang royalti kerana ia akan diurus tadbir sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Saya percaya apabila duit royalti dikembalikan kepada kerajaan Terengganu, prestasi pembangunan akan lebih rancak lagi. Ini sedikit sebanyak rakyat Kuala Terengganu boleh memberi mesej dan isyarat bahawa mereka memilih BN kerana mereka yakin BN boleh membuat perubahan yang besar kepada negeri dan rakyat.

Bagaimana pula dengan dakwaan pembangkang yang mengatakan masyarakat Cina mengundi Pas kerana didiskriminasi oleh BN?

Kalau melihat dari diskriminasi, apa yang dilakukan oleh Pas kepada orang Cina di Kuala Terengganu sebenarnya lebih teruk. Sebagai contoh, apa yang berlaku kepada sebuah tokong bersejarah berusia 113 tahun di tengah-tengah bandar Kuala Terengganu yang begitu penting dan memberi makna kepada orang Cina.

Sewaktu Pas memerintah, mereka mengeluarkan notis untuk mengambil tokong itu tetapi terpaksa dibatalkan selepas masyarakat Cina membantah.

BN tidak pernah berbuat seperti ini. Dalam sejarah masyarakat Cina di Kuala Terengganu juga, mereka tidak pernah diberi kerusi Bandar Kuala Terengganu itu dan dilantik sebagai exco. Pas tidak pernah dalam konteks di Terengganu memberi kerusi kepada bukan Melayu. Begitu juga dengan pemberian royalti minyak yang mana orang Melayu pun dapat dan orang Cina pun dapat. Jadi siapa yang bersikap diskriminasi?

Pengundi generasi muda dikatakan lebih cenderung ke arah pembangkang. Apakah keadaan ini memberikan kesan kepada BN dalam pilihan raya kecil ini?

Dalam konteks di Terengganu, ada peti undi di saluran-saluran yang kita kalah, dan ada saluran-saluran yang kita menang. Jadi maknanya kita tidak boleh stereotaip dengan mengatakan pengundi muda menentang kita, pengundi tua menyokong kita. Corak pengundian di Kuala Terengganu tidak begitu.

BN juga menyediakan banyak program untuk pengundi muda. Kalau kita lihat dari segi kepentingan pengundi muda, tentunya mereka mahukan pertumbuhan ekonomi yang lebih rancak, supaya mereka juga mendapat pekerjaan. Apabila perniagaan berjalan dengan lancar dan semua kegiatan ekonomi begitu baik, ia tentu sekali menguntungkan pengundi-pengundi muda.

Kita juga banyak mengadakan aktiviti yang melibatkan golongan pengundi muda semasa kempen seperti larian, aktiviti bermotosikal dan kejohanan bola sepak dengan kehadiran beribu-ribu golongan muda.

Jika berdasarkan keputusan 2008, tidak semestinya pengundi muda menentang kerajaan kerana ada di sesetengah kawasan pengundi muda lebih menyokong kerajaan berbanding pengundi lama. Jadi kita harap keadaan ini akan muncul semula kali ini.

Benarkah ceramah-ceramah BN gagal menarik minat rakyat Kuala Terengganu?

Dalam majlis yang saya hadiri di Cabang Tiga, Kuala Terengganu dua malam lalu yang diadakan oleh BN menerusi Datuk Seri Idris Jusoh, kira-kira 5,000 orang hadir termasuk 18 bekas ahli Pas yang menyertai UMNO.

Mereka diberi peluang berucap untuk menerangkan pengalaman sepanjang di dalam Pas dan mengapa mereka tinggalkan Pas. Jadi bukan bererti BN tidak boleh menarik orang ramai, kita boleh.

Malam tadi saya juga difahamkan ramai yang hadir dalam satu lagi ceramah di Kuala Terengganu. Jadi tidak semestinya pembangkang saja yang dapat menarik ramai pengundi dalam ceramah mereka. Tetapi lazimnya, memanglah kalau kita berucap sesuatu yang menghentam kerajaan, itu lebih sedap didengar.

