Pengguna Islam digesa bijak gunakan hak

Media memainkan peranan penting dalam melahirkan usahawan Muslim yang berjaya terutama dengan memberi didikan tentang keusahawanan dan hak-hak kepenggunaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usahawan Islam juga perlu menggunakan media arus perdana untuk mendapatkan pengetahuan lebih lanjut tentang bidang keusahawanan dan ekonomi Islam.

Menurutnya, aspek itu penting bagi memantapkan mereka walaupun tidak semuanya bergelar usahawan tetapi penting untuk menjadikan mereka seorang yang mengetahui tentang hak-hak sebagai pengguna.

"Kita lihat beberapa perniagaan Islam seperti kedai daging halal menemui kegagalan kerana tidak mempunyai dokongan komuniti dan terpaksa ditutup selepas beberapa bulan kerana tidak memperoleh keuntungan yang baik,'' katanya.

Menurutnya, didikan tentang keusahawanan termasuk menerusi media perlu diperkukuhkan setiap masa sekiranya mahu melahirkan usahawan Islam berdaya saing dan menepati ciri-ciri seorang usahawan yang berjaya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk, Peranan Media Massa Dalam Memantapkan Budaya Keusahawanan Ummah: Gagasan dan Cabaran Merealisasikannya pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zahid berkata, pengguna Islam juga perlu lebih bijaksana dalam menggunakan hak mereka sebagai pengguna serta harus peka untuk menjaga rantaian nilai dalam perniagaan.

Tegasnya, itu tidak bermakna pengguna Islam menafikan kepentingan orang lain namun dalam beberapa perkara perlu mempunyai sikap mempedulikan kemajuan ekonomi.

Menurut beliau, usahawan dan media mesti bergerak membina legasi keusahawanan yang berkekalan selain usahawan Muslim mesti bangkit menjadi usahawan yang mampu membina ekonomi berpanjangan dan progresif.

''Media dan keusahawanan Islam merupakan gagasan baru yang menjurus kepada gerakan massa pembudayaan keusahawanan di kalangan generasi muda dan masyarakat untuk menjadikan usahawan Islam sezaman dengan perkembangan masa," katanya.

Kini katanya, merupakan masa yang terbaik untuk mengenepikan kepentingan diri, individu, organisasi dan politik kerana usahawan Islam perlu melihat pada usaha menjana ekonomi yang lebih besar dan luas.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url