Penjelasan cek EON Bank cuma 2 hari

EON Bank Bhd muncul antara bank pertama di negara ini melancarkan perkhidmatan penjelasan cek dalam tempoh dua hari bekerja sebagai usaha berterusan menawarkan penyelesaian perbankan yang menyeluruh.

Ketua Perbankan Pelanggan Kumpulan EON Bank, Michael Lor, berkata bank itu melabur lebih RM2.1 juta bagi membangunkan infrastruktur Sistem Pemangkasan dan Penukaran Cek (CTCS) bagi menggantikan sistem sedia ada.

Katanya, langkah itu sejajar saranan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mempercepatkan penjelasan cek yang mengambil masa antara lima hingga lapan hari, terutama di kawasan pantai timur, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, EON Bank adalah antara bank pertama memperkenalkan mesin deposit cek yang membolehkan pemprosesan dan transmisi yang selamat bagi pelaksanaan cek dalam talian, menggunakan teknologi pengimejan digital.

"Ini antara strategi langkah panjang kami bagi menyediakan pelanggan dengan penyelesaian perbankan menyeluruh dan pada masa sama menarik lebih ramai syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menggunakan perkhidmatan ini," katanya selepas pelancaran perkhidmatan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Lor menambah, dengan perkhidmatan itu, pelanggan boleh melakukan transaksi lain dengan lebih mudah, selain mula memperoleh faedah deposit lebih awal sebelum nilai cek mereka dijelaskan.

Katanya, sejak setahun lalu, EON Bank melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk melabur lebih RM200 juta bagi menaik taraf cawangan bank dan meningkatkan keupayaan perniagaannya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya yakin mengembangkan asas depositnya kepada RM29 bilion tahun ini daripada RM25 bilion tahun lalu, disokong oleh pelancaran produk deposit baru dan pelancaran CTCS.

Katanya, bank juga yakin meningkatkan pertumbuhan pinjamannya secara ketara tahun ini apabila segmen pinjaman kad kredit, perumahan dan kenderaan mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan tahun ini.

Ketika ini, 80 peratus daripada portfolio pinjamannya disumbangkan oleh segmen runcit yang mana 60 peratus adalah perbankan pelanggan.

Sementara itu, mengenai cadangan pengambilalihan sehingga 40 peratus dalam syarikat insurans gabungan, MCIS Zurich Insurance Bhd, Lor berkata, perkara itu masih lagi dibincangkan dengan pemegang saham.

"Sebolehnya, kami mahu perkara ini dimuktamadkan dengan segera bagi membolehkan kumpulan EON Bank menawarkan perkhidmatan menyeluruh melangkaui perkhidmatan deposit dan pinjaman," katanya.

- Berita Harian
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url