Semua projek dilaksanakan - PM (PRK Kuala Terengganu)

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, semua program pembangunan yang dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di Terengganu sebaik mengambil alih pentadbiran negeri daripada Pas pada 2004 berjaya dilaksanakan tanpa sebarang sekatan.

Menurut Perdana Menteri, tiada satu pun pembinaan projek berkenaan tersangkut bahkan apa yang dirancang oleh kerajaan, akan dipastikan tetap diteruskan.

Katanya, semua projek yang dilaksanakan itu seperti pembinaan universiti, lapangan terbang, lebuh raya dan Taman Tamadun Islam (TTI) memberi impak besar serta membawa kebajikan kepada rakyat.

‘‘Alhamdulillah kerajaan di sini sentiasa memberi perhatian kepada keperluan rakyat. Situasi di Terengganu sekarang berubah dengan cepat dan mendadak.

‘‘Ini bukan perubahan yang negatif tetapi membawa nikmat kepada rakyat. Saya bersyukur melihat kemajuan Terengganu berterusan, tidak nampak tersangkut atau tersekat dan tiada apa-apa rancangan diketepikan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Peletakan Batu Asas Kompleks Pakar Materniti dan Kompleks Psikiatri Kesihatan Mental, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

Kompleks lima tingkat bernilai RM115 juta itu akan memberi kemudahan rawatan bayi, ibu hamil dan ibu bersalin yang lebih baik yang diharapkan dapat mengurangkan kadar kematian bayi dan ibu di negeri ini.

Menurut Abdullah, banyak lagi program pembangunan sedang dirancang untuk Terengganu dan kesemuanya hanya boleh dilaksanakan dengan memastikan kerajaan negeri dan kerajaan Pusat bernaung di bawah parti yang sama iaitu BN.


Beliau menambah, semua pembangunan itu juga adalah untuk membasmi kemiskinan supaya rakyat yang maju dan berilmu dapat menyumbang kembali pada kesejahteraan negara.

Abdullah gembira kerana dengan segala usaha pembangunan itu, kadar kemiskinan di Terengganu berjaya dikurangkan daripada 15.4 peratus sebelum ini kepada 6.5 peratus sekarang.

Sementara itu, kerajaan Terengganu melalui Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Said menyumbang sebanyak RM1,000,000 kepada Tabung Kemanusiaan Palestin kepada Duta Besarnya, Abd. ElAziz Abu Ghoush selepas Majlis Solat Hajat Bagi Keselamatan Palestin di Stadium Negeri di sini.

- Utusan
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url