Dari segi menerangkan dasar oleh kerajaan, kita sudah biasa bercakap mengenainya menerusi media cetak dan elektronik. Pembangkang tidak mempunyai peluang itu, maka mereka menggunakan kesempatan ketika berceramah.

Datuk Seri berpuas hati dengan jentera kempen BN setakat ini atau masih kedengaran suara-suara tidak berpuas hati?

Ada sedikit desas-desus pada peringkat awal, tetapi hampir semuanya sudah dapat kita selesaikan.

Pembangkang turut menggunakan isu kemenangan mereka di Kuala Terengganu penting bagi menambah ahli mereka di Dewan Rakyat. Bagaimana Datuk Seri melihat kewajaran ini?

Saya tidak nampak itu sepatutnya menjadi satu pertimbangan kepada pengundi di Kuala Terengganu. Soal pokoknya dalam pilihan raya kecil ini, ia bukan bertujuan menubuhkan kerajaan.

Pengundi mesti pilih siapa wakil rakyat yang boleh membantu mereka. Pada saya, itu sahaja. Kalau saya sebagai seorang pengundi yang rasional, itu yang menjadi asas pertimbangan yang akan saya gunakan.

Berbeza dengan pilihan raya umum, saya akan lihat parti mana yang saya mahukan untuk memerintah negara. Tetapi kalau pilihan raya kecil seperti di Kuala Terengganu ini, saya mahu melihat wakil rakyat mana yang boleh memberi khidmat terbaik untuk saya.

Bagaimana pula dengan dakwaan bahawa penduduk Kuala Terengganu tidak perlu bimbang mengundi Pas kerana BN tetap akan memerintah negara?

Itu adalah mainan psikologi pembangkang, tetapi soalnya kita jangan rasa tertipu dengan permainan politik dan kata-kata seperti ini. Bagi calon Pas ini, beliau sudah pun menjadi wakil rakyat di kawasan Wakaf Mempelam. Maka jika beliau dapat menjadi Ahli Parlimen, itu adalah tambahan bonus bagi beliau dari segi kemudahan dan elaun sebagai Ahli Parlimen.

Tapi soalnya kepentingan pengundi di kawasan Kuala Terengganu. Jika calon BN jadi Ahli Parlimen kemudahan sebagai Ahli Parlimen itu jauh lebih banyak daripada pembangkang.

Pembangkang dilihat menggunakan isu yang remeh-temeh termasuk soal personaliti calon. Apa reaksi Datuk Seri?

Saya bersetuju kempen yang banyak memberi tumpuan kepada personaliti calon oleh pembangkang ini melibatkan perkara yang remeh-temeh. Sepatutnya bukan personaliti calon itu yang menjadi isu tetapi khidmat yang boleh diberikan oleh calon tersebut.

Walaupun calon itu ramah orangnya, tetapi kalau tidak didokong oleh kerajaan, kemampuan dari segi penyelesaian masalah rakyat misalnya juga amat terbatas. Jadi tentu sekali rakyat Kuala Terengganu mahukan wakil rakyat mereka yang boleh menyelesaikan masalah rakyat. Lagipun wakil rakyat kita juga seorang yang berkelulusan dalam pentadbiran perniagaan.

Saya percaya beliau dapat menyesuaikan diri dengan kehendak rakyat. Maka, pengundi tidak seharusnya terpengaruh dengan serangan peribadi seperti ini kerana pembangkang sudah tidak ada modal untuk melawan dari segi dasar, jadi mereka berbalik kepada soal personaliti calon.

Walhal yang patut kita utamakan ialah kemampuan berkhidmat kepada rakyat. Secara keseluruhan juga saya tidak melihat adanya isu-isu baru sebaliknya mengulangi isu-isu lama.

Adakah jentera kempen dari rumah ke rumah BN banyak membantu?

Kita ada kelebihan dari segi jentera kempen rumah ke rumah dan kita sudah mengerahkan sepenuhnya sehingga mereka juga berjaya melawat banyak rumah. Saya menganggap jentera dari rumah ke rumah ini juga sangat penting dalam kempen yang diusahakan oleh BN.

Bagaimana dengan kemungkinan provokasi pembangkang di saat akhir, seperti pengundi hantu dan penahanan bas yang sering berlaku?

Setakat ini suasana di Kuala Terengganu adalah di luar daripada jangkaan kita sama sekali. Keadaan sangat tenang dan aman. Kita dapat lihat banyak bendera dan sepanduk di Kuala Terengganu, tetapi selain daripada itu kita tidak rasa langsung. Jadi saya harap keadaan ini akan berterusan sehingga ke hari pembuangan undi walaupun sejarah dalam pilihan raya di Terengganu ini biasanya berlaku pelbagai insiden.

Kehadiran polis juga luar biasa, walaupun ia menjadi isu kepada parti pembangkang tetapi hakikatnya polis tidak mengganggu ceramah yang dibuat oleh pembangkang selagi mereka tidak melanggar undang-undang. Kehadiran polis ini juga menjadikan keadaan lebih tenang.

Sejauh mana keputusan Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu ini akan memberi kesan kepada BN secara keseluruhannya?

Kalau dari sudut BN kita harap ini sebagai satu titik permulaan ke arah kebangkitan semula UMNO dan BN. Tapi kita juga mesti meletakkan pilihan raya kali ini dalam perspektifnya iaitu pilihan raya kecil yang lebih banyak bergantung kepada faktor tempatan. Kadang-kadang faktor tempatan itu lebih besar daripada faktor nasional.

Jadi kalau kita gunakan ini sebagai kayu ukur dalam konteks politik nasional, maka saya rasa tidak berapa tepat sebab kita mendengar macam- macam isu dalam konteks tempatan. Sebab itu saya katakan dari awal, ini bukan penilaian terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau referendum bagi saya. Saya tidak menganggapnya begitu.

Pilihan raya Kuala Terengganu ini lebih bersifat pilihan raya kecil dan kebiasaannya sentimen tempatan itu lebih mempengaruhi keputusan pilihan raya. Bagaimanapun, apabila kita sudah mendapat keputusan pilihan raya nanti, kita akan membuat analisis mengenainya.

Apa yang perlu dipertimbangkan oleh pengundi di Kuala Terengganu sebelum mereka membuat keputusan membuang undi esok?

Pengundi mesti membuat pertimbangan yang rasional berdasarkan kepada rekod prestasi. Mereka sudah melalui kedua-dua pemerintahan di bawah BN dan Pas, tentu sekali mereka boleh membuat perhitungan parti mana yang lebih baik. Pengundi juga harus bertanya pada diri mereka bahawa ini merupakan pilihan raya kecil untuk mereka memilih wakil mereka. Jadi, wakil parti mana yang lebih baik untuk kawasan mereka di Kuala Terengganu ini.

Akhir sekali apa harapan Datuk Seri terhadap pilihan raya kecil ini?

Kita mesti bersikap realistik, maka tentu sekali kita mesti menerima hakikat bahawa pilihan raya ini adalah persaingan yang sengit dan hebat. Tetapi berdasarkan sejarah pilihan raya, BN telah memenangi kerusi ini lebih banyak berbanding kalah.

Keduanya, kerusi ini adalah kerusi yang kita pertahankan yang mana kita adalah juara bertahan. Maknanya harapan (expectation) bagi kita ialah kita boleh berjaya. Tetapi jentera kita harus faham bahawa kejayaan itu mestilah diasaskan kepada usaha kita yang gigih dan keberkesanan mesej kita kepada pengundi.

Sejauh mana mesej kita dan calon kita diterima oleh pengundi, inilah yang akan menentukannya.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